Tuesday, September 15, 2015

Fawaid Hadithiyyah (Updated)

Fawaid Hadithiyyah ini adalah kumpulan tulisan Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi di twitter berkaitan ilal hadis, mustalah dan yang berkaitan dengannya. Akaun tersebut diselia oleh salah seorang anak muridnya dan dikemaskini dari kuliah-kuliah yang disampaikan oleh syeikh.

Akaun tersebut boleh didapati di Twitter di alamat : @hadeeth_tarifi


1. Mujahid bin Jabr adalah seorang yang thiqah dan juga alim.

مجاهد بن جبر ثقة عالم

2. Al-Mughirah bin Farwah padanya jahalah. Ibn Hazm berkata : Dia tidak masyhur.

المغيرة بن فروة فيه جهالة قال ابن حزم غير مشهور

3. Hasan al-Basri adalah thiqah dan juga Imam. Beliau melakukan tadlis dari perawi-perawi yang lemah. Beliau tidak pernah mendengar daripada Ali radhiallahu anhu.

الحسن البصري ثقة إمام يدلس عن الضعفاء ولم يسمع من علي رضي الله عنه.

4. Mursal Said bin al-Musayyib dari Umar radhiallahu anhu dihukum sebagai bersambung.

مرسل سعيد عن عمر رضي الله عنه في حكم المتصل

5. Al-Laith bin Sa'd tidak pernah mendengar dari seorangpun dari kalangan sahabat.

الليث بن سعد لم يسمع من أحد من الصحابة

6. Abu Ishaq adalah seorang mudallis dan tidak pernah mendengar dari Umar radhiallahu anhu.

أبو إسحاق مدلس ولم يسمع من عمر رضي الله عنه.

7. Ismail bin Ayyash adalah seorang yang thiqah dalam hadis yang diriwayatkan dari orang senegara dengannya namun dhaif pada riwayat yang diriwayatkan dari orang-orang Madinah.

إسماعيل بن عياش ثقة في حديثه عن أهل بلده ضعيف في روايته عن المدنيين

8. Abdul Mun'im bin Basyir adalah seorang yang Munkarul Hadis.

عبد المنعم بن بشير منكر الحديث

9. Salamah bin Abi Salamah bin Abdul Rahman tidak pernah mendengar dari Ibn Mas'ud radhiallahu anhu.

سلمة بن أبي سلمة بن عبد الرحمن لم يسمع من ابن مسعود رضي الله عنه

10.


Makna Ishtimal al-Samma' dan juga Al-Ihtiba'

Hari ini barulah saya betul-betul faham makna ishtimal al-samma' dan juga al-ihtiba'. Ia diajar oleh Syeikh Qasim al-Tawashi di dalam subjek Sunan Ibn Majah.

Dua istilah ini merupakan tegahan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis.

Dua istilah ini berkaitan dengan tegahan baginda terhadap 2 jenis cara pakaian.

[Makna ishtimal al-samma']
اشتمال الصماء

Maknanya ada dua tafsiran.

1)Tafsiran yang pertama adalah membalut badan dengan pakaian atau baju (biasanya ketika tidur) seperti mana mayat dibalut sehingga tangan tidak dapat bergerak.
Ini adalah tafsiran ahli bahasa.
Hikmah tegahan adalah kerana jika datang bahaya seumpama binatang berbisa ketika tidur, orang yang memakai pakaian ini tidak mampu menghalang dirinya dari bahaya tersebut kerana tangannya tidak dapat bergerak. 
Cara pakaian begini juga ditegah dalam solat kerana ia menghalang kedua belah tangan dari bergerak.
Hukum : Makruh

2) Tafsiran yang kedua agak sukar untuk diterangkan sebenarnya. Bayangkan seorang lelaki yang tidak berpakaian. Dia hanya ada sehelai kain sahaja. Kain itu diletakkan di badannya dari bahagian belakang lalu dibalut ke depan. Kemudian bahagian hujung kain (bahagian bawah) diangkat ke bahu lalu menampakkan aurat bahagian bawah.
Ini adalah tafsiran fuqaha'.
Hukum : Haram

[Makna ihtiba']
الإحتباء

Ia adalah perbuatan duduk dalam keadaan lutut diangkat sehingga menyamai paras dada (atau semisalnya) dan mengikat dua belah lutut dengan kain yang dipakai. 

Rujuk gambar di bawah.



Ini adalah kebiasaan orang-orang Arab dalam majlis mereka khususnya di Yaman. Saya biasa melihatnya ketika berada di sana pada tahun 2010.

Apa yang pakcik ini buat dibolehkan. Apa yang dilarang sebenarnya adalah jika seseorang itu hanya memakai sehelai kain ketika duduk dengan cara ini dia mengikat lututnya dengan kain yang sama yang menyebabkan aurat bahagian bawahnya terbuka.




Thursday, September 10, 2015

Hadis Dhaif dan Bagaimana Berinteraksi Dengannya


Hadis merupakan sumber rujukan kedua dalam syariat Islam, dan ia mempunyai autoriti seperti Al-Quran dalam menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram.

Firman Allah subhanahu wa taala dalam Surah al-Nisa’ ayat 59 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah apa yang disandarkan pada baginda dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat baginda sama ada sifat akhlak atau sifat fizikal. Hadis pula terbahagi kepada 3 iaitu Sahih, Hasan dan juga Dhaif.[1]

Insya Allah kali ini kita akan berkenalan dengan hadis dhaif dan hukum berhujah dengannya. 

Hadis dhaif atau hadis yang lemah menurut al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar adalah merupakan hadis yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. [2]

Imam al-Baiquny rahimahullah pula ketika mendefinisikan hadis dhaif berkata : [3]

وَكُلُّ مَا عَنْ رُتْبَةِ الْحُسْنِ قَصُر
فَهْوَ الضَّعِيْفُ وَهْوَ أَقْسَامًا كَثُر”

“Setiap hadis yang berada di bawah tingkatan hadis hasan (iaitu tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan) maka ia adalah hadis dhaif dan ia mempunyai banyak jenis.”

Apakah perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif ?

Perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif menurut sebahagian ulama’ adalah seperti berikut : [4] 

1. Sanadnya tidak bersambung. 
2. Para perawinya tidak adil (tidak berperibadi mulia).
3. Para perawinya tidak dhabit (tidak tepat dan lemah dari sudut hafazan)
4. Padanya ada syaz (perawi hadis tersebut bercanggah dengan perawi-perawi lain yang lebih dipercayai darinya). 
5. Padanya ada illah (kecacatan pada matan atau sanad hadis
6. Tiada sanad lain yang menguat dan menyokongnya.

Menurut al-Hafiz al-Imam Ibn Hajar pula, perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif adalah :

1. Keguguran perawi dari sanad. 
2. Kecaman terhadap perawi.

Hadis dhaif mempunyai jenis yang sangat banyak. Imam Ibn al-Solah menyebutkan bahawa Ibn Hibban membahagikannya kepada 49 jenis. Syeikh al-Iraqi pula membahagikannya kepada 42 jenis malah ada yang membahagikannya kepada 63 jenis.[5]

Antara jenis-jenis hadis dhaif yang disebabkan oleh keguguran perawi daripada sanad adalah seperti muallaq, mursal, mu’dhal, munqati’, mudallas, dan juga mursal khafiy. Manakala jenis –jenis hadis dhaif yang disebabkan oleh kecaman terhadap perawi adalah seperti maudhu’, matruk, munkar, mudraj, maqlub dan sebagainya. 

Antara karya para ulama’ dalam hadis dhaif adalah seperti berikut :

1. Kitab al-Dhuafa’ karya Ibn Hibban
2. Mizan al-I’tidal karya Imam al-Zahabi
3. Al-Marasil karya Abi Daud 
4. Al-Ilal karya Imam al-Daraqutni


Hukum Meriwayatkan Hadis Dhaif

Ahli hadis mengharuskan bermudah-mudah pada sanad-sanad hadis yang dhaif untuk diriwayatkan dan diamalkan selagi mana bukan hadis yang maudhu’,  bukan di dalam perkara akidah seperti sifat-sifat Allah taala dan bukan dalam hukum hakam seperti halal dan haram untuk diamal dan diriwayatkan tanpa dinyatakan kedhaifannya. [6]

Cara Meriwayatkan Hadis Dhaif

Walaupun jumhur ulama’ mengharuskan periwayatan hadis dhaif, namun hadis-hadis tersebut tidak boleh diriwayatkan dengan menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam..” supaya kita tidak menisbahkan kepada baginda apa yang tidak disabdakannya.
Maka kita hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan ketidakpastian (sighah tamridh) seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam..”

Hukum Berhujah Dengan Hadis Dhaif dalam Fadhail A’mal dan Hukum-Hakam

Maksud berhujah di sini adalah boleh menetapkan hukum fiqh dengannya.

Para ulama berselisih pendapat dalam sejauh mana penerimaan dan penggunaan hadis dhaif dalam fadhail a’mal dan hukum hakam kepada 3 pendapat : [7]

Pendapat pertama : Sebahagian ulama’ berpendapat hadis dhaif boleh diamalkan secara mutlak. Ini bermaksud ia boleh diamalkan dalam halal dan haram, fadhail a’mal, targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan juga tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan ) dengan 2 syarat :

1. Lemahnya mestilah tidak bersangatan. Ini kerana hadis yang lemahnya bersangatan ditinggalkan oleh semua ulama’.
2. Tiada hadis lain dalam bab ini melainkan hadis ini, dan tiada nas Al-Quran atau Hadis yang bercanggah dengannya.

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Malik bin Anas dan juga Imam Abu Daud al-Sijistani.

Pendapat kedua : Sebahagian ulama’ yang lain pula berpendapat bahawa hadis dhaif tidak boleh diamalkan secara mutlak sama ada dalam hukum hakam, targhib dan tarhib mahupun fadhail a’mal.

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Yahya ibn Ma’in, Imam Muslim, Abu Hatim al-Razi, Ibn Hibban, Ibn al-Arabiy dan juga Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Ibn Hazm juga berpendapat dengan pendapat yang sama.[8] Begitu juga Syeikh Ahmad Syakir. [9]

Pendapat ketiga : Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang sederhana di antara kedua-dua pendapat di atas dan ia merupakan pendapat jumhur ulama’. Mereka tidak berhujah dengan hadis dhaif dalam bab hukum hakam dan berhujah dengannya dalam bab fadhail a’mal dan juga targhib dan tarhib. Imam Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Azkar menyebut bahawa ini merupakan pendapat ahli hadis dan juga fuqaha’.

Syarat beramal dengan hadis dhaif dalam bab fadhail a’mal ada 5 :

1. Hadis dhaif itu mestilah lemahnya tidak bersangatan.
2. Hadis dhaif itu mestilah termasuk di bawah asas umum (agama) yang praktikal. Maksudnya ia mestilah ada asasnya dari Al-Quran dan Al-Sunnah.
3. Tidak meyakini bahawa hadis itu sahih dan tsabit, supaya ia tidak dinisbahkan kepada nabi sallallahu alaihi wasallam, bahkan mestilah berhati-hati
4. Hadis dhaif tersebut mestilah tidak terkeluar dari perbahasan hadis-hadis fadhail a’mal.
5. Mestilah tidak bercanggah dengan hadis yang lebih kuat, kerana hadis yang kuat didahulukan ke atas hadis yang lemah. [10]

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Sufyan al-Thauri, Abdullah Ibn al-Mubarak, Abdul Rahman Ibn Mahdi, Sufyan Ibn ‘Uyaynah dan Imam Ibn Kathir.

Syeikh Abdul Karim al-Khudair dalam kitabnya al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi merajihkan pendapat yang kedua iaitu tidak boleh mengamalkan hadis dhaif secara mutlak kerana :

1. Ulama’ hadis bersepakat bahawa hadis dhaif termasuk dalam kategori hadis yang tertolak.
2. Hadis yang dhaif tidak memberi (maklumat) melainkan cenderung ke arah kesangsian, dan sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
3. Kebenaran untuk beramal hadis dhaif mendorong seseorang untuk meninggalkan hadis-hadis sahih dan merasa cukup dengan hadis dhaif. 
4. Ia membawa kepada terhasilnya bid’ah dan juga khurafat dan juga menjauhkan seseorang itu dari manhaj yang betul.

Namun ini tidaklah bermakna semua hadis dhaif ditolak secara total. Ia boleh digunakan untuk merajihkan makna sesuatu ke atas makna yang lain ketika sesuatu nas itu membawa dua keberangkalian pada maksudnya. Jika ada hadis yang dhaif yang merajihkan salah satu makna tersebut, maka makna yang dirajihkan itulah yang diambil walaupun ia dhaif.

Contohnya pada tafsiran firman Allah taala dalam Surah Al-Nisa’ ayat 3 :

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Perkataan تَعُولُواmembawa dua maksud :
  
1. Ia bermaksud : Supaya keturunan kamu tidak ramai. Ini pendapat Imam al-Syafie
2. Ia bermaksud : Agar kamu tidak berbuat zalim. Ini pendapat jumhur ahli tafsir.

Diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha daripada Nabi sallallahu alaihi wasallam bahawa ayat : أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا adalah bermaksud : Supaya kamu tidak berbuat zalim. Abi Hatim menegaskan bahawa hadis ini adalah mauquf dan ia adalah kata-kata Aisyah. 
Dalam riwayat yang lain : “Supaya kamu tidak terpesong.”
Hadis ini adalah dhaif. Namun begitu, kata Imam Ibn al-Qayyim :” Ia sesuai untuk dijadikan pengukuh.”

Hadis dan juga Sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam cukup banyak untuk dijadikan sandaran dalam amalan dan hujah. Oleh itu tidak perlu untuk kita menyibukkan diri dengan hadis-hadis yang dhaif dan meninggalkan hadis sahih yang lebih jelas ketsabitannya dan lebih selamat untuk dijadikan sandaran dalam amalan dan hujah.

Maka wajarlah kita berhati-hati dalam hal ini. Ingatlah satu sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari :
“Sesungguhnya berdusta kepadaku tidak sama dengan berdusta kepada orang lain. Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka.”



Rujukan :

[1] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi jld 1 hlm. 75
[2] Ibn Hajar, al-Nukat ala Kitab Ibn Solah, hlm. 147
[3] Abdullah bin Khadra’ al-Sallawi, Syarh al-Baiquniyyah, hlm. 109
[4] Dr Abdul Karim al-Khudhair, al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi, hlm. 58
[5] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi jld 1 hlm. 263
[6] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 502
[7] Dr Abdul Karim al-Khudhair, al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi, hlm. 250
[8] Dr Abu al-Laith, Ulum al-Hadis, Asiluha wa Maasiruha, hlm. 151
[9] Yusuf al-Qaradhawi, Kaifa Nata'amal ma'a al-Sunnah al-Nabawiyah, hlm. 93
[10] Dr Abu al-Laith, Ulum al-Hadis, Asiluha wa Maasiruha, hlm. 153






Wednesday, September 9, 2015

[Biodata Ringkas Syeikh Dhiya al-Rahman al-A'zamy]

Berikut adalah ringkasan tentang biodata yang diterjemah dari biodata yang diberi oleh syeikh sendiri.

 Saya dan sahabat-sahabat ketika berkunjung ke rumah beliau dan menemuramah beliau tentang karya magnum opus beliau, al-Jami' al-Kamil.


Beliau adalah Muhammad Abdullah Al-A'zamiy, Abu Ahmad (lebih dikenali dalam dunia keilmuan dengan nama Dhiya al-Rahman) yang lahir pada tahun 1362 Hijrah bersaman dengan 1943 Masihi.
Setelah beliau menghabiskan pengajian di beliau di Universiti Islam Madinah, beliau menyambung pengajian dalam peringkat Master dari Universiti Malik Abd Aziz cawangan Mekah al-Mukarramah yang kini dikenali sebagai Universiti Umm al-Qura.
Kemudian beliau berjaya mendapatkan ijazah peringkat PhD di Universiti Al-Azhar Kaherah. Setelah itu beliau dilantik sebagai pensyarah di Kuliah Hadis dan Pengajian Islam di Universiti Islam Madinah. Beliau juga menyandang beberapa jawatan di Rabithah Al-Aalam al-Islamiy di Mekah al-Mukarramah dan juga di Universiti Islam Madinah.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Dekan Kuliah Hadis di Universiti Islam Madinah. Selepas itu beliau bersara dan memberikan perhatian terhadap kajian dan penulisan. Antara yang penting adalah penulisan beliau tentang kitab "Al-Jami' al-Kamil fi al-Hadis al-Sahih al-Shamil". Beliau juga dilantik oleh Ketua Hal Ehwal Masjid Nabawi sebagai tenaga pengajar di situ pada 22 Safar 1435 hijrah.
Beliau ada beberapa buah karya dalam pelbagai bidang, antaranya :
1. Aqdhiah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam Li Ibn al-Talla' al-Qurtubi (wafat 497 h)
Ia merupakan kajian, semakan dan beberapa penambahan oleh beliau. Cetakan terbaru ada penambahan dari segi semakan. Ia diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Salam di Riyadh pada tahun 1424 hijrah. Karya ini juga diterjemahkan ke dalam bahasa Urdu.
2. Al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra li al-Imam al-Baihaqi (wafat 458 h)
Ia merupakan kajian dan juga semakan bersama pendahuluan tentang usaha Imam al-Baihaqi dalam memelihara Sunnah Nabawiyyah. Kitab ini telah memasuki cetakan kedua iaitu pada tahun 1420 hijrah yang diedarkan oleh Maktabah Adhwa' al-Salaf di Riyadh. Juga diterjemahkan ke dalam bahasa Urdu.
3. Amali Ibn Mardawaih (wafat 410 h)
Ia merupakan kajian dan juga semakan bersama pendahuluan tentang usaha Ibn Mardawaih dalam memelihara Sunnah Nabawiyyah, cetakan tahun 1410 hijrah.
4. Fath al-Ghafur fi Wad'i al-Aidi ala al-Sudur oleh al-Allamah Syaikh Muhammad Hayah al-Sindi (wafat 1163)
Ia merupakan kajian dan semakan. Dicetak pada tahun 1419 hijrah.
5. Al-Tamassuk bi al-Sunnah fi al-Aqaid wa al-Ahkam.
Cetakan pertama adalah pada tahun 1417 hijrah.
6. Mu'jam Mustalahat al-Hadis wa Lataif al-Asanid.
Ia merupakan tulisan dan karya beliau. Telah memasuki cetakan kedua (1426).
Edaran Maktabah al-Rushd di Riyadh.
7. Al-Minnah al-Kubra Syarh wa Takhrij al-Sunan al-Sughra li al-Hafiz al-Baihaqi.
Dicetak sebanyak 9 jilid. Cetakan ke-2 (1426 h). Edaran Maktabah al-Rusyd di Riyadh.
8. Al-Yahudiyyah wa al-Masihiyyah
Ia merupakan karya penulisan beliau. Cetakan pertama (1409 h)
9. Fusul fi Adyan al-Hind (al-Hindusiyyah, al-Buziyyah, al-Jiniyyah, al-Sikhiyyah)
Ia merupakan karya penulisan beliau.
Cetakan pertama (1417 h)
Cetakan terbaru dicetak dengan nama "Dirasat fi Al-Yahudiyyah wa al-Masihiyyah wa Adyan al-Hind" yang diedarkan oleh Maktabah al-Rusyd di Riyadh. Cetakan ke-6 (1435 h)
10. Abu Hurairah fi Dhaui Marwiyyatihi
Ia merupakan karya penulisan beliau yang merupakan satu pembelaan terhadap sahabat agung ini yang dituduh oleh ahli hawa nafsu, dengan uslub keilmuan yang segar. Ia disambut baik dalam dunia keilmuan. Ia merupakan tesis Master yang bilangan hadisnya mencapai 1500 hadis dari kutub sittah dan Musnad Imam Ahmad.
Cetakan pertama (1399 h). Cetakan terbaru adalah pada tahun 1418 hijrah.
11. Dirasat fi al-Jarh wa al-Ta'dil
Ia adalah merupakan karya penulisan beliau. Dicetak beberapa kali, antaranya adalah cetakan Maktabah Dar al-Salam di Riyadh (1424 h).
12. Tuhfah al-Muttaqin fi ma Sahha min al-Azkar wa al-Ruqa wa al-Tibb an Sayyid al-Mursalin.
Cetakan (1436)
13. Buhuth Mutanawwi'ah fi Fiqh al-Sunnah al-Mansyurah fi Majallah al-Jamiah al-Islamiyyah.
Diterjemahkan kepada beberapa bahasa, kebanyakannya dalam bahasa Turki.
14. Dakwah al-Quran (dalam bahasa India)
Dicetak lebih dari 5 kali. Ramai yang telah diberikan hidayah oleh Allah untuk masuk Islam melalui kitab ini. Juga diterjemahkan kepada beberapa bahasa India yang lain.
15. Mu'jam Mausu'ah al-Quran al-Karim bi al-Lughat al-Ajnabiyyah.
Masih dalam proses penulisan. Ia merangkumi dua aspek. Pertama : Akidah, Ibadah, Muamalat, Akhlak, Keluarga dan Masyarakat.
Kedua : Tokoh-tokoh dan nama-nama. Ia merangkumi 500 tajuk dalam kategori berbeza yang menjangkau 3000 mukasurat. Ia akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa insya Allah.
16. Al-Jami' al-Kamil fi al-Hadis al-Sahih al-Shamil.
Ia masih dalam proses percetakan dan akan diterbitkan dalam 12 jilid.
Moga Allah merahmati syeikh dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk terus berkarya.



[Pengenalan terhadap kitab al-Jami' al-Kamil]


Sebuah karya hadis yang agung iaitu kitab al-Jami' al-Kamil bakal diterbitkan insya Allah selewat-lewatnya sebelum perlaksanaan ibadah haji tahun ini. Kitab ini merupakan kitab yang mengumpulkan semua hadis-hadis sahih yang wujud secara terpisah-pisah dalam pelbagai kitab-kitab hadis.

Ikuti wawancara saya dan beberapa sahabat yang lain sewaktu kami bertandang ke rumah penulis kitab ini iaitu Syeikh Dhiya al-Rahman al-A'zami beberapa hari sebelum bulan Ramadhan yang lalu.
Biodata beliau boleh didapati di sini : http://on.fb.me/1IOpTMt
Beberapa tambahan tentang biodata yang ditulis oleh Ustaz Aan Chandra dari Indonesia juga boleh didapati di sini : http://on.fb.me/1JApmMP dan di sini : http://on.fb.me/1eFYD4I
Wawancara dalam versi bahasa Inggeris yang ditulis sahabat saya Ustaz Siddiq pula boleh dibaca di sini : http://on.fb.me/1OF5hV9
Berikut merupakan wawancara kami dengan beliau :
S : Apakah sebab yang mendorong ke arah penulisan kitab ini?
J : Kita mempunyai 2 sumber yang utama, iaitu Al-Quran dan al-Sunnah. Kitab (Al-Quran) memang sedia diketahui dan ada di sekeliling kita. Sumber yang kedua adalah al-Sunnah dan sumber ini berada (secara terpisah-pisah) dalam beratus-ratus kitab. Di dalamnya ada yang sahih dan dhaif (selain sahih Bukhari dan Muslim). Sepatutnya hadis-hadis ini dikumpulkan dan dikeluarkan dari kitab-kitab ini hadis-hadis yang sahih, supaya ia menjadi sumber yang kedua selepas sumber yang pertama (Al-Quran).
Saya banyak ditanya ketika saya merantau ke banyak negara. Antaranya adalah Malaysia, Singapura, Australia dan juga negara-negara yang lain. Ketika saya memberikan ceramah dan kuliah tentang kitab dan hadis, saya ditanya,
"Adakah kalian mempunyai kitab dalam hadis yang mencakupi seluruh hadis yang sahih seperti al-Quran?"
Saya teragak-agak untuk menjawab. Apa jawapan yang saya patut berikan?
Saya jawab : Tidak, kami belum ada kitab sebegitu. Tetapi hadis-hadis itu ada tetapi ia terpisah-pisah dalam kitab-kitab hadis secara berasingan.
Jawapan ini tidak begitu meyakinkan. Adakah setiap orang mampu untuk mengeluarkan hadis-hadis sahih dari beratus-ratus kitab? Soalan ini ditujukan kepada orang awam, yang tiada kepakaran melakukannya. Bahkan para ulama jika ditanya tentang kesahihan hadis mereka akan mentahhqiq dan memastikan kesahihannya. Setiap kali mereka ditanya mereka akan melakukannya.
Maka terlintas di hati saya mengapa tidak saya keluarkan dari kitab-kitab ini hadis-hadis yang sahih sahaja dan dikumpulkan dalam satu kitab, sehingga ia boleh menjadi sesuatu yang menjadi rujukan selepas Al-Quran. Maka inilah yang terlintas di fikiran saya dan dimudahkan oleh Allah subahanahu wa taala, maka semenjak lebih kurang 15 tahun lepas saya berada pada noktah (penulisan) ini.
S : Berapakah hadis dalam kitab ini?
J : Bilangan hadis yang berulang dalam kitab ini ada lebih dari 15,000. Dianggarkan jumlahnya mencecah 20,000.
Manakala jumlah hadis yang sahih pula adalah dalam anggaran 12,000 hingga 15,000.
S : Bagaimana hadis-hadis dalam kitab ini disusun?
J : Saya telah menulis muqaddimah yang panjang, dan ia merupakan muqaddimah yang praktikal dalam ilmu hadis. Biasanya kamu semua membaca kitab-kitab mustalah hadis atau ulum hadis yang kebanyakannya bersifat teori. Aku telah menulis muqaddimah bagi kitab al-Jami al-Kamil ini dalam 100 mukasurat lebih dan ia adalah muqaddimah yang praktikal. Di dalamnya terkandung bagaimana mempraktikkan ilmu mustalah hadis ke atas hadis, dan bagaimana mempraktikkan takhrij ke atas hadis.
S : Berapakah jumlah sumber kitab-kitab hadis yang dirujuk untuk mengumpulkan semua hadis-hadis ini?
J : Ia tidak terhad (kepada jumlah tertentu). Apa sahaja hadis dan di mana sahaja ia berada (hadis sahih) adalah tanpa sumber yang terhad.Yang penting adalah ia sahih.
S : Bagaimana nak tahu ia (adalah hadis yang) sahih?
J : Ia adalah selepas kajian iaitu selepas kami menggunakan beribu-ribu cara (untuk mengenalpasti hadis-hadis sahih), maka akan terbukti mana hadis yang dhaif lalu kami tinggalkan, dan hanya hadis-hadis sahih yang akan kami ambil.
Hadis-hadis dalam al-Jami al-Kamil mempunyai lebih kurang 300,000 sanad.
S : Bilakah kitab ini akan dicetak?
J : Berdasarkan perjanjian dengan Maktabah Dar al-Salam, mereka berkata ia akan diterbitkan pada bulan Ramadhan atau penghujung Ramadhan, tetapi rasanya ia tidak sempat diterbitkan. Apapun, kitab ini mesti diterbitkan sebelum haji. Moga Allah menerima usaha-usaha kita insya Allah.
S : Bagaimana kitab al-Jami' al-Kamil ini diringkaskan?
J : Semenjak 2 bulan yang lalu, kami mula meringkaskan kitab ini menjadi 4 jilid dan kami telah pun selesai meringkaskannya.
Kitab edisi ringkasan ini adalah tanpa takhrij. Hanya status hadis samada ia hadis sahih atau hasan dan juga sumbernya yang dinyatakan. Manakala sanad-sanad dan jalan periwayatan semuanya dibuang dan dipadamkan.
S : Adakah kitab edisi ringkasan ini akan dicetak?
J : Ini adalah untuk dicetak dalam bahasa-bahasa yang lain. Kami telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris, Urdu dan Benggali. Menjadi kewajipan ke atas semua muslim untuk menterjemahkan kitab ini ke dalam bahasa mereka, kerana kitab versi asal (sebanyak 20 jilid) adalah sukar difahami orang awam, bahkan hanya ulama' yang memahaminya. Manakala kitab edisi ringkasan ini adalah untuk seluruh umat Islam, sesiapa sahaja yang membacanya akam faham bahawa hadis tersebut adalah hadis yang sahih.
S : Adakah kitab edisi ringkasan ini akan diterbitkan dalam bahasa Arab?
J : Ini belum diputuskan lagi, tetapi naskhah dalam bahasa Arab ada bersama kami. Allah lebih mengetahui adakah ia akan dicetak atau tidak selepas ini.

Dr Zakir Naik ketika berkunjung ke rumah Syeikh Dhiya al-Rahman


S : Sekarang setelah selesai edisi ringkasan, apakah langkah seterusnya?
J : Langkah yang terakhir adalah saya mahu gabungkan hadis-hadis yang dalam 4 jilid edisi ringkasan supaya ia menjadi 1 jilid sahaja. Ia adalah merupakan gabungan hadis-hadis antara satu sama lain. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh 4 orang sahabat (yang diriwayatkan) dengan lafaz mereka tersendiri, akan digabungkan menjadi satu hadis. Kitab ini akan menjadi edisi khas untuk non-muslim. Nama-nama sahabat, takhrij dan nama-nama bab akan dibuang. Yang tinggal hanyalah nama Kitab.
(Contohnya : Kitab Taharah), dengan susunan yang sama.
S : Selepas semua ini, adakah ada penulisan yang baru?
J : Saya telah menulis Kamus Al-Quran, tetapi ia bukan dalam bahasa Arab. Saya terfikir untuk menulis kitab Dairah al-Maarif al-Islamiyyah, yang merupakan gabungan Kamus Al-Quran dengan perbahasan-perbahasan yang lain. Kitab ini juga akan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Kitab Dairah al-Maarif yang ditulis oleh Orientalis mempunyai banyak penyelewengan.

Naskhah Asal al-Jami' al-Kamil


S : Bagaimanakah kamu mengumpulkan hadis-hadis sahih sehingga tiada hadis sahih yang tertinggal?
J : Kami tidak mendakwa bahawa kitab ini sempurna, kerana sempurna itu milik Allah, tetapi inilah hasilnya Alhamdulillah. Ia kitab yang agung dalam kategori kitab hadis, tetapi saya masih meneruskan kajian dan pembetulan. Semenjak 2 tahun lalu saya meneruskan proses menyempurnakan kitab ini.
Cetakan ketiga bagi kitab ini adalah cetakan yang terakhir. Ini adalah cetakan yang pertama, manakala cetakan yang kedua ada beberapa penambahan. Manakala cetakan ketiga adalah cetakan yang terakhir.
Ini adalah seperti yang dilakukan oleh Imam Bukhari yang menulis sahihnya sebanyak 3 kali lalu kami mencontohinya.
S : Kitab al-Jami al-Kamil ada hadis sahih dan hadis hasan. Adakah ia juga terkandung hadis yang dhaif?
J : Ya, hadis dhaif dalam kitab ini mempunyai lebih kurang 3,000 hadis, tetapi tujuan ia disebut adalah untuk menyatakan kedhaifannya. Pada setiap bab akan disebutkan hadis dhaif masyhur yang berkaitan.
S : Berapakah jumlah muka surat kitab edisi ringkasan ini?
J : Ia mempunyai lebih kurang 4,500 muka surat. Manakala edisi asal mempunyai lebih kurang 14,000 muka surat.
Al-Jami' al-Kamil edisi ringkasan


S : Bagaimanakah jika kami ingin menterjemahkan kitab edisi ringkasan ini?
J : Kamu boleh pergi ke mana-mana institusi yang berkaitan di negeri kamu jika mereka sudi menterjemahkannya. Kami akan menghantar kepada mereka contoh dari kitab ini tetapi mereka mestilah mampu untuk menterjemahkan dan menerbitkannya. Saya tidak mahu menerima apa-apa bayaran dan hak cipta kitab ini tidak terpelihara kerana seluruh umat Islam ada hak untuk menerbitkannya.
S : Adakah setiap hadis disebutkan huraian padanya?
J : Ia adalah secara ringkas kerana daripada tajuk-tajuk hadis kita dapat mengetahui fiqh (kefahaman) dari hadis, seperti mana yang terdapat dalam Sahih Bukhari. Tetapi kadang-kadang kami akan menambah beberapa ayat untuk menjelaskan lagi makna hadis tersebut.
*Beberapa penambahan dan perubahan dilakukan terhadap sebahagian kecil tulisan ini tanpa menjejaskan makna asal.
**Saya sedang mencari institusi yang sanggup menterjemah dan menerbitkan karya ini. Ada cadangan..?


Karya Agung : Coming Soon !

Dunia keilmuan Islam terutamanya dalam bidang hadis akan menyaksikan lahirnya sebuah karya agung yang mengumpulkan semua hadis-hadis yang sahih yang wujud. 

Ia adalah sebuah karya yang mengumpulkan lebih kurang 15,000 ke 20,000 hadis sahih dan penulisnya menghabiskan masa yang begitu lama untuk menyiapkannya. 

Seperti yang kita tahu hadis yang sahih tidak terhad pada hadis yang ada dalam sahih Bukhari dan Muslim sahaja malah banyak lagi hadis-hadis yang tidak disebutkan oleh mereka berdua.
Alhamdulillah, tadi saya dan beberapa orang sahabat-sahabat yang lain sempat ke rumah penulis dan menurut beliau, manuskrip karya tersebut telah dihantar ke syarikat percetakan Dar al-Salam. Menurut beliau lagi karya tersebut dijangka terbit di pasaran Ramadhan ini.

Maklumat lanjut tentang penulis iaitu Syeikh Dhiya al-Rahman Al-A'zamiy dan karya agung tersebut akan dijelaskan dengan lebih lanjut di makalah dan tulisan yang lain insya Allah.


Tulisan ini ditulis pada 11 Jun 2015.


Friday, September 4, 2015

Adakah berbekam pada waktu-waktu tertentu ada kelebihan..?

assalamualaikum ust. maaf ganggu. kenyataan ni dh viral di media sosial. adakah ia sahih ? "Assalamualaikum buat sahabat2.. esok ialah hari selasa 17 zulkaedah.. diriwayatkn di dlm hadis mnyatakn bhw tarikh trsbut ialah tarikh yg baik utk berbekam pdnya krn fadilatnya adalah ubat bg setahun"


Saya telah ditanya tentang kebenaran mesej di atas. Setelah saya meneliti artikel di http://islamqa.info/ar/128170 , berikut merupakan kesimpulan yang dapat saya buat.

>>Jawapan pendek : Setakat yang saya cari, hadis bahawa sesiapa yang berbekam pada 17 Zulhijjah fadhilatnya adalah ubat bagi setahun TIADA ASALNYA.
Allah Maha Mengetahui.
*Jika sahabat-sahabat asatizah ada jumpa hadis begini maklumkan pada saya ya.

>>Jawapan panjang :
Terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang berbekam pada waktu-waktu tertentu dan ia terbahagi kepada dua :

1. Hadis yang menunjukkan kelebihan hari-hari yang tertentu untuk berbekam. Ia merupakan hari ke 17 (lagi-lagi jika bertembung dengan hari selasa), hari ke 19, hari isnin dan khamis dan sebagainya.

2. Hadis yang melarang perbuatan berbekam pada hari-hari tertentu iaitu hari Sabtu, Ahad, Selasa dan sebagainya.

Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kesemua hadis yang terdapat dalam dua bahagian ini adalah DHAIF, dan TIADA satupun hadis yang SAHIH berkenaan dengannya.

Berikut merupakan sebahagian pendapat ulama' :

1. Al-Khallal menaqalkan dari Imam Ahmad bahawa hadis tersebut tidak thabit. Ini dinukilkan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari (10/149).

2. Al-Uqaili rahimahullah berkata : "Tiada yang sahih dalam bab memilih hari tertentu untuk berbekam."
(Al-Dhuafa' al-Kabir : 1/150)


3. Ibn al-Jauzi pula mengumpulkan hadis-hadis tentang berbekam pada waktu tertentu dalam satu bab dalam kitabnya Al-Maudhuat (3/211-215) lalu berkata :
"Hadis-hadis ini tiada satupun yang sahih".


4. Imam Nawawi rahimahullah pula berkata :
"Kesimpulannya tiada satupun yang sahih berkenaan larangan berbekam pada hari-hari tertentu".
(Al-Majmu' 9/69)


5. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : "Hadis-hadis ini tiada satupun darinya yang sahih."
(Fath al-Bari 10/149)


Ramai ahli ilmu menggalakkan berbekam pada hari tertentu seumpama hari ke 17, 19, dan 21 berdasarkan hujah-hujah berikut :

Ada riwayat dengan sanad yang sahih dari sahabat radhiallahu anhum :
Dari Anas bin Malik radhiallahu anhu :
"Para sahabat-sahabat nabi berbekam pada hari-hari ganjil pada setiap bulan".
Diriwayatkan oleh al-Tabari dalam Tahzib al-Atsar (2856) dengan sanad yang sahih.


Boleh jadi kebiasaan sahabat ini adalah kerana ada hadis-hadis yang marfu' tentang perkara ini.

Malah sebahagian ahli ilmu berpendapat bahawa sebahagian hadis dalam bab ini boleh dikuatkan seperti mana komentar Imam Termizi ketika mengeluarkan hadis Anas bin Malik yang berbunyi :
"Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berbekam pada bahagian tengkuk, dan baginda berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21"
Hadis no 2051.



Komentar beliau terhadap hadis ini adalah : "Hasan Gharib"
Begitu juga yang dilakukan oleh sebahagian ulama terkemudian seperti al-Suyuti dalam Al-Hawi lil Fatawi (279-280/1), juga Ibn Hajar al-Haitami dalam fatwanya (4/351), dan juga Syeikh al-Albani dalam Silsilah Sahihah (622,1847)

Namun apa yang disebutkan tentang kata-kata ahli ilmu tentang dhaifnya hadis-hadis dalam bab ini adalah lebih KUAT.

Wallahu A'lam.


Moga Allah memaafkan kesalahan saya jika ada dalam tulisan ini.
Saya memohon kepada para Asatizah dan juga ahli ilmu yang mendapati sebarang kesalahan dalam tulisan ini untuk menegur saya.