Friday, January 3, 2020

Ringkasan Artikel Sumbangan Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)


Tulisan ini merupakan ringkasan daripada artikel Sumbangan Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU): Satu Analisis yang ditulis oleh sahabat dan guru saya Ustaz Khairul Nazrin Nasir dan Dr Arif Yahaya.

Artikel ini mengetengahkan sumbangan tokoh hadis yang terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Artikel ini juga boleh dibaca melalui pautan berikut : http://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/view/36942

Antara tokoh hadis yang mempunyai kurang upaya penglihatan adalah:

1. Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Beliau merupakan sahabat Nabi yang buta pada akhir hayatnya. Beliau menduduki tempat kedua tertinggi dalam periwayatan hadis selepas Abu Hurairah.

2. Abdullah bin Abbas. Beliau juga antara yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga kehilangan penglihatan pada penghujung hayatnya.

3. Jabir bin Abdillah. Beliau juga hilang penglihatan di akhir hayatnya.

4. Ubaidullah bin Abdillah, mufti Kota Madinah dan tersenarai sebagai al-Fuqaha’ al-Sab’ah pada zaman Tabien.

5. Qatadah bin Di’amah al-Sadusi. Perawi utama daripada Anas bin Malik.

6. Abu Ishaq al-Sabi’i. Seorang yang buta penglihatan dan merupakan perawi utama daripada al-Bara’ bin Azib.

7. Al-A’mash, Sulaiman bin Mihran. Seorang tokoh besar dalam ilmu hadith, tafsir dan qiraat. Al-A’mash bermaksud penglihatan yang rabun.

8. Hammad bin Zayd al-Azdi. Penghafaz hadith terkemuka di Basrah. Beliau diuji dengan buta pada akhir hayatnya. Dikatakan beliau menghafaz 4000 hadis seperti surah al-Ikhlas.

9. Yahya bin Said al-Qattan. Pakar rujuk dalam ilmu al-jarh wa al-ta’dil. Beliau mengalami kecacatan pada mata seperti juling.

Jelaslah pada kita bahawa cacat penglihatan tidak menghalang mereka daripada menghafal, bahkan mereka diberikan daya ingatan yang sangat tinggi.

Tokoh-tokoh ilmuan hadis juga ada yang diuji dengan kelainan upaya dari segi fizikal. Antaranya :

1. Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang mempunyai fizikal yang kenit dan kurus namun beliua jaguh dalam periwayatan hadith, tafsir, ilmu qiraat dan fiqh.

2. ‘Amr bin Akhtab, Abu Zayd al-Ansari. Beliau antara sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang terkenal pernah menduduki Kota Basrah. Walaupun beliau berkaki tempang, namun itu tidak menghalang beliau meriwayatkan sejumlah hadis daripada Nabi sallalalahu alaihi wasallam.

3. Abdul Rahman bin Hurmuz al-Madani atau lebih dikenali dengan al-A’raj. Beliau juga berkaki tempang namun tidak menghalang beliau menjadi perawi utama daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu.

4. Said bin Abu Arubah, seorang penghafaz hadis terkenal di Kota Basrah juga diuji dengan kecacatan pada kakinya.

5. Abu Qilabah, Abdullah bin Zaid al-Jarmi juga diuji dengan kelumpuhan anggota badan dan hilang kedua penglihatannya. Namun beliau terkenal sebagai ahli ibadah yang zuhud dan meriwayatkan sejumlah hadis daripada Anas bin Malik dan Malik bin al-Huwairith.

Begitulah sorotan ringkas mengenai tokoh-tokoh hadis yang memberikan sumbangan yang besar dalam ilmu hadis walaupun mereka diuji dengan pelbagai kekurangan. Moga ini menjadi motivasi kepada kita yang dikurniakan dengan nikmat anggota badan yang sempurna untuk terus memberikan sumbangan kepada Islam.