Wednesday, August 10, 2016

["Kegilaan" para salaf terhadap menulis buku]

1- Tulis sejuta hadis,
seumpama Yahya bin Ma'ien.

2- Tak sedar dah makan sebab terlalu asyik menulis sehingga subuh,
seumpama Ibn Suhnun yang sudah makan makanan yang dibawa pembantu perempuannya, namun bertanya lagi selepas itu, "bawakan (makanan) yang ada padamu", kemudian dia tersedar sebenarnya dia sudah pun makan tadi.

Katanya,
"ما شعرت بذلك"

"aku tak perasan pun".

3- Tulis 40 helaian kertas setiap hari selama 40 tahun,
seumpama Ibn Jarir yang dikatakan semua hasil penulisannya mencecah 358,000 helaian kertas.

4- Sempat lagi menulis sejam sebelum wafat, seumpama Ibn Jarir.

5- Menulis 330 buah karya,
seumpama Ibn Shahin.

Antara karyanya iaitu Tafsir al-Kabir mencecah 1000 jilid manakala kitab Al-Musnad mencecah 1300 jilid.

6- Menulis lebih 1000 buah karya penulisan,
seumpama Ibn al-Jauzi (597 H).

7- Menulis atas binatang tunggangan,
seumpama Ibn al-'Adim al-Halabi yang menulis di atas pelana baghalnya.

8- Menulis di bilik air,
seumpama Ibn Nafis yang masuk ke dalam bilik air untuk mandi, kemudian sewaktu tengah mandi beliau keluar sebentar di luar bilik air untuk menulis perbahasan perubatan tentang nadi manusia, kemudian masuk semula ke bilik air untuk habiskan mandi.

9- Meninggalkan lebih kurang 500 jilid penulisan,
seumpama Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang meninggal ketika umurnya 67 tahun.

10- Menulis walaupun ketika berperang,
seumpama al-Husain Ibn al-Imam al-Qasim yang menulis buku padahal sewaktu itu beliau adalah ketua panglima perang.

11- Bangun menulis pada akhir malam dan pada siangnya mengajar 24 majlis ilmu,
seumpama Imam al-Mufassir al-Aalusi

12- Tak tidur sehinggalah habis menulis 35 helaian kertas daripada hafalannya,
seumpama al-Qadhi al-Baqillani.

Sumber : Kitab Qimah al-Zaman inda al-Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Moga bermanfaat.


Usaid Subki,

Madinah al-Munawwarah,

21 April 2016


["Kegilaan" para salaf terhadap membaca buku]

1- Baca buku sewaktu makan,
seumpama Abu Ja'far al-Mahri (333 H).
2- Tetap baca buku walaupun pada hari raya, 
seumpama Ibn al-Makwiy al-Qurtubi (401 H).
3- Suruh orang lain bacakan buku sewaktu sedang berjalan, 
seumpama Abu Nuaim al-Asbahani (430 H)
4- Baca buku sewaktu berjalan, 
seumpama Al-Khatib al-Baghdadi (463 H) dan juga Ya'qub al-Najiramiy (520 H)
5- Baca buku 400 kali, 
seumpama Imam Nawawi (676 H) yang membaca kitab al-Wasit 400 kali.
6- Suruh orang lain bacakan buku kepadanya sewaktu terlantar sakit, 
seumpama Abu Abdullah al-Furawi yang meminta Ibn Asakir membacakan buku kepadanya.
7- Suruh orang lain bacakan buku kepadanya ketika berada dalam tandas,
seumpama Imam Ibn Taimiyyah al-Jadd (653 H) yang berkata ketika memasuki tandas "bacakan padaku kitab ini, dan kuatkan suaramu supaya aku dengar."
8- Menerima jemputan ke mana-mana majlis namun dengan syarat dibenarkan untuk membaca di majlis tersebut, 
seumpama Tha'lab al-Nahwi.
9- Buat kopi untuk berjaga malam cukup untuk seminggu terus supaya nanti tak rugi masa setiap kali nak buat kopi, sebab masa tu nak guna untuk membaca, 
seumpama Syeikh Tahir al-Jazairi (1338 H).
10- Semenjak 40 tahun, nak tidur dan nak bangun mesti buku ada atas dada,
seumpama Hasan al-Lu'lui.
11- Buku ada dekat-dekat dengan katil supaya senang nak baca bila nak tidur dan bila dah bangun, 
sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Taqyiid al-Ilm oleh al-Khatib.
12- Bawak buku kalau nak berjalan jauh, 
seumpama Fairuz al-Abadi yang bawak banyak buku supaya boleh dibaca ketika berhenti di pertengahan jalan.
13- Kalau dah mula baca kitab, tak akan berhenti sehinggalah habis baca kitab tersebut, 
seumpama al-Jahizh.
14- Kuat sangat baca buku sampai isteri cemburu dengan buku, 
seumpama yang berlaku kepada isteri Imam al-Zuhri ketika dia melihat al-Zuhri begitu sibuk menelaah buku.
Begitulah "kegilaan" para salaf terhadap membaca.
Sumber : Beberapa petikan dari kitab Qimah al-Zaman inda al-Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Juga kitab Kaifa Taqra' Kitaban oleh Syeikh Muhammad Salih al-Munajjid.
Moga bermanfaat.

Usaid Subki,
Madinah Al-Munawwarah,
20 April 2016


Saturday, July 2, 2016

Catatan Ringkas Mengenai Ibn al-Salah dan Sumbangannya Dalam Bidang Hadis

Nama Ibn al-Salah merupakan nama yang tidak asing lagi bagi penuntut ilmu khususnya penuntut ilmu hadith. Insya Allah kali ini kita akan berkenalan secara ringkas mengenai beliau.
Nota : Catatan ini merupakan ringkasan dan adaptasi daripada artikel “Ibn al-Salah dan Sumbangannya dalam Pengajian Hadith” yang ditulis oleh Prof Madya Dr Fauzi Deraman yang mana pernah dimuatkan dalam himpunan Jurnal al-Bayan pada tahun 2004.
Nama penuh beliau adalah Imam al-Hafiz Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu Amr Uthman bin Salahuddin Abu al-Qasim Abd al-Rahman bin Uthman bin Musa bin Abu Nasr al-Nasari al-Kurdi al-Syahruzuri al-Shafi’i.
Beliau masyhur dengan gelaran Ibn al-Salah, yang mana merupakan nisbah kepada bapanya yang digelar Salahuddin.
Beliau lahir pada tahun 577H di Syarakhan, sebuah kampung kecil yang terletak dalam perkampungan Shahrazur, utara Iraq. Beliau mendapat didikan terus dari ayahnya iaitu al-Salah Abd al-Rahman, ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i.
Ibn al-Salah dikatakan pernah beberapa kali membaca kitab al-Muhaddah dari bapanya. Beliau juga berguru dengan beberapa ulama lain yang rata-ratanya berketurunan Kurdi. Karya al-Muhaddah merupakan ringkasan fiqh mazhab al-Syafi’i.
Ibn al-Salah juga banyak mengembara demi mencari ilmu. Destinasi rehlah ilmiah pertama beliau adalah Mawsil. Di sana beliau telah pun berguru beberapa ulama. Antaranya ialah Abu Ja’far Ubayd Allah bin Ahmad al-Warraq, Nasrallah bin Salamah bin Salim, Musa bin Muhammad al-Mawsuli dan juga Abu Hamid al-Arbili yang merupakan pengarang kitab al-Muhit iaitu kitab yang menggabungkan antara kitab al-Muhaddah oleh al-Syirazi dan al-Wasit oleh al-Ghazali.
Kemudian Ibn al-Salah merantau ke Khurasan, Naysabur, Marw dan Qazwayn untuk menimba ilmu di sana. Rehlah kembara ini berlaku sebelum serangan Tartar tahun 616H. Di sana beliau menimba ilmu dari pelbagai ulama seumpama Umar al-Busti, Abu al-Hasan al-Naysaburi, Mansur bin Abd al-Mun’im al-Farawi dan beberapa ulama yang lain.
Di sinilah beliau mendengar Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Kubra dan Madkhla ila al-Sunan al-Kubra.
Ibn al-Salah merupakan anak murid kepada Imam al-Rafi’i, seorang ulama ulung dalam mazhab Syafi’i. Beliau juga merantau ke Hamadan dan juga Baghdad.
Kemudian beliau merantau ke Syam, destinasi terakhir beliau. Ketika beliau berada di Syam, Tartar menyerang negara-negara Islam. Menurut Imam al-Zahabi, dunia berada di tangan mereka pada tahun 618H.
Di Syam beliau merantau ke Damsyik, Harran, dan juga Halab untuk menuntut ilmu dari ulama di sana.
Hasil dari rehlah ilmiah yang panjang ini terhasillah kekuatan ilmu yang hebat dalam diri Imam Ibn al-Salah.
Kurun ke 6 hijrah menyaksikan lahirnya madrasah yang khusus untuk mempelajari hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam yang lebih dikenali dalam Bahasa Arab sebagai Dar al-Hadith. Madrasah Nuriyyah merupakan Dar al-Hadith pertama yang dibangunkan di Damsyik. Manakala Dar al-Hadith pertama di Kaherah dibina pada tahun 622H. Ibn al-Salah mengajar di Madrasah Sitti al-Syam Zamrud setelah diberi mandat oleh Malik al-Asyraf.
Kemudian beliau mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Salahiyyah , al-Quds. Setelah itu beliau berpindah ke Damsyik dan berkhidmat di Madrasah al-Rahawiyyah di sana. Imam al-Nawawi rahimahullah tinggal di sebuah rumah di kawasan madrasah ini sehingga akhir hayatnya.
Apabila Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah dibuka pada tahun 630H, Ibn al-Salah adalah orang pertama yang diberikan tugasan untuk mengajar di sana. Beliau bertugas di sini selama 13 tahun.
Ibn Khallikan yang merupakan anak murid beliau menyatakan bahawa Ibn al-Salah bertugas di 3 buah madrasah ini iaitu al-Rahawiyyah, al-Asyrafiyyah dan Sitti al-Syam silih berganti tanpa henti kecuali jika beliau ada keuzuran.
Imam Ibn al-Salah merupakan tokoh yang terbilang dalam hadith, fiqh dan juga usul. Beliau mempunyai beberapa buah karya iaitu :
1. Nukat ala al-Muhaddah oleh Imam Syirazi
2. Musykil al-Wasit oleh Imam Ghazali
3. Silat al-Nasik fi Sifat al-Manasik
4. Al-Fatawa (himpunan fatwa-fatwa beliau yang dikumpulkan oleh anak murid beliau)
5. Adab al-Mufti wa al-Mustafti
6. Tabaqat al-Fuqaha al-Syafi’iyyah
7. Al-Muntakhab min al-Muzhib fi Zikr Syuyukh al-Madhhab li al-Mutawwa’i
8. Kitab Hilyat Imam al-Syafie
Imam Ibn al-Salah telah meninggalkan pelbagai generasi pelapis yang terdiri daripada rakan-rakan dan murid-muridnya. Antaranya adalah :
1. Abu Marwan al-Baji al-Isybili
2. Abu Syamah al-Maqdisi
3. Ibn Khallikan al-Syafi’i
4. Muhammad bin al-Husayn al-Tadmuri
Setelah menyumbangkan jasa yang tiada tolok bandingnya dalam ilmu hadith, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Rabu 25 Rabiul Thani tahun 643H.
Sumbangan Ibn al-Salah terhadap ilmu hadith cukup besar. Ini terserlah dalam karya beliau iaitu Ma’rifat Anwa’ Ilm al-Hadith yang juga dikenali sebagai al-Muqaddimah. Ada juga yang menamakannya sebagai Ulum al-Hadith.
Nama yang popular bagi kitab ini adalah Muqaddimah Ibn Salah dan Ulum al-Hadith. Menurut Dr Muwaffaq, nama yang diberikan oleh Ibn al-Salah adalah Ma’rifat Anwa’ Ilm al-Hadith. Berdasarkan kandungannya, ramai ulama termasuk Imam Nawawi, Ibn Khallikan dan lain-lain menamakannya sebagai Ilm al-Hadith.
Nama Muqaddimah pula timbul apabila karya ini diterbitkan di India pada tahun 1304H oleh Syeikh Abd al-Hayy al-Laknawi. Kemudian nama Muqaddimah dikekalkan dalam edisi yang diterbitkan di Kaherah dan juga Halab.
Kesimpulannya, nama Muqaddimah ini hanyalah berdasarkan kepada pendapat penerbit buku di India yang dikekalkan oleh penerbit seterusnya sehingga nama ini menjadi nama yang popular di kalangan awam.
Imam Ibn al-Salah telah menyenaraikan sebanyak 65 jenis ilmu hadis. Ia dibincangkan secara menyeluruh dan terperinci. Fakta dan maklumat yang terdapat dalam kitab yang ditulis sebelum beliau seumpama karya-karya al-Khatib disemak dan dianalisis semula sebelum dimuatkan ke dalam karyanya.
Pengalaman beliau yang luas dalam ilmu hadith banyak membantu beliau menghasilkan karya ini. Apatah lagi beliau menulis karya ini ketika umur beliau mencapai angka 50 tahun.
Beberapa pendekatan telah digunakan oleh Ibn al-Salah dalam karyanya yang menunjukkan kreativiti beliau, antaranya :
1. Memberi definisi bagi setiap bahagian hadith yang dibincangkan. Beliau sangat memberikan perhatian terhadap aspek ini. Ini termasuk memberikan definisi baru terhadap hadis hasan, muallal, mudhtarib, mukhadram dan lain-lain. Beliau juga memberikan penjelasan yang terperinci terhadap definisi-definisi tersebut.
2. Mengemukakan perkara-perkara baru yang belum pernah dikenali sebelumnya seumpama pembahagian hadis sahih, hasan, syaz, munkar, al-asma wa al-kuna.
3. Pengalaman beliau digunakan untuk memantapkan pandangan terdahulu dari beliau seperti membetulkan yang kurang tepat, menunjukkan kelemahan, menegur kesilapan, memberikan pandangan tambahan dan menjelaskan yang kabur.
4. Mengadunkan maklumat yang berselerak, menjelaskan hukum dan status hadis, merangka pembahagiannya dan mengulas pokok dan cabangnya.
Pandangan tokoh-tokoh sebelum beliau seperti al-Khatib, al-Hakim dan lain-lain diteliti bagi menghasilkan rumusan yang kemas dan baik. Contohnya pengamatan terhadap definisi hadis hasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh sebelum beliau. Begitu juga ulasa beliau terhadap pandangan yang mengutamakan Sahih Muslim ke atas Sahih Bukhari.
Tidak terlanjur jika dikatakan Ulum al-Hadith telah mencapai tahap kematangannya pada zaman Ibn al-Salah.
Perhatian dan tumpuan ulama’ terhadap kitab Ibn al-Salah ini cukup banyak dan besar.
Antaranya ialah :
1. Al-Irsyad (ringkasan kitab Muqaddimah), diringkaskan lagi dalam kitab al-Taqrib wa al-Taysir. Dua kitab ini merupakan karya Imam Nawawi.
2. Ta’liq ala Ibn Salah oleh Abu Muhammad al-Dimyati
3. Al-Mulakhkhas fi Ulum al-Hadith dan al-Muntakhab oleh Abu Ishaq al-Tabari.
4. Al-Manhal al-Rawi fi Ulum al-Hadith al-Nabawi oleh Ibn Jamaah
5. Al-Khulasah fi Usul al-Hadith oleh Ali bin Uthman al-Turkumani
6. Islah Ibn Salah oleh Mughlatai
7. Ringkasan kitab Ibn Salah oleh Ibn Kathir
8. Al-Nukat ala Kitab Ibn Salah oleh al-Zarkasyi
9. Al-Muqni’ fi Ulum Hadith oleh Ibn al-Mulaqqin
10. Mahasin al-Istilah wa Tadmin Ulum al-Hadith li Ibn Salah oleh al-Bulqini
11. Alfiyyah Ulum al-Hadith oleh al-Iraqi. Kitab ini disusun dalam bentuk puisi yang merupakan ringkasan dan ulasan bagi kitab Ibn Salah.
12. Al-Ifsah bi Takmil al-Nukat ala Ibn Salah oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
Oleh kerana karya ini diimla’ oleh beliau dari masa ke semasa, ia mempengaruhi susun letak isi kandungannya yang agak tidak tersusun dan teratur. Namun ia langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai karya yang terbaik dalam Mustalah al-Hadith.
Di samping kitab ini, Ibn Salah juga ada menghasilkan beberapa karya lain.
Antaranya :
1. Syarah Sahih Muslim
Karya ini berjudul Siyanah Sahih Muslim min al-Ikhlal wa al-Ghalat wa Himayatuhu min al-Isqat wa al-Saqt. Karya ini adalah merupakan jawapan beliau kepada murid beliau semasa belajar Sahih Muslim yang mana terdapat beberapa kelemahan seperti kesilapan, tercicir dan lain-lain. Yang menariknya karya ini bukan sahaja membetulkan pelbagai kesilapan malahan sekaligus merupakan syarahan dan juga ulasan baginya.
Dalam karya ini juga Imam Ibn Salah membincangkan biodata Imam Muslim, keistimewaan Sahih Muslim dan perbezaannya dengan Sahih Bukhari, syarat Imam Muslim dalam sahihnya dan pelbagai topik penting lain.
2. Fawaid al-Rehlah
Ia memuatkan kaedah-kaedah yang unik dalam pelbagai cabang ilmu
3. Al-Ahadith al-Kuliyyah allati alaiha Madar al-Din
4. Al-Amali
5. Hadith al-Rahmah al-Musalsal bil Awwaliyyah
6. Hawasyi wa Ta’liqat ala Matali’ al-Anwar ala Sihah al-Athar
7. Kitab al-Ahadith fi Fadhl al-Iskandariyyah wa Asqalan
8. Tarikh Usturi li al-Rasul alayhi al-Salat wa al-Salam
9. Mukhtasar fi Ahadith al-Ahkam
10. Musykilat al-Bukhari
11. Wasl Balaghat al-Muwatta’
12. Syarah Ma’rifat Ulum al-Hadith li al-Hakim al-Naysaburi
13. Hukm Salat al-Raghaib
Ternyata Imam Ibn Salahh adalah tokoh muhaddithin yang menyumbangkan jasa yang cukup besar dalam ilmu hadith. Beliau boleh dianggap arkitek kepada bidang ini menerusi karya beliau al-Muqaddimah. Moga Allah merahmati beliau.
Seperti yang dinyatakan di atas, tulisan ini merupakan ringkasan dan juga adaptasi dari sebuah artikel yang ditulis oleh Prof Madya Fauzi Deraman yang dimuatkan dalam majalah Al-Bayan tahun 2004.
Moga bermanfaat.


Tuesday, February 2, 2016

Raqib dan Atid adalah sifat bagi malaikat pencatit dan bukan nama

Oleh kerana ramai yang berminat mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini, saya cuba menulis sedikit berdasarkan kemampuan terbatas saya. Harapnya tulisan ini dapat memberi manfaat kepada semua.
Mohon juga dibetulkan jika terdapat kesalahan.

__________________

Raqib dan Atid seringkali disalahfahami dalam masyarakat Melayu sebagai nama bagi dua malaikat pencatit yang berada kiri dan kanan manusia.
Pertamanya, Raqib dan Atid merupakan sifat bagi malaikat yang ditugaskan untuk mencatit amalan baik dan buruk manusia. Raqib dan juga Atid adalah sifat bagi kedua-dua malaikat tersebut. Maksudnya malaikat di sebelah kanan sifatnya Raqib dan juga Atid dan malaikat di sebelah kiri juga sifatnya Raqib dan juga Atid.
Allah subhanahu wa taala berfirman dalam Surah Qaf ayat 16-18 :
16. "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
17. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.
18. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."
Imam al-Qurtubi rahimahullah menyebutkan bahawa Raqib itu ada 3 pendapat mengenainya :
1- Ia adalah yang selalu mengawasi sesuatu
2- Ia adalah penjaga, kata al-Suddi.
3- Ia adalah pemerhati, kata al-Dhahhak
Manakala Atid pula ada dua pendapat :
1- Ia adalah yang selalu hadir dan tidak menghilang
2- Ia adalah penjaga yang bersedia, samada untuk menjaga atau untuk memerhati.
Rujuk : Al-Jami' li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurtubi (17/11)
Syeikh Ibn Uthaimin pula berkata :
Raqib : Penjaga siang dan malam, tidak berpisah dari manusia.
Atid : Yang hadir, tak mungkin menghilang dan mewakilkan selainnya, dia duduk di situ sebagai penjaga yang hadir, tidak terlepas darinya apapun.
Rujuk : Tafsir Surah Qaf oleh Syeikh Ibnu Uthaimin
Maka pendapat yang mengatakan bahawa salah satu malaikat bernama Raqib dan satu lagi bernama Atid adalah menyalahi ayat di atas.
Dr Umar Sulaiman al-Asyqar hafizahullah berkata :
"Sebahagian ulama menyatakan bahawa ada dari kalangan malaikat itu yang namanya Raqib dan Atid, berdasarkan firman Allah : "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)," dan apa yang dikatakan itu tidak benar, Raqib dan Atid di sini adalah sifat bagi kedua-dua malaikat yang mencatit amalan manusia. Makna Raqib dan Atid ialah dua malaikat yang hadir dan memerhati, tidak menghilang ghaib dari hamba, dan bukan bermaksud nama bagi kedua-dua malaikat tersebut."
Rujuk : 'Aalam al-Malaikah al-Abrar muka surat 12
Ayat al-Quran lain yang membicarakan tentang malaikat pencatit ini adalah firman Allah taala dalam Surah al-Infitaar ayat 10-11 :
10. Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
11. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
Maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa Raqib dan Atid itu bukanlah nama malaikat tetapi merupakan sifat bagi kedua-dua mereka.
Wallahu A'lam.
Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah,
Selasa, 2 Februari 2016,
12.35 PM.


Monday, December 28, 2015

Sumbangan Wanita dalam Bidang Tafsir

Selain bidang hadis, wanita juga ada sumbangan terhadap bidang tafsir.
Kalau sebelum ini kita sebut tentang Muhaddithat (ahli hadis dalam kalangan wanita), mereka juga ada Mufassirat (ahli tafsir dalam kalangan wanita).
Namun jumlah mereka yang direkodkan sebagai Mufassirat tidak seramai Muhaddithat yang menjangkau angka 8000 seperti mana yang direkodkan dalam al-Muhaddithat oleh Dr Akram Nadwi.
Seperti mana dalam ilmu hadis, Aisyah radhiallahu anha juga merupakan jaguh dalam bidang tafsir. Ini kerana beliau adalah wanita yang paling faqih secara mutlak. Biodata beliau diceritakan panjang lebar dalam kitab A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah. (1)
Antara mufassirah yang lain adalah Aisyah binti Abd al-Rahim bin Muhammad al-Zujaj. Diceritakan bahawa beliau meriwayatkan kitab Gharib al-Quran yang dinamakan sebagai Nuzhah al-Qulub karya Imam Abu Bakr al-Sijistani. Malah Syeikh Siraj al-Din Umar al-Qazwini meriwayatkan kitab Fadhail al-Quran oleh al-Bajali dari beliau. (2)
Qurrah al-Ain binti Soleh al-Qazwini (Ummu Salma Hanim) juga antara yang terkedepan dalam bidang tafsir. Beliau dikatakan menghafal keseluruhan al-Quran dan mahir dalam bidang tafsir.
Cumanya beliau adalah antara tokoh besar dalam ajaran Syiah seperti mana yang disebutkan oleh Umar Kahhalah dalam kitab beliau. (3)
Antara Mufassirat yang lain adalah :
1. Nafisah binti al-Hasan bin Zaid bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib (280 H). Beliau menghafal al-Quran dan tafsirnya. (4)
Al-Zirikli dalam al-A'lam pula menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang bertaqwa dan solehah serta alim dalam bidang tafsir dan juga hadis. (5)
2. Yasminah al-Sirawandiah (502 H). Beliau ada menafsirkan beberapa surah dari al-Quran. (6)
3. Aisyah binti al-Syati' (1998 M). Antara karya beliau adalah al-Tafsir al-Bayani lil Quran al-Karim. Beliau merupakan antara tokoh ilmuan dari Mesir yang menulis dalam pelbagai bidang dan karya beliau mencecah lebih 40 buah karya. (7)
4. Zainab al-Ghazali. Beliau ada menulis beberapa kitab. Antaranya adalah Nazarat fi Kitabillah yang merupakan tafsir kepada Surah al-Baqarah, Ali Imran dan juga al-Nisa'. (8)
Rujukan :
(1) : A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah (cetakan Muassasah Risalah) (3/9)
(2) : Ibid (3/158)
(3) : Ibid (4/192)
(4) : Ibid (5/187)
(5) : Al-A'lam oleh Al-Zirikli (cetakan Dar al-Ilm lil Malayin) (8/44)
(6) : A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah (cetakan Muassasah Risalah) (5/295)
(7) : https://ar.wikipedia.org/…/%D8%B9%D8%A7%D8%A6%D8%B4%D8%A9_%…
(8) : https://ar.wikipedia.org/…/%D8%B2%D9%8A%D9%86%D8%A8_%D8%A7%…
Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah,
Isnin, 28 Disember 2015
7.45 am


Monday, December 14, 2015

Para Sahabat yang Masyhur dengan Kuniyah Mereka

Kuniyah bermaksud gelaran atau panggilan hormat yang dimulakan dengan lafaz "Abu" seperti Abu Hurairah dan juga Abu Abdullah ataupun "Ummu" seumpama Ummu Kalthum dan Ummu Amr. Semenjak zaman dahulu lagi, menjadi tradisi bagi masyarakat Arab untuk memberikan kuniyah pada nama mereka sebagai penghormatan terhadap individu yang diberi kuniyah tersebut.

Malah Nabi sallallahu alaihi wasallam sendiri mempunyai kuniyah baginda yang tersendiri iaitu Abu al-Qasim. Sunnah memberikan kuniyah ini kemudiannya dicontohi oleh para sahabat, tabiin serta generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini.

Antara sahabat yang masyhur dengan kuniyah mereka adalah :

1. Abu Bakar al-Siddiq r.a , nama sebenarnya : Abdullah bin Uthman
2. Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a, nama sebenarnya : Aamir bin Abdullah
3. Abu Hurairah al-Dusi r.a, nama sebenarnya : Abdul Rahman bin Sakhr
4. Abu Ayyub al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Khalid bin Zaid
5. Abu al-Darda' al-Ansari r.a, nama sebenarnya : 'Uwaimir bin Zaid al-Khazraji
6. Abu Musa al-Asy'ari r.a, nama sebenarnya : Abdullah bin Qais
7. Abu Said al-Khudri r.a, nama sebenarnya : Sa'd bin Malik bin Sinan
8. Abu Dzar al-Ghifari r.a, nama sebenarnya : Jundub bin Junadah
9. Abu Talhah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Zaid bin Sahl
10. Abu Qatadah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Al-Harith bin Rib'iy
11. Abu Sufyan bin Harb r.a, nama sebenarnya : Sakhr bin Harb
12. Abu Syuraih r.a, nama sebenarnya : Ka'b bin Amru al-Khuzaie
13. Abu Umamah al-Bahili : r.a, nama sebenarnya : Al-Sudaiy bin Ajlan
14. Abu Tha'labah al-Khusyali r.a, nama sebenarnya : Jurthum bin Nashir
15. Abu Barzah al-Aslami r.a, nama sebenarnya : Nadhlah bin Ubaid
16. Abu Mas'ud al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Uqbah bin Amru al-Badri
17. Abu Bakrah r.a, nama sebenarnya : Nufai' bin al-Harith
18. Abu Humaid al-Sa'idi r.a, nama sebenarnya : Abdullah bin Amru
19. Abu Juhaifah r.a, nama sebenarnya : Wahb bin Abdullah al-Sawani
20. Abu Mahzurah r.a, nama sebenarnya : Samurah bin Mi'war
21. Abu Marthad al-Ghanawi r.a, nama sebenarnya : Kannaz bin al-Husain
22. Abu Malik al-Asy'ari r.a, nama sebenarnya : Ka'b bin 'Asim
23. Abu Najih r.a, nama sebenarnya : Al-Irbadh bin Sariah
24. Abu Burdah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Hani' bin Niyar
25. Abu Waqid al-Laithi r.a, nama sebenarnya : Al-Harith bin Auf
26. Abu Habbah al-Badri r.a, nama sebenarnya : 'Aamir bin Amr al-Mazini
27. Abu Karimah r.a, nama sebenarnya : al-Miqdam bin Ma'di Yakrib
28. Abu Ruham al-Ghifari r.a, nama sebenarnya : Kalthum bin al-Husain
29. Abu al-Aas bin al-Rabi' r.a, nama sebenarnya : Laqit bin al-Rabi'
30. Abu Kabsyah al-Anmari r.a, nama sebenarnya : Sulaiman

Manakala sahabiyyah yang masyhur dengan kuniyah mereka pula ialah :

1. Ummu Habibah binti Abi Sufyan : r.a, nama sebenarnya : Ramlah binti Sakhr (Ummul Mukminin)
2. Ummu Salamah r.a, nama sebenarnya : Hindun binti Abi Umayyah (Ummul Mukminin)
3. Ummu Hani' r.a, nama sebenarnya : Fakhitah binti Abi Talib
4. Ummu Sulaim r.a, nama sebenarnya : Al-Rumaisa binti Milhan (Isteri Abu Talhah al-Ansari)
5. Ummu al-Darda' al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Khairah binti Abi Hadrad
6. Ummu Qais al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Aminah binti Mihsan (Adik-beradik Ukasyah bin Mihsan)
7. Ummu Atiyyah al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Nusaibah binti al-Harith
8. Ummu al-Fadhl r.a, nama sebenarnya : Fatimah binti Hamzah bin Abdul Muttalib
9. Ummu al-Fadhl r.a, nama sebenarnya : Lubabah binti al-Harith (Isteri al-Abbas bin Abdul Muttalib)
10. Ummu al-Nu'man bin Basyir r.a, nama sebenarnya : Amrah binti Rawahah

Imam al-Hafiz Abu al-Fath Muhammad bin al-Husain al-Azdi al-Mausili (wafat 374 hijrah) ada karya khas mengenai para sahabat yang dikenali dengan kuniyah mereka dalam karya beliau yang bertajuk : "Asma' man Yu'raf bi Kunyatihi min Ashab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam".

Artikel asal : http://articles.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=206608




Sunday, December 13, 2015

Peranan Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Ilmu Hadis pada Zaman Sahabat dan Tabien

Islam sangat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kehidupan insan. Ayat pertama dalam Surah Al-Alaq : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan (sekalian makhluk)" ditujukan kepada seluruh umat manusia termasuk kaum wanita yang tidak dinafikan mempunyai peranan yang cukup besar dalam masyarakat.

Islam menuntut kaum wanita agar mempelajari ilmu tentang rukun islam, tauhid, dan lain-lain ilmu yang diperlukannya dalam urusan seharian. Oleh itu, para sahabat-sahabat dari kalangan wanita merasakan keperluan ini sehinggalah mereka datang kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lalu meminta agar diadakan majlis ilmu khas untuk mereka sahaja.

Daripada Abu Said al-Khudri beliau berkata :" Seorang wanita datang kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam lalu berkata : Kaum lelaki (para sahabat) sudah biasa datang kepadamu untuk mempelajari hadis, maka peruntukkanlah kepada kami suatu hari agar kami boleh datang dan kamu boleh ajarkan kami ilmu yang telah Allah ajarkan padamu. Lalu baginda bersabda : Berkumpullah kalian pada hari sekian-sekian pada tempat sekian-sekian, lalu mereka pun berkumpul dan baginda mengajarkan mereka apa yang telah Allah ajarkan pada baginda." (Sahih Bukhari no 6766)

Hasil dari kesungguhan mereka inilah lahirnya para muhaddithat (ulama hadith dari kalangan wanita). Ini kerana mereka bukan setakat mempelajarinya sahaja malah mengajarkan dan menyampaikan pula ilmu dan hadis tersebut kepada orang lain. 

Ummahatul Mukminin dan Periwayatan Hadis 

Ummahatul Mukminin iaitu isteri-isteri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah antara mereka yang paling terserlah dalam hal ini. Ini kerana mereka selalu mendampingi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hidup mereka. Aisyah radhiallahu anha umpamanya meriwayatkan begitu banyak hadis dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Dengan usia yang muda dan kecerdasan yang dianugerahkan Allah kepada beliau, jumlah hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 2210 hadis. Beliau dinobatkan sebagai wanita yang paling faqih secara mutlak. Aisyah merupakan antara Ummahatul Mukminin yang terakhir meninggal dunia. Ini membolehkan para sahabat seumpama Abu Bakar, Umar, Abu Hurairah dan para tabien seumpama Masruq, Said bin al-Musayyib, Sya'bi dan juga Mujahid mengambil ilmu daripada beliau.

Selain beliau, Ummahatul Mukminin yang lain turut meriwayatkan sejumlah hadis yang banyak dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Mereka adalah :

1. Ummu Salamah
Hadis yang diriwayatkan oleh beliau mencecah 378 hadis. 13 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

2. Maimunah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 76 hadis. 31 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 7 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

3. Habibah binti Abi Sufyan.
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 65 hadis. 29 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

4. Hafsah binti Umar
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 60 hadis. 28 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 4 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

5. Zainab binti Jahsy
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 11 hadis. 5 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

6. Safiyyah binti Huyay
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 10 hadis. 1 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

7. Juwairiyah binti al-Harith
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 7 hadis. 4 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 3 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

8. Saudah binti Zam'ah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 5 hadis. 2 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. Satu daripadanya dalam Sahih Bukhari.

Ini menunjukkan bahawa Ummahatul Mukminin merupakan elemen penting dalam periwayatan hadith. Tanpa mereka, nescaya banyak hadis yang tidak akan sampai kepada kita.

Muhaddithat dari kalangan Sahabiyyat

Para Muhaqqiqin (pengkaji) berbeza pendapat tentang jumlah perawi dari kalangan sahabat. Al-Hakim umpamanya menyebutkan bahawa bilangan mereka mencapai 4000 orang. Namun Al-Zahabi menyatakan mereka ini berjumlah sekitar 1500 orang sahaja. 

Berdasarkan kiraan dalam Kitab Baqiy bin Makhlad, jumlah mereka adalah sekitar 1858 orang. 1642 daripadanya adalah sahabat manakala 216 terdiri dari kalangan sahabiyat. Namun menurut Dr Akram al-Umari, jumlah yang disebutkan oleh Al-Zahabi adalah lebih tepat.

Termasuk dalam jumlah 216 ini adalah Ummahatul Mukminin seramai 9 orang yang sudah disebutkan tadi.

Antara sahabiyat yang meriwayatkan puluhan hadis ada 9 orang (tak termasuk Ummahatul Mukminin) : 

1. Asma' binti Yazid bin al-Sakan : 81 hadis
2. Asma' binti Umais : 60 hadis
3. Asma' binti Abu Bakr : 58 hadis
4. Ummu Hani' binti Abi Talib : 46 hadis
5. Ummu Atiyyah : 40 hadis
6. Fatimah binti Qais : 34 hadis
7. Ummu al-Fadhl binti Al-Harith : 30 hadis
8. Ummu Qais binti Mihsan : 24 hadis
9. Al-Rabie binti Muawwiz : 21 hadis

Selain mereka ini, ada juga sahabiyat yang meriwayatkan belasan hadis. Antaranya : 

1. Fatimah binti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : 18 hadis
2. Khaulah binti Hakim : 15 hadis
3. Ummu Sulaim binti Milhan : 14 hadis

Manakala yang lain masing-masing meriwayatkan hadis kurang daripada jumlah tersebut. Saya tidak menyebutkan nama-nama mereka kerana jumlah mereka agak ramai. 

Muhaddithat dari kalangan Tabien

Muhaddithat dari kalangan wanita Tabien tidak begitu ramai memandangkan mereka yang hidup pada kurun pertama lebih cenderung untuk terus mengambil riwayat daripada kalangan Sahabiyat yang masih hidup.

Antara Muhaddithat yang masyhur dari kalangan tabien adalah seperti berikut : 

1. Khairah iaitu Ibu kepada Hasan Al-Basri
2. Zainab binti Ka'b bin Ujrah (isteri Abu Said Al-Khudri)
3. Safiyyah binti Abi Ubaid bin Mas'ud (isteri Abdullah bin Umar)
4. Zainab binti Nabit (isteri Anas bin Malik)
5. Umm Kalthum binti Abu Bakr al-Siddiq

Sumbangan Wanita terhadap Sahih Bukhari

Wanita juga mempunyai sumbangan yang besar terhadap Sahih Bukhari. Kisah lanjut mengenai sumbangan mereka boleh didapati dalam kitab-kitab al-Tarajum, al-Masyikhat dan juga al-Athbat. 
Dr Muhammad bin Azuz telah mengumpulkan sumbangan-sumbangan mereka ini dalam karyanya bertajuk Safahat Musyriqah min Inayah al-Mar'ah bi Sahih al-Bukhari.

Kaum wanita telah mendengar hadis dari ahli hadith terkemuka seumpama Ibn al-Zubaidi, khususnya para wanita yang mendengar hadis di Darul Hadis al-Asyrafiyyah. Antaranya ialah Fatimah binti Abdul Hadi al-Maqdisiyyah (wafat 803 h) yang merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar. Contoh yang lain adalah seumpama Karimah al-Marwaziyyah yang merupakan wanita pertama yang mempelajari Sahih Bukhari pada kurun ke 5 hijrah. Begitu juga Sitt al-Wuzara' yang merupakan wanita pertama yang datang ke Mesir untuk mengajarkan Sahih al-Bukhari.

Jumlah Periwayatan Wanita dalam Hadis

Berdasarkan sumber-sumber yang digunapakai oleh al-Mizzi dan juga Ibn Hajar, di sana terdapat 2764 hadis yang diriwayatkan oleh wanita dalam Kutub al-Sittah. 2539 daripadanya adalah dari kalangan Sahabiyyat. Manakala 225 lagi adalah daripada bukan Sahabiyyat.

Daripada jumlah 2539 hadis yang diriwayatkan oleh Sahabiyyat, sebahagian besarnya adalah daripadanya riwayat Aisyah yang mencecah dua ribu lebih. Jumlah hadis riwayat Aisyah dalam Sahih Bukhari dan Muslim mencecah 297 hadis. 

Bilangan muhaddithat (dari kalangan sahabiyyat) yang meriwayatkan hadis dalam Kutub al-Sittah adalah seperti berikut : 

1. Sahih Bukhari : 31 hadis
2. Muslim : 36 hadis
3. Sunan Abu Daud : 75 hadis
4. Sunan Tirmizi : 46 hadis
5. Sunan Nasaie : 65 hadis
6. Sunan Ibn Majah : 60 hadis

Wanita dan Bermusafir dalam Menuntut Hadis

Seperti yang kita ketahui, wanita banyak terikat dengan urusan dalam rumahtangga. Mereka juga ada banyak kekangan untuk bermusafir kerana mereka mesti ditemani mahram dan sebagainya. Namun ini tidak menghalang mereka daripada bermusafir untuk mempelajari hadis.

Umpamanya Ummu Atiyyah yang bermusafir ke Basrah lalu menetap di Bani Khalaf kemudian terkenal dengan keluasan ilmu dan riwayatnya dalam hadis di sana. Ummul Mukminin Habibah juga meriwayatkan hadis di Syam ketika mana menziarahi saudaranya iaitu Khalifah Muawiyah.

Begitu juga Qailah binti Makhramah al-Anbariyyah yang datang untuk berbaiah kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam bersama Bani Bakr bin Wail.

Wanita islam pada kurun pertama hijrah menggunakan peluang ketika waktu haji untuk mendengar hadis dari Ummahatul Mukminin. Contohnya Ummu Salim binti Malik al-Basriyyah, seorang tabiin yang meriwayatkan hadis daripada Aisyah. Disebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib bahawa Ummu Salim berihram dari Basrah (ke Mekah) 17 kali. Disebutkan juga bahawa Jasrah binti Dajajah, seorang tabiin yang thiqah meriwayatkan hadis daripada Abu Dzar. Dikisahkan bahawa beliau melakukan umrah lebih kurang sebanyak 40 kali. Ini merupakan antara gambaran rehlah ilmiyyah mereka untuk menuntut hadis.

Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Naqd al-Hadis

Naqd menurut istilah para muhaddithin adalah membezakan hadis yang sahih dari hadis yang dhaif dan memberikan hukum ke atas periwayat hadis dari sudut tauthiq dan juga tajrih.

Antara yang menonjol dalam bidang naqd ini ialah Aisyah radhiallahu anha. Beliau membetulkan riwayat para sahabat yang tersalah dalam meriwayatkan sesuatu hadis. Antara riwayat yang dibetulkan oleh Aisyah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Umar, Ibn Abbas, Abdullah bin Amru Al-'As, Abu Hurairah dan lain-lain. 

Umpamanya hadis yang diriwayatkan oleh Umar yang menyebutkan bahawa mayat akan diseksa dalam kubur jika ia ditangisi ahli keluarganya. Aisyah menegur Umar dan mengatakan bahawa hadis yang sebenar ialah :"Sesungguhnya Allah menambahkan azab kepada orang Kafir yang ditangisi oleh ahli keluarganya". Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah taala dalam surah Al-An'aam ayat 164 : "Seseorang itu tidak memikul dosa perbuatan orang lain".

Al-Zarkasyi ada menulis satu kitab khas yang membincangkan tentang pembetulan dan teguran Aisyah terhadap riwayat para sahabat dalam kitabnya bertajuk : Al-Ijabah li Iirad Ma Istadrakathu Aisyah ala al-Sahabah.

Antara jaguh dalam naqd dalam kalangan mutakhirin adalah Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang wafat pada tahun 1078 hijrah. Beliau ada melakukan tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Penulisan Hadis

Penulisan wanita terutamanya dalam bidang hadis agak sedikit berbanding lelaki. Antara contoh mereka yang menulis ialah Al-Muhaddithah Fatimah binti Muhammad bin Ahmad al-Samarqandi yang telah menulis dalam bidang hadis dan juga fiqh. Begitu juga Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang mempunyai tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

Ibn al-Zubair turut nenyatakan bahawa Amaturrahman meriwayatkan daripada ayahnya Ibn Atiyyah lalu menulis kitab seumpama Al-Qubur dan Al-Muhtadhirin.

Karya dalam al-Muhaddithat 

Antara karya yang terkemuka dalam al-Muhaddithat adalah karya Dr Akram Nadwi dari Universiti Oxford yang mengumpulkan seramai 8000 orang Muhaddithat dalam buku beliau yang berjumlah sebanyak 40 jilid itu.


Antara karya besar lain ialah Kitab Inayah al-Nisa' bi al-Hadis al-Nabawi karya Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman. Kitab ini menceritakan sumbangan wanita dalam ilmu hadis dari kurun pertama hingga kurun ke 13 hijrah.

Ada juga karya-karya penting lain seumpama :
1. Juhud al-Mar'ah fi Riwayah al-Hadis fi al-Qarn al-Thamin al-Hijri karya Dr Salih Yusuf
2. Juhud al-Mar'ah al-Dimasyqiah di Riwayah al-Hadis al-Syarif karya Dr Muhammad bin Azuz
3. A'lam al-Nisa karya Ustaz Umar Ridha Kahalah
4. Takmilah A'lam al-Nisa' karya Ustaz Muhammad Khair Ramadhan 
5. Tarajum al-Muhaddithat min al-Tabiiyyat wa Marwiyyatuhunna fi al-Kutub al-Sittah karya Aliah Abdullah Muhammad

Berdasarkan fakta-fakta di atas, ternyata sumbangan dan peranan wanita terhadap ilmu hadis begitu besar dan tidak dapat disangkal lagi. Peninggalan mereka ini merupakan khazanah yang cukup besar buat kita. Moga Allah merahmati mereka semua. Saya doakan moga kita dikumpulkan bersama mereka di syurga sana.

Jika ada kesalahan dari sudut fakta dan sebagainya, mohon maklumkan pada saya.

Sumber : 
1. Juhud al-Mar'ah fi Nasyr al-Hadis wa Ulumihi oleh Dr Afaf Abdul Ghafur Hamid
2. Daur al-Mar'ah wa Juhuduha fi Ilm al-Hadis fi Ahd al-Sahabah wa al-Tabien oleh Dr Abdullah Ata' Umar
3. Mashyakhah al-Nisa' karya al-Sayyid Nuruddin Musa

Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah,
Ahad, 13 Disember 2015.
12.11 PM.