Aneh sekali dakwaan yang mendakwa Khadijah RA berasal daripada alam Melayu.
Saturday, August 31, 2024
Khadijah RA Berasal Dari Alam Melayu?
Sunday, August 25, 2024
Doa Agar Dilindungi Dari Terbenam Ke Dalam Bumi
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peristiwa tanah jerlus di Masjid India yang menenggelamkan seorang wanita warganegara India.
Rasulullah SAW ada mengajarkan kita suatu doa yang boleh kita amalkan bersama.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa ini pada waktu pagi dan petang, seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Umar dalam riwayat Abu Daud. Dalam hadis yang penuh, disebutkan agar kita berlindung dari 6 arah:
1. Depan
2. Belakang
3. Kiri
4. Kanan
5. Atas
6. Bawah
Begitulah indahnya Islam.
Salah seorang perawi menafsirkan maksud tidak dibunuh dari arah bawah adalah الخسف iaitu tenggelam ke dalam bumi.
Apa yang menarik, dalam hadis tersebut dikhususkan perkataan وأعوذ بعظمتك untuk arah bawah. Sedangkan 5 arah yang lain sebelumnya tidak disebutkan perkataan tersebut, menunjukkan serangan atau kecelakaan dari arah bawah ini adalah perkara yang sukar untuk dielak.
Marilah sama-sama kita mengamalkan doa ini bersama-sama agar dilindungi dari bahaya yang datang dari arah bawah.
Moga bermanfaat.
Tuesday, June 28, 2022
Ringkasan Artikel Tanda-Tanda Besar Kiamat: Analisis Metode dan Kronologi
Alhamdulillah selesai membaca artikel TANDA-TANDA
BESAR KIAMAT: ANALISIS METODE DAN KRONOLOGI yang ditulis oleh Ustaz Abdul Muhaimin
bersama Ustaz Yusuf Ismail.
Artikel yang sangat bagus untuk dihadam mengenai
topik hadis-hadis berkaitan tanda-tanda besar kiamat dan disiplin dalam
berinteraksi dengan riwayat-riwayat yang berkaitan.
Antara point yang dapat saya simpulkan adalah:
1. Riwayat dhaif berkaitan tanda kiamat tak boleh jadi hujah sebab ia perbahasan yang berkaitan dengan akidah.
2. Antara cara nak pastikan kesahihan riwayat adalah kena kumpulkan semua riwayat dalam topik yang sama. Jadi kita akan dapat rungkaikan pelbagai kemusykilan yang timbul daripada hadis tersebut.
3. Dalam berinteraksi dengan teks hadis, ada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi. Antaranya adalah hadis mesti difahami melalui neraca al-Quran dan hadis sahih yang lain. Hadis-hadis ini juga tak boleh difahami secara metafora melainkan ada bukti. Begitu juga kita tak boleh bermudah2 nak kaitkan situasi semasa dengan kandungan hadis.
4. Tak ada satu nas dari Quran mahupun sunnah yang sebut susunan tanda besar kiamat secara pasti. Ada satu hadis daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari dalam Sahih Muslim yang sebutkan tanda2 besar kiamat. Namun berdasarkan Dr Sharf Mahmud, penggunaan partikel و dalam hadis tu bukan bermaksud tertib. Lagipun ada hadis lain yang sebutkan susunan yang berlainan.
5. Para ulama semisal Ibn Hajar al-Asqalani, al-Qurtubi, Hakim al-Naisaburi, Umar Sulaiman al-Asyqar serta Sharf Mahmud Qudah ada pendapat mereka yang tersendiri mengenai kronologi ini.
6. Justeru berdasarkan pemerhatian menyeluruh terhadap hadis-hadis, kronologi tanda besar kiamat adalah seperti berikut:
al-Dajjal muncul > Nabi Isa AS turun > Yakjuj
dan Makjuj keluar > Matahari terbit dari barat > Al-Dabbah > Al-Dukhan
> Bencana di Timur, barat dan kepulauan Arab > Api dari Yaman menghalau
manusia ke al-Mahsyar.
Moga bermanfaat.
Untuk bacaan
lebih lanjut boleh baca sendiri artikel tersebut di pautan ini:
https://journalofhadith.usim.edu.my/index.php/johs/article/view/178/100?fbclid=IwAR0ySozCRU8RYPDjvkFtMuBt6gEUjj4opRqsa-2TF-vtiborKkWdxNm87rk
Friday, January 3, 2020
Ringkasan Artikel Sumbangan Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)
Tuesday, October 8, 2019
Laman Sesawang & Aplikasi Carian Hadis
Justeru saya ingin berkongsi sedikit sebanyak laman sesawang atau aplikasi yang saya pernah gunakan. Perlu diingatkan laman sesawang dan aplikasi ini hanya sebagai pemudah cara sahaja. Sila rujuk ustaz yang anda percayai untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai huraian sesuatu hadis mahupun status hadis kerana yang terpapar di laman sesawang atau aplikasi belum tentu tepat dan memerlukan bimbingan guru.
Untuk laman sesawang berbahasa Melayu, anda boleh rujuk laman-laman berikut :
1. Portal e-Hadith JAKIM
Portal e-Hadith JAKIM ini antara yang inisiatif yang bagus. Ia memuatkan ratusan hadis beserta pengajarannya sekali. Kebanyakannya diambil dari Kutub Sittah.
Pautan : http://www.islam.gov.my/e-hadith
2. Irsyad al-Hadith
Irsyad al-Hadith seperti yang semua sedia maklum merupakan di bawah seliaan Mufti WP.
Pautan : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith
3. Semakhadis.com

Semakhadis.com adalah antara portal carian hadis yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memfokuskan kepada carian hadis dhaif dan palsu yang banyak berlegar di Malaysia khususnya. Laman ini masih dalam peringkat penambahan data oleh para penterjemah.
Pautan : https://semakhadis.com/
4. Sigir UITM

Laman Sigir UITM merupakan laman yang diusahakan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (FSKM UiTM) UITM. Laman ini memudahkan kita untuk membuat carian hadis-hadis dalam Kutub Sittah.
Pautan : https://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
5. TafsirQ
Tafsir Q adalah laman web yang dibangunkan di Indonesia. Juga bermanfaat untuk carian hadis.
Pautan : https://tafsirq.com/hadits
6. Cari Hadis
Cari Hadis juga antara web yang bermanfaat. Hanya masukkan perkataan yang ingin kita cari di ruang yang disediakan.
Pautan : http://carihadis.com/
7. Bicara Rasul

Laman Bicara Rasul adalah merupakan inisiatif Ustaz Syihabudin Ahmad Md Yatim
Pautan : http://bicararasul.blogspot.com/
Berikut pula adalah laman sesawang berbahasa Inggeris :
1. Sunnah.com

Antara laman sesawang terbaik untuk carian hadis berbahasa Inggeris.
Pautan : https://sunnah.com/
2. Hadith Collection
Pautan : http://hadithcollection.com/
3. Muflihun Hadith

Pautan : https://muflihun.com/hadith
4. Search Truth
Pautan : https://www.searchtruth.com/hadith_books.php
5. Hadith Answers
Pautan : https://hadithanswers.com/
6. Alim
Pautan : http://www.alim.org/
Laman sesawang dalam Bahasa Arab pula adalah seperti berikut :
1. Jami’ al-Sunnah wa Syuruhiha
Sesuai untuk carian hadis beserta huraian.
Pautan : http://hadithportal.com/
2. Dorar al-Saniyah

Antara yang popular dan terkehadapan dalam carian hadis.
Pautan : https://dorar.net/hadith
3. Islamweb
Laman sesawang islamweb juga antara yang telah lama dibina dan sangat bermanfaat untuk tujuan carian hadis. Ramai yang menggunakan laman ini
Pautan : https://library.islamweb.net/ar/library/
4. Hdith
Laman hdith adalah untuk carian pantas.
Pautan : http://hdith.com/
5. Sunnah.One

Juga sepantas laman hdith tadi.
Pautan : https://sunnah.one/
6. Jami’ Khadim al-Haramain al-Syarifain lil Sunnah al-Mutahharah
Laman ini adalah inisiatif Khadim al-Haramain Raja Abdullah bin Abdul Aziz.
Pautan : https://sunnah.alifta.net/Default.aspx
7. Maktabah Syamilah Online
Anda juga boleh menggunakan Maktabah Syamilah versi online ini untuk melakukan carian.
Pautan : https://al-maktaba.org/
8. Al-Jami’ lil Hadis al-Nabawi
Laman ini menyediakan bersama huraian hadis sebagai panduan.
Pautan : http://www.sonnaonline.com/
Untuk aplikasi juga ada pelbagai aplikasi dalam pelbagai bahasa yang boleh dimuat turun.
Aplikasi berbahasa melayu adalah seperti berikut :
1. Semakhadis

Ia adalah web semakhadis yang dimudahkan dalam bentuk aplikasi.
Antara ciri-ciri aplikasi ini :
- Design yang menarik
- Salin (copy) ayat-ayat
- Penanda (bookmark)
- Kongsi (share) hadis
- Simpan kata kunci (search history)
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.caliphstudio.semakhadis&hl=en
Aplikasi ini juga ada untuk iOS :
https://apps.apple.com/my/app/semak-hadis/id1357956478
2. Digital Hadith
Ini adalah aplikasi yang dihasilkan dari projek penyelidikan Universiti Malaya yang bertajuk “Preserving The Authenticity of The Digital Hadith”. Setakat ini aplikasi ini hanya memuatnaik hadis-hadis berkenaan bab Ilmu sahaja.
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=my.dh&hl=en
3. Ensiklopedia Hadis Lidwa
Ini adalah aplikasi terbaik untuk carian hadis berbahasa Indonesia.
Saya pernah mengulas tentang aplikasi ini. Boleh baca lanjut di : https://www.facebook.com/usaid.subki/posts/10204795965721366
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.saltanera.hadits&hl=en
Aplikasi dalam English :
1. Hadith Collection
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.greentech.hadith&hl=en
2. Hadith Companion
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.techvitals.hadithcompanion&hl=en
Aplikasi berbahasa Arab :
1. Mausuah Hadithiyyah Dorar Saniyyah
Ini adalah inisiatif dari pihak Dorar. Ia versi web yang sudah dimudahkan dalam bentuk aplikasi.
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.zad.hadith&hl=en
2. Mausuah al-Hadith Islamweb
Laman ini pula dibangunkan oleh tim Islamweb.
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=net.islamweb.hadith&hl=en
3. Jami’ al-Kutub al-Tis’ah
Ini antara aplikasi terbaik tentang hadis-hadis dalam Kutub al-Tis’ah.
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.arabiait.sunna&hl=en
4. Ahadith Muntasyirah La Tasih Dorar Saniyyah
Ini juga merupakan Inisiatif dari pihak Dorar namun lebih menumpukan kepada hadis-hadis yang tidak sahih.
Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.freelance.android.ahadith&hl=en
Sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa laman dan aplikasi ini hanya sebagai pemudah cara. Kadang-kadang status hadis yang keluar adalah hukum terhadap satu sanad hadis tersebut sahaja. Sedangkan semua jalur/sanad hadith perlu dikaji untuk dijadikan kesimpulan status sesebuah hadith.
Justeru anda masih perlu bertanya ustaz dan orang yang lebih berilmu bagi memastikan fakta tersebut benar-benar sahih dan boleh diamalkan.
Selamat mencuba dan beramal.
Usaid Subki,
Moga bermanfaat.
Friday, August 2, 2019
Bilangan Hadis dalam Kutub al-Sittah
2602 (tanpa yang berulang)
7397 (yang berulang tanpa muallaqat dan mutabaat)
9082 (termasuk yang berulang - bersama hadis muallaqat dan mutabaat)
3033 (tarqim fuad abdul baqi -tanpa yang berulang)
5777 (termasuk yang berulang - tanpa hadis mutabaat dan syawahid)
7275 (menurut syeikh ibn uthaimin dalam kitabnya mustalah al-hadis)
7388 (termasuk yang berulang - bersama hadis mutabaat dan syawahid)
7393 (tarqim ibn hajar seperti yang disebutkan dalam huda al-sari)
5274 (tarqim izzat ubaid al-da'aas, adil sayyid dan muhy al-din abdul hamid)
menurut mereka 4800 hadis adalah hadis, manakala 600 lagi adalah marasil
3956 (tarqim ibrahim atwah audh)
4051 (tarqim mubarakfuri)
5761 (tarqim syeikh abdul fattah abu ghuddah)
4341 (tarqim fuad abdul baqi)
Tarqim : Sistem Penomboran
Saturday, April 22, 2017
7 Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Krisis Kebuluran di Somalia
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kematian 110 orang rakyat Somalia dalam tempoh hanya 2 hari akibat krisis kebuluran yang menimpa mereka.
Wednesday, November 23, 2016
Rohingya.. Derita tiada berkesudahan
Justeru tulisan ini berusaha untuk menjelaskan serba ringkas mengenai isu umat Islam Rohingya terutamanya dari sudut sejarah kerana sejarah merupakan elemen penting untuk memahami sesuatu krisis dengan baik.
Kajian mengenai Rohingya agak terbatas khususnya dalam konteks diaspora di Malaysia. Jika pun ada, ia cenderung kepada mengaitkan Rohingya dan pencabulan hak asasi dan laporan kertas kerja yang bersifat negatif. Antara naskhah yang membicarakan secara mendalam mengenai sejarah Rohingya dan masyarakatnya di Malaysia ialah tulisan Azlinariah Abdullah, Air Mata Kesengsaraan Rohingya Identiti, Penindasan dan Pelarian di mana ia asalnya hasil tesis penulis di peringkat Sarjana Sejarah Asia Tenggara (Myanmar) dan kemudiannya ditukar menjadi buku. Buku ini menjadi rujukan asas dalam penulisan artikel ini.
Sejarah Umat Islam Rohingya
Perkataan Rohingya bermaksud “yang dikasihi” atau “yang penyayang”. Secara umumnya orang Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar yang berpegang kepada mazhab Sunni. Sebahagian besar orang Rohingya menetap di Arakan (kini dikenali dengan nama Rakhine), terutamanya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.

Arakan atau lebih dikenali dengan nama Rakhine hari ini merupakan tumpuan utama orang Islam semenjak sekurang-kurangnya abad ke-8 masihi lagi. Nama lama bagi Rakhine iaitu Arakan dikatakan berasal daripada perkataan Arab iaitu “Arkan” yang bermaksud rukun-rukun. Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan laut menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Islam. Pedagang-pedagang Arab yang singgah di Arakan sebahagiannya berkahwin dengan masyarakat tempatan dan kemudiannya menetap di Arakan. Orang pertama yang dikatakan mengembangkan Islam di Arakan adalah Muhammad Ibn Hanifiya.
Ini menyumbang kepada kepadatan penduduk Islam yang tinggi di Arakan. Berdasarkan perkembangan sejarah, orang Rohingya merupakan kacukan daripada pelbagai bangsa termasuklah Arab, Parsi, Afghanistan mahupun dari Bengal dan Chittagong. Jumlah penduduk Rohingya di Rakhine pula dikatakan berjumlah 1.4 juta orang iaitu mewakili separuh daripada jumlah penduduk Rakhine.
Antara isu utama bagi umat Islam Rohingya adalah status mereka sebagai warganegara Myanmar. Ketika zaman pemerintahan British mereka diklasifikasikan sebagai Indo-Burman. Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pula mereka dianggap sebagai bukan warganegara, padahal orang Rohingya telah mendiami Rakhine sejak ratusan tahun yang lalu. Pendek kata, status orang Rohingya sebagai minoriti yang terasing adalah merupakan sumbangan penjajahan British di Myanmar.
Di Myanmar, terdapat 134 etnik antaranya Karen, Chin dan Mon. Namun, Rohingya tidak diiktiraf sebagai kumpulan dan etnik tersebut. Kehilangan identiti masyarakat Rohingya berlaku apabila mereka melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1942 ketika berlaku perang etnik. Apabila mereka kembali semula ke Myanmar dasar negara itu telah berubah. Kesannya, mereka tidak lagi diakui sebagai rakyat negara itu. Mereka menjadi pengemis di negara sendiri.
Malah ketika kerajaan Ne Win berkuasa, pihak tentera yang sedang berhadapan dengan pemberontakan komunis dan etnik menjadikan isu Rohingya sebagai isu yang tidak begitu penting. Nasib malang terus menimpa mereka apabila Undang-Undang Kewarganegaraan Burma (Citizenship Act of Burma) diperkenalkan pada tahun 1982. Akta ini diluluskan oleh Ne Win yang bertujuan mahu menghapuskan terus etnik Rohingya dari peta Myanmar. Ini menyebabkan Kementerian Luar Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada kumpulan etnik di Myanmar.
Berdasarkan fakta-fakta ini, ia jelas menunjukkan masyarakat Rohingya sedang menghadapi krisis identiti yang hebat.
Penindasan dan Kekejaman terhadap umat Islam Rohingya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia. Penduduk Muslim Arakan dibunuh dan dihapuskan secara besar-besaran sejak Burma menceroboh Arakan pada tahun 1784. Mereka mahu menukar Arakan menjadi wilayah Buddha yang berpengaruh di Myanmar. Bahkan lebih kurang seramai 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka apabila junta tentera berkuasa sejak tahun 1962. Junta tentera menetapkan peraturan yang ketat kepada perjalanan agama-agama selain Buddha di Myanmar.
Antara operasi yang dianggap paling kejam ke atas masyarakat Rohingya adalah Operasi Naga Min (King Dragon Operation) yang merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Tahun Pembasmian Rohingya (The 20-year Rohingya Extermination Plan). Operasi ini secara umumnya bertujuan menangkap pendatang haram di Myanmar terutamanya dari China, Bangladesh, India dan Nepal. Namun tujuan yang terselindung di sebalik operasi ini adalah ke atas orang Rohingya yang sememangnya tiada pengenalan diri.
Tanggal 6 Februari 1978, operasi ini dimulakan. Orang Rohingya yang menyedari mereka menjadi sasaran bertindak menentang balas. Penentangan balas ini kemudiannya dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk bertindak lebih kejam ke atas mereka. Ketika operasi ini berkembang ke Buthidaung dan Maungdaw, beratus-ratus Muslim lelaki dan wanita dihumban ke dalam penjara. Ada yang diseksa dan dibunuh. Kaum wanita pula dirogol. Kekejaman ini menyebabkan sebahagian besar muslim Rohingya lari meninggalkan kediaman masing-masing dan menjadi pelarian.
Tahun 1991 pula menyaksikan kempen pembasmian etnik termasuk orang Rohingya dengan kod nama “Pyi Thaya”. Dalam operasi ini, penyeksaan dan kezaliman ke atas orang Rohingya terus berlanjutan. Mereka ditangkap, dibunuh malah kaum wanitanya dirogol. Tempat tinggal mereka dan masjid-masjid turut dimusnahkan. Malah pada tahun 2001, ratusan masjid dimusnahkan.

Konflik membabitkan orang Rohingya dan Rakhine kembali meletus pada tahun 2012. Khabar yang menyatakan kononnya seorang gadis Rakhine menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh pemuda Rohingya menyebabkan penganut Buddha segera membalas dengan membunuh 10 orang penduduk Islam. Harian Metro bertarikh 28 Julai 2012 menyebut bahawa lebih 1,000 orang terkorban dibunuh oleh puak Rakhine, 3000 hingga 4000 cedera, 10,000 hilang dan 115,000 hidup melarat di khemah-khemah penempatan sementara.
Malahan ratusan sami Buddha telah berkumpul pada awal September 2012 dalam perarakan menyokong tindakan presiden agar orang Rohingya dihantar ke negara lain. Ini menunjukkan betapa dalamnya kebencian masyarakat tempatan terhadap golongan Rohingya termasuk golongan sami. Padahal sepatutnya merekalah yang seharusnya menunjukkan “compassion” yang tinggi terhadap penganut agama lain.
Umat Islam Rohingya juga berhadapan dengan penindasan dari sudut keagamaan. Masjid-masjid dan madrasah ditutup secara paksa. Malah ada masjid, madrasah dan sekolah agama yang diarahkan supaya dimusnahkan. Mereka juga dihalang dari membina masjid baru mahupun membaik pulih masjid sedia ada. Ini menyebabkan banyak masjid seperti “hidup segan mati tidak mahu”.
Kanak-kanak Rohingya turut terjejas. Mereka berdepan dengan diskriminasi berhubung pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkerjaan. Kanak-kanak yang lahir mesti didaftarkan dengan bayaran yang bertambah mahal sejak tahun 2002. Ini memberi kesan yang besar kepada orang Rohingya lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai wang. Mereka juga menghidapi masalah kebuluran. 60 peratus kanak-kanak Rohingya menderita kurang zat makanan sekaligus mendedahkan mereka kepada wabak penyakit dan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan mental mereka.
Diskriminasi ke atas pendidikan kanak-kanak Rohingya menyebabkan ramai kanak-kanak buta huruf terutamanya di kawasan Rakhine Utara. Bahkan mereka juga dipaksa menjadi buruh untuk melakukan kerja-kerja keras dan berat.
Resolusi dan Tindakan
Antara tragedi terbaru yang melanda umat Islam Rohingya adalah pembunuhan 400 orang awam sejak 9 Oktober lalu. Lebih 430 buah kediaman di 3 buah kampung dibakar oleh tentera. Dalam tempoh sama sebanyak 150 orang wanita termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dirogol tentera dan polis sempadan yang setakat ini telah membakar sebanyak 3,500 buah rumah. Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dilaporkan dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone. 30,000 orang menjadi pelarian di Rakhine.
Tentera Myanmar juga dilaporkan menggunakan pelancar roket serta melepaskan tembakan daripada helikopter untuk membunuh penduduk Rohingya. Beberapa orang penduduk ditembak ketika cuba melarikan diri. Bahkan ada antara penduduk yang dibakar hidup-hidup atas timbunan rumput kering. Ini jelas menunjukkan pihak tentera memang mahu melakukan genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.
Oleh itu krisis ini perlu diambil tindakan segera. Antaranya :
1- Kerajaan Myanmar harus didesak supaya menamatkan dasarnya yang melaksanakan pengusiran dan diskriminasi ke atas masyarakat Rohingya dengan meminda semula Burma Citizenship Law yang diluluskan pada 1982. Kerajaan Myanmar juga perlu didesak agar mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai warganegara Myanmar berdasarkan bukti-bukti yang ada termasuk faktor sejarah.
2- Rohingya juga wajar diberi perhatian lebih adil oleh masyarakat Islam dunia, khususnya Pertubuhan Persidangan Islam, OIC. Pertubuhan ini tidak harus sekadar “mengutuk” kezaliman yang berlaku malah harus bertindak dengan lebih efektif dan proaktif dalam menangani isu ini. Negara-negara di Asia Tenggara (ASEAN) juga harus membantu menyelesaikan konflik yang berlaku di Myanmar sebagai salah satu anggota ASEAN.
3- Masyarakat antarabangsa juga harus terus memberi sokongan berterusan kepada golongan minoriti ini dan menggesa Myanmar untuk melakukan perubahan dasarnya terhadap golongan Rohingya yang tertindas. Gesaan dan sokongan ini pula harus konsisten dan tidak bermusim agar impaknya lebih besar dan berkesan.
4- Kerajaan Malaysia juga harus memprotes tindakan kekejaman ini dengan cara menggantung sementara urusan dagangan Malaysia-Myanmar dan menutup kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia juga harus menghantar pasukan bantuan kemanusiaan dengan mendesak kerajaan Myanmar untuk bekerjasama. Hadiah Keamanan Nobel yang dianugerahkan kepada Aung San Su Kyii juga harus ditarik balik kerana berdiam diri atas kekejaman dan pembantaian kerajaan Myanmar terhadap umat Islam di Rohingya. Sama-sama kita doakan krisis ini berakhir segera.
Usaid Subki,
Research Assistant,
Pioneer Research Center
_____________________________
Sebarang bantuan kemanusiaan kepada Rohingya boleh disumbangkan melalui melalui akaun HUMANITARIAN CARE MALAYSIA BERHAD :
- Maybank Islamic (5642 5856 0698)
- Bank Islam (1209-20100-34904)
- CIMB (8602-135-592)
(Maklumkan melalui e-mel, nama beserta bank-in slip kepada account@mycare.org.my atau WA/Telegram ke 0196551948)

.png)




