Saturday, July 2, 2016

Catatan Ringkas Mengenai Ibn al-Salah dan Sumbangannya Dalam Bidang Hadis

Nama Ibn al-Salah merupakan nama yang tidak asing lagi bagi penuntut ilmu khususnya penuntut ilmu hadith. Insya Allah kali ini kita akan berkenalan secara ringkas mengenai beliau.
Nota : Catatan ini merupakan ringkasan dan adaptasi daripada artikel “Ibn al-Salah dan Sumbangannya dalam Pengajian Hadith” yang ditulis oleh Prof Madya Dr Fauzi Deraman yang mana pernah dimuatkan dalam himpunan Jurnal al-Bayan pada tahun 2004.
Nama penuh beliau adalah Imam al-Hafiz Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu Amr Uthman bin Salahuddin Abu al-Qasim Abd al-Rahman bin Uthman bin Musa bin Abu Nasr al-Nasari al-Kurdi al-Syahruzuri al-Shafi’i.
Beliau masyhur dengan gelaran Ibn al-Salah, yang mana merupakan nisbah kepada bapanya yang digelar Salahuddin.
Beliau lahir pada tahun 577H di Syarakhan, sebuah kampung kecil yang terletak dalam perkampungan Shahrazur, utara Iraq. Beliau mendapat didikan terus dari ayahnya iaitu al-Salah Abd al-Rahman, ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i.
Ibn al-Salah dikatakan pernah beberapa kali membaca kitab al-Muhaddah dari bapanya. Beliau juga berguru dengan beberapa ulama lain yang rata-ratanya berketurunan Kurdi. Karya al-Muhaddah merupakan ringkasan fiqh mazhab al-Syafi’i.
Ibn al-Salah juga banyak mengembara demi mencari ilmu. Destinasi rehlah ilmiah pertama beliau adalah Mawsil. Di sana beliau telah pun berguru beberapa ulama. Antaranya ialah Abu Ja’far Ubayd Allah bin Ahmad al-Warraq, Nasrallah bin Salamah bin Salim, Musa bin Muhammad al-Mawsuli dan juga Abu Hamid al-Arbili yang merupakan pengarang kitab al-Muhit iaitu kitab yang menggabungkan antara kitab al-Muhaddah oleh al-Syirazi dan al-Wasit oleh al-Ghazali.
Kemudian Ibn al-Salah merantau ke Khurasan, Naysabur, Marw dan Qazwayn untuk menimba ilmu di sana. Rehlah kembara ini berlaku sebelum serangan Tartar tahun 616H. Di sana beliau menimba ilmu dari pelbagai ulama seumpama Umar al-Busti, Abu al-Hasan al-Naysaburi, Mansur bin Abd al-Mun’im al-Farawi dan beberapa ulama yang lain.
Di sinilah beliau mendengar Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Kubra dan Madkhla ila al-Sunan al-Kubra.
Ibn al-Salah merupakan anak murid kepada Imam al-Rafi’i, seorang ulama ulung dalam mazhab Syafi’i. Beliau juga merantau ke Hamadan dan juga Baghdad.
Kemudian beliau merantau ke Syam, destinasi terakhir beliau. Ketika beliau berada di Syam, Tartar menyerang negara-negara Islam. Menurut Imam al-Zahabi, dunia berada di tangan mereka pada tahun 618H.
Di Syam beliau merantau ke Damsyik, Harran, dan juga Halab untuk menuntut ilmu dari ulama di sana.
Hasil dari rehlah ilmiah yang panjang ini terhasillah kekuatan ilmu yang hebat dalam diri Imam Ibn al-Salah.
Kurun ke 6 hijrah menyaksikan lahirnya madrasah yang khusus untuk mempelajari hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam yang lebih dikenali dalam Bahasa Arab sebagai Dar al-Hadith. Madrasah Nuriyyah merupakan Dar al-Hadith pertama yang dibangunkan di Damsyik. Manakala Dar al-Hadith pertama di Kaherah dibina pada tahun 622H. Ibn al-Salah mengajar di Madrasah Sitti al-Syam Zamrud setelah diberi mandat oleh Malik al-Asyraf.
Kemudian beliau mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Salahiyyah , al-Quds. Setelah itu beliau berpindah ke Damsyik dan berkhidmat di Madrasah al-Rahawiyyah di sana. Imam al-Nawawi rahimahullah tinggal di sebuah rumah di kawasan madrasah ini sehingga akhir hayatnya.
Apabila Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah dibuka pada tahun 630H, Ibn al-Salah adalah orang pertama yang diberikan tugasan untuk mengajar di sana. Beliau bertugas di sini selama 13 tahun.
Ibn Khallikan yang merupakan anak murid beliau menyatakan bahawa Ibn al-Salah bertugas di 3 buah madrasah ini iaitu al-Rahawiyyah, al-Asyrafiyyah dan Sitti al-Syam silih berganti tanpa henti kecuali jika beliau ada keuzuran.
Imam Ibn al-Salah merupakan tokoh yang terbilang dalam hadith, fiqh dan juga usul. Beliau mempunyai beberapa buah karya iaitu :
1. Nukat ala al-Muhaddah oleh Imam Syirazi
2. Musykil al-Wasit oleh Imam Ghazali
3. Silat al-Nasik fi Sifat al-Manasik
4. Al-Fatawa (himpunan fatwa-fatwa beliau yang dikumpulkan oleh anak murid beliau)
5. Adab al-Mufti wa al-Mustafti
6. Tabaqat al-Fuqaha al-Syafi’iyyah
7. Al-Muntakhab min al-Muzhib fi Zikr Syuyukh al-Madhhab li al-Mutawwa’i
8. Kitab Hilyat Imam al-Syafie
Imam Ibn al-Salah telah meninggalkan pelbagai generasi pelapis yang terdiri daripada rakan-rakan dan murid-muridnya. Antaranya adalah :
1. Abu Marwan al-Baji al-Isybili
2. Abu Syamah al-Maqdisi
3. Ibn Khallikan al-Syafi’i
4. Muhammad bin al-Husayn al-Tadmuri
Setelah menyumbangkan jasa yang tiada tolok bandingnya dalam ilmu hadith, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Rabu 25 Rabiul Thani tahun 643H.
Sumbangan Ibn al-Salah terhadap ilmu hadith cukup besar. Ini terserlah dalam karya beliau iaitu Ma’rifat Anwa’ Ilm al-Hadith yang juga dikenali sebagai al-Muqaddimah. Ada juga yang menamakannya sebagai Ulum al-Hadith.
Nama yang popular bagi kitab ini adalah Muqaddimah Ibn Salah dan Ulum al-Hadith. Menurut Dr Muwaffaq, nama yang diberikan oleh Ibn al-Salah adalah Ma’rifat Anwa’ Ilm al-Hadith. Berdasarkan kandungannya, ramai ulama termasuk Imam Nawawi, Ibn Khallikan dan lain-lain menamakannya sebagai Ilm al-Hadith.
Nama Muqaddimah pula timbul apabila karya ini diterbitkan di India pada tahun 1304H oleh Syeikh Abd al-Hayy al-Laknawi. Kemudian nama Muqaddimah dikekalkan dalam edisi yang diterbitkan di Kaherah dan juga Halab.
Kesimpulannya, nama Muqaddimah ini hanyalah berdasarkan kepada pendapat penerbit buku di India yang dikekalkan oleh penerbit seterusnya sehingga nama ini menjadi nama yang popular di kalangan awam.
Imam Ibn al-Salah telah menyenaraikan sebanyak 65 jenis ilmu hadis. Ia dibincangkan secara menyeluruh dan terperinci. Fakta dan maklumat yang terdapat dalam kitab yang ditulis sebelum beliau seumpama karya-karya al-Khatib disemak dan dianalisis semula sebelum dimuatkan ke dalam karyanya.
Pengalaman beliau yang luas dalam ilmu hadith banyak membantu beliau menghasilkan karya ini. Apatah lagi beliau menulis karya ini ketika umur beliau mencapai angka 50 tahun.
Beberapa pendekatan telah digunakan oleh Ibn al-Salah dalam karyanya yang menunjukkan kreativiti beliau, antaranya :
1. Memberi definisi bagi setiap bahagian hadith yang dibincangkan. Beliau sangat memberikan perhatian terhadap aspek ini. Ini termasuk memberikan definisi baru terhadap hadis hasan, muallal, mudhtarib, mukhadram dan lain-lain. Beliau juga memberikan penjelasan yang terperinci terhadap definisi-definisi tersebut.
2. Mengemukakan perkara-perkara baru yang belum pernah dikenali sebelumnya seumpama pembahagian hadis sahih, hasan, syaz, munkar, al-asma wa al-kuna.
3. Pengalaman beliau digunakan untuk memantapkan pandangan terdahulu dari beliau seperti membetulkan yang kurang tepat, menunjukkan kelemahan, menegur kesilapan, memberikan pandangan tambahan dan menjelaskan yang kabur.
4. Mengadunkan maklumat yang berselerak, menjelaskan hukum dan status hadis, merangka pembahagiannya dan mengulas pokok dan cabangnya.
Pandangan tokoh-tokoh sebelum beliau seperti al-Khatib, al-Hakim dan lain-lain diteliti bagi menghasilkan rumusan yang kemas dan baik. Contohnya pengamatan terhadap definisi hadis hasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh sebelum beliau. Begitu juga ulasa beliau terhadap pandangan yang mengutamakan Sahih Muslim ke atas Sahih Bukhari.
Tidak terlanjur jika dikatakan Ulum al-Hadith telah mencapai tahap kematangannya pada zaman Ibn al-Salah.
Perhatian dan tumpuan ulama’ terhadap kitab Ibn al-Salah ini cukup banyak dan besar.
Antaranya ialah :
1. Al-Irsyad (ringkasan kitab Muqaddimah), diringkaskan lagi dalam kitab al-Taqrib wa al-Taysir. Dua kitab ini merupakan karya Imam Nawawi.
2. Ta’liq ala Ibn Salah oleh Abu Muhammad al-Dimyati
3. Al-Mulakhkhas fi Ulum al-Hadith dan al-Muntakhab oleh Abu Ishaq al-Tabari.
4. Al-Manhal al-Rawi fi Ulum al-Hadith al-Nabawi oleh Ibn Jamaah
5. Al-Khulasah fi Usul al-Hadith oleh Ali bin Uthman al-Turkumani
6. Islah Ibn Salah oleh Mughlatai
7. Ringkasan kitab Ibn Salah oleh Ibn Kathir
8. Al-Nukat ala Kitab Ibn Salah oleh al-Zarkasyi
9. Al-Muqni’ fi Ulum Hadith oleh Ibn al-Mulaqqin
10. Mahasin al-Istilah wa Tadmin Ulum al-Hadith li Ibn Salah oleh al-Bulqini
11. Alfiyyah Ulum al-Hadith oleh al-Iraqi. Kitab ini disusun dalam bentuk puisi yang merupakan ringkasan dan ulasan bagi kitab Ibn Salah.
12. Al-Ifsah bi Takmil al-Nukat ala Ibn Salah oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
Oleh kerana karya ini diimla’ oleh beliau dari masa ke semasa, ia mempengaruhi susun letak isi kandungannya yang agak tidak tersusun dan teratur. Namun ia langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai karya yang terbaik dalam Mustalah al-Hadith.
Di samping kitab ini, Ibn Salah juga ada menghasilkan beberapa karya lain.
Antaranya :
1. Syarah Sahih Muslim
Karya ini berjudul Siyanah Sahih Muslim min al-Ikhlal wa al-Ghalat wa Himayatuhu min al-Isqat wa al-Saqt. Karya ini adalah merupakan jawapan beliau kepada murid beliau semasa belajar Sahih Muslim yang mana terdapat beberapa kelemahan seperti kesilapan, tercicir dan lain-lain. Yang menariknya karya ini bukan sahaja membetulkan pelbagai kesilapan malahan sekaligus merupakan syarahan dan juga ulasan baginya.
Dalam karya ini juga Imam Ibn Salah membincangkan biodata Imam Muslim, keistimewaan Sahih Muslim dan perbezaannya dengan Sahih Bukhari, syarat Imam Muslim dalam sahihnya dan pelbagai topik penting lain.
2. Fawaid al-Rehlah
Ia memuatkan kaedah-kaedah yang unik dalam pelbagai cabang ilmu
3. Al-Ahadith al-Kuliyyah allati alaiha Madar al-Din
4. Al-Amali
5. Hadith al-Rahmah al-Musalsal bil Awwaliyyah
6. Hawasyi wa Ta’liqat ala Matali’ al-Anwar ala Sihah al-Athar
7. Kitab al-Ahadith fi Fadhl al-Iskandariyyah wa Asqalan
8. Tarikh Usturi li al-Rasul alayhi al-Salat wa al-Salam
9. Mukhtasar fi Ahadith al-Ahkam
10. Musykilat al-Bukhari
11. Wasl Balaghat al-Muwatta’
12. Syarah Ma’rifat Ulum al-Hadith li al-Hakim al-Naysaburi
13. Hukm Salat al-Raghaib
Ternyata Imam Ibn Salahh adalah tokoh muhaddithin yang menyumbangkan jasa yang cukup besar dalam ilmu hadith. Beliau boleh dianggap arkitek kepada bidang ini menerusi karya beliau al-Muqaddimah. Moga Allah merahmati beliau.
Seperti yang dinyatakan di atas, tulisan ini merupakan ringkasan dan juga adaptasi dari sebuah artikel yang ditulis oleh Prof Madya Fauzi Deraman yang dimuatkan dalam majalah Al-Bayan tahun 2004.
Moga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment