Saturday, January 31, 2015

Biodata Ringkas Imam Al-Hafiz Ibn Abd Al-Hadi

Nama ini tidak asing lagi bagi para penuntut ilmu khususnya mahasiswa-mahasiswa yang mengambil jurusan hadis di Universiti Islam Madinah. Ini kerana kitab beliau iaitu al-Muharrar fi al-Hadis merupakan kitab silibus di Kuliah Hadis Universiti Islam Madinah.

Saya terpanggil untuk menulis biodata Imam Al-Hafiz Ibn Abd Al-Hadi kerana saya tidak menjumpai biodata beliau yang ditulis dalam Bahasa Melayu di internet. Moga-moga dengan tulisan ringkas ini kita dapat mengenali ulama hebat ini dengan lebih dekat.

Beliau adalah al-Imam al-Hafiz al-Muhaddis al-Faqih Muhammad bin Ahmad bin Abd al-Hadi bin Abd al-Majid bin Yusuf bin Muhammad bin Qudamah al-Jamma'iliy al-Asl kemudian al-Salihi al-Dimasyqi.

Ada beberapa orang ulama lagi yang mempunyai nama yang sama dengan beliau iaitu Ibn Abd al-Hadi.

Beliau dilahirkan pada bulan Rejab tahun 705 hijrah menurut pendapat yang paling rajih.

Beliau dibesarkan dalam suasana yang penuh ilmiah dan baik. Ayahnya menghantar beliau kepada ahli hadis yang besar pada waktu itu antaranya :

1. Zainab binti Kamal al-Din al-Salihiyyah
2. 'Isa al-Muta'im
3. Abi Bakr Ahmad bin Abd al-Daim al-Salihiy
4. Sa'd al-Din Yahya bin Muhammad bin Sa'd

dan ramai lagi ulama-ulama yang lain.

Mereka semua wafat sebelum beliau berumur 15 tahun. Ini menunjukkan masa muda beliau dihabiskan bersama para ulama dan ini sangat membantu membentuk beliau sebagai seorang ahli hadis.

Beliau menghafaz kitab al-Muqni' oleh Ibn Qudamah sebelum umurnya mencapai 10 tahun yang dibaca dengan al-Qadhi Sulaiman bin Hamzah (meninggal 715H), kemudian menuntut ilmu dengan dua ulama besar dalam mazhab Hanbali iaitu Muhammad bin Muslim (meninggal 726H) dan juga Ismail bin Muhammad al-Harrani (meninggal 729H).

Beliau menuntut ilmu Qiraat dengan Syeikh Ibn Baskhan manakala ilmu Nahu dengan Syeikh Abi al-Abbas al-Andarsyi.

Setelah beliau selesai mempelajari ilmu alat, beliau mula menuntut dengan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah al-Harrani (meninggal 728H) dan juga Imam al-Muhaddis al-Hafiz al-Mizzi (meninggal 742H). Beliau sangat melazimi dan mendampingi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah sehingga beliau mengambil ilmu dan kefahaman Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam agama dan juga akidah. Sikap beliau ini menyebabkan beliau mampu dan layak untuk menulis sebuah biodata tentang perjalanan hidup Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam sebuah kitab yang bertajuk "al-Uqud al-Durriyyah fi al-Tarjamah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah".

Beliau juga selalu mendampingi al-Mizzi sehingga beliau dapat mengambil ilmu Rijal dan juga Ilal dari al-Mizzi. Lebih 10 tahun beliau mendampingi al-Mizzi. Kata Ibn Abd al-Hadi : "Beliau adalah guruku yang memberikanku manfaat yang banyak dalam ilmu ini."

Selepas itu beliau mula mengajar di sebuah institusi pengajian yang besar pada ketika itu iaitu al-Umariyyah yang merupakan institusi yang hebat pada waktu itu. Ini disebutkan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah. Beliau juga mengajar di tempat-tempat yang lain seperti al-Dhiyaiyyah, al-Sababiyyah, al-Sadriyyah, al-Mansuriyyah dan juga al-Ghiyasiyyah.

Karya-karya tulisan beliau menjangkau 70 buah karya namun yang sampai kepada kita hanya sedikit.
Hanya 7 dari karya-karya yang beliau yang ada pada hari ini secara bercetak.

Karya bercetak beliau :
1. al-Muharrar fi Ahadis al-Ahkam
2. Tanqih al-Tahqiq fi Ahadis al-Ta'liq
3. al-Sarim al-Manki fi al-Radd 'ala al-Subki
4. Biodata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah "al-Uqud al-Durriyyah fi al-Tarjamah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah"
5. Risalah fi al-Ahadis al-Dhaifah

Karya berbentuk manuskrip :
1. Syarh kitab al-Ilal yang disusun mengikut tertib fiqh sebanyak 2 jilid. Ini dinyatakan oleh al-Baghdadi dalam kitabnya Hadiyyah al-Arifin (151/2)
2. Al-Tafsir al-Musnid yang tidak lengkap. Ini disebut oleh Ibn Hajar dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah (332/3)

Antara pujian ulama terhadap beliau :
1. Kata al-Mizzi : "Setiap kali aku berjumpa dengannya pasti aku mendapat manfaat."
2. Kata Ibn al-Wardi : "Beliau adalah lautan yang penuh dengan ilmu."

dan banyak lagi pujian ulama-ulama lain yang tidak sempat dinukilkan di sini.

Beliau meninggal dunia pada hari Rabu 10 Jamadil Awwal tahun 744 hijrah. Ketika itu beliau baru sahaja berumur 39 tahun. Jenazah beliau disaksikan oleh begitu ramai ulama dan pemimpin.

Moga Allah merahmati beliau.

Sumber : Ibn Abd al-Hadi, al-Muharrar fi al-Hadis, hlm. 12, cetakan Ibn Hazm.

p/s : Moga Allah mengampunkan dosa-dosa saya jika terdapat kesalahan dalam tulisan ini.