Wednesday, September 9, 2015

[Pengenalan terhadap kitab al-Jami' al-Kamil]


Sebuah karya hadis yang agung iaitu kitab al-Jami' al-Kamil bakal diterbitkan insya Allah selewat-lewatnya sebelum perlaksanaan ibadah haji tahun ini. Kitab ini merupakan kitab yang mengumpulkan semua hadis-hadis sahih yang wujud secara terpisah-pisah dalam pelbagai kitab-kitab hadis.

Ikuti wawancara saya dan beberapa sahabat yang lain sewaktu kami bertandang ke rumah penulis kitab ini iaitu Syeikh Dhiya al-Rahman al-A'zami beberapa hari sebelum bulan Ramadhan yang lalu.
Biodata beliau boleh didapati di sini : http://on.fb.me/1IOpTMt
Beberapa tambahan tentang biodata yang ditulis oleh Ustaz Aan Chandra dari Indonesia juga boleh didapati di sini : http://on.fb.me/1JApmMP dan di sini : http://on.fb.me/1eFYD4I
Wawancara dalam versi bahasa Inggeris yang ditulis sahabat saya Ustaz Siddiq pula boleh dibaca di sini : http://on.fb.me/1OF5hV9
Berikut merupakan wawancara kami dengan beliau :
S : Apakah sebab yang mendorong ke arah penulisan kitab ini?
J : Kita mempunyai 2 sumber yang utama, iaitu Al-Quran dan al-Sunnah. Kitab (Al-Quran) memang sedia diketahui dan ada di sekeliling kita. Sumber yang kedua adalah al-Sunnah dan sumber ini berada (secara terpisah-pisah) dalam beratus-ratus kitab. Di dalamnya ada yang sahih dan dhaif (selain sahih Bukhari dan Muslim). Sepatutnya hadis-hadis ini dikumpulkan dan dikeluarkan dari kitab-kitab ini hadis-hadis yang sahih, supaya ia menjadi sumber yang kedua selepas sumber yang pertama (Al-Quran).
Saya banyak ditanya ketika saya merantau ke banyak negara. Antaranya adalah Malaysia, Singapura, Australia dan juga negara-negara yang lain. Ketika saya memberikan ceramah dan kuliah tentang kitab dan hadis, saya ditanya,
"Adakah kalian mempunyai kitab dalam hadis yang mencakupi seluruh hadis yang sahih seperti al-Quran?"
Saya teragak-agak untuk menjawab. Apa jawapan yang saya patut berikan?
Saya jawab : Tidak, kami belum ada kitab sebegitu. Tetapi hadis-hadis itu ada tetapi ia terpisah-pisah dalam kitab-kitab hadis secara berasingan.
Jawapan ini tidak begitu meyakinkan. Adakah setiap orang mampu untuk mengeluarkan hadis-hadis sahih dari beratus-ratus kitab? Soalan ini ditujukan kepada orang awam, yang tiada kepakaran melakukannya. Bahkan para ulama jika ditanya tentang kesahihan hadis mereka akan mentahhqiq dan memastikan kesahihannya. Setiap kali mereka ditanya mereka akan melakukannya.
Maka terlintas di hati saya mengapa tidak saya keluarkan dari kitab-kitab ini hadis-hadis yang sahih sahaja dan dikumpulkan dalam satu kitab, sehingga ia boleh menjadi sesuatu yang menjadi rujukan selepas Al-Quran. Maka inilah yang terlintas di fikiran saya dan dimudahkan oleh Allah subahanahu wa taala, maka semenjak lebih kurang 15 tahun lepas saya berada pada noktah (penulisan) ini.
S : Berapakah hadis dalam kitab ini?
J : Bilangan hadis yang berulang dalam kitab ini ada lebih dari 15,000. Dianggarkan jumlahnya mencecah 20,000.
Manakala jumlah hadis yang sahih pula adalah dalam anggaran 12,000 hingga 15,000.
S : Bagaimana hadis-hadis dalam kitab ini disusun?
J : Saya telah menulis muqaddimah yang panjang, dan ia merupakan muqaddimah yang praktikal dalam ilmu hadis. Biasanya kamu semua membaca kitab-kitab mustalah hadis atau ulum hadis yang kebanyakannya bersifat teori. Aku telah menulis muqaddimah bagi kitab al-Jami al-Kamil ini dalam 100 mukasurat lebih dan ia adalah muqaddimah yang praktikal. Di dalamnya terkandung bagaimana mempraktikkan ilmu mustalah hadis ke atas hadis, dan bagaimana mempraktikkan takhrij ke atas hadis.
S : Berapakah jumlah sumber kitab-kitab hadis yang dirujuk untuk mengumpulkan semua hadis-hadis ini?
J : Ia tidak terhad (kepada jumlah tertentu). Apa sahaja hadis dan di mana sahaja ia berada (hadis sahih) adalah tanpa sumber yang terhad.Yang penting adalah ia sahih.
S : Bagaimana nak tahu ia (adalah hadis yang) sahih?
J : Ia adalah selepas kajian iaitu selepas kami menggunakan beribu-ribu cara (untuk mengenalpasti hadis-hadis sahih), maka akan terbukti mana hadis yang dhaif lalu kami tinggalkan, dan hanya hadis-hadis sahih yang akan kami ambil.
Hadis-hadis dalam al-Jami al-Kamil mempunyai lebih kurang 300,000 sanad.
S : Bilakah kitab ini akan dicetak?
J : Berdasarkan perjanjian dengan Maktabah Dar al-Salam, mereka berkata ia akan diterbitkan pada bulan Ramadhan atau penghujung Ramadhan, tetapi rasanya ia tidak sempat diterbitkan. Apapun, kitab ini mesti diterbitkan sebelum haji. Moga Allah menerima usaha-usaha kita insya Allah.
S : Bagaimana kitab al-Jami' al-Kamil ini diringkaskan?
J : Semenjak 2 bulan yang lalu, kami mula meringkaskan kitab ini menjadi 4 jilid dan kami telah pun selesai meringkaskannya.
Kitab edisi ringkasan ini adalah tanpa takhrij. Hanya status hadis samada ia hadis sahih atau hasan dan juga sumbernya yang dinyatakan. Manakala sanad-sanad dan jalan periwayatan semuanya dibuang dan dipadamkan.
S : Adakah kitab edisi ringkasan ini akan dicetak?
J : Ini adalah untuk dicetak dalam bahasa-bahasa yang lain. Kami telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris, Urdu dan Benggali. Menjadi kewajipan ke atas semua muslim untuk menterjemahkan kitab ini ke dalam bahasa mereka, kerana kitab versi asal (sebanyak 20 jilid) adalah sukar difahami orang awam, bahkan hanya ulama' yang memahaminya. Manakala kitab edisi ringkasan ini adalah untuk seluruh umat Islam, sesiapa sahaja yang membacanya akam faham bahawa hadis tersebut adalah hadis yang sahih.
S : Adakah kitab edisi ringkasan ini akan diterbitkan dalam bahasa Arab?
J : Ini belum diputuskan lagi, tetapi naskhah dalam bahasa Arab ada bersama kami. Allah lebih mengetahui adakah ia akan dicetak atau tidak selepas ini.

Dr Zakir Naik ketika berkunjung ke rumah Syeikh Dhiya al-Rahman


S : Sekarang setelah selesai edisi ringkasan, apakah langkah seterusnya?
J : Langkah yang terakhir adalah saya mahu gabungkan hadis-hadis yang dalam 4 jilid edisi ringkasan supaya ia menjadi 1 jilid sahaja. Ia adalah merupakan gabungan hadis-hadis antara satu sama lain. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh 4 orang sahabat (yang diriwayatkan) dengan lafaz mereka tersendiri, akan digabungkan menjadi satu hadis. Kitab ini akan menjadi edisi khas untuk non-muslim. Nama-nama sahabat, takhrij dan nama-nama bab akan dibuang. Yang tinggal hanyalah nama Kitab.
(Contohnya : Kitab Taharah), dengan susunan yang sama.
S : Selepas semua ini, adakah ada penulisan yang baru?
J : Saya telah menulis Kamus Al-Quran, tetapi ia bukan dalam bahasa Arab. Saya terfikir untuk menulis kitab Dairah al-Maarif al-Islamiyyah, yang merupakan gabungan Kamus Al-Quran dengan perbahasan-perbahasan yang lain. Kitab ini juga akan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Kitab Dairah al-Maarif yang ditulis oleh Orientalis mempunyai banyak penyelewengan.

Naskhah Asal al-Jami' al-Kamil


S : Bagaimanakah kamu mengumpulkan hadis-hadis sahih sehingga tiada hadis sahih yang tertinggal?
J : Kami tidak mendakwa bahawa kitab ini sempurna, kerana sempurna itu milik Allah, tetapi inilah hasilnya Alhamdulillah. Ia kitab yang agung dalam kategori kitab hadis, tetapi saya masih meneruskan kajian dan pembetulan. Semenjak 2 tahun lalu saya meneruskan proses menyempurnakan kitab ini.
Cetakan ketiga bagi kitab ini adalah cetakan yang terakhir. Ini adalah cetakan yang pertama, manakala cetakan yang kedua ada beberapa penambahan. Manakala cetakan ketiga adalah cetakan yang terakhir.
Ini adalah seperti yang dilakukan oleh Imam Bukhari yang menulis sahihnya sebanyak 3 kali lalu kami mencontohinya.
S : Kitab al-Jami al-Kamil ada hadis sahih dan hadis hasan. Adakah ia juga terkandung hadis yang dhaif?
J : Ya, hadis dhaif dalam kitab ini mempunyai lebih kurang 3,000 hadis, tetapi tujuan ia disebut adalah untuk menyatakan kedhaifannya. Pada setiap bab akan disebutkan hadis dhaif masyhur yang berkaitan.
S : Berapakah jumlah muka surat kitab edisi ringkasan ini?
J : Ia mempunyai lebih kurang 4,500 muka surat. Manakala edisi asal mempunyai lebih kurang 14,000 muka surat.
Al-Jami' al-Kamil edisi ringkasan


S : Bagaimanakah jika kami ingin menterjemahkan kitab edisi ringkasan ini?
J : Kamu boleh pergi ke mana-mana institusi yang berkaitan di negeri kamu jika mereka sudi menterjemahkannya. Kami akan menghantar kepada mereka contoh dari kitab ini tetapi mereka mestilah mampu untuk menterjemahkan dan menerbitkannya. Saya tidak mahu menerima apa-apa bayaran dan hak cipta kitab ini tidak terpelihara kerana seluruh umat Islam ada hak untuk menerbitkannya.
S : Adakah setiap hadis disebutkan huraian padanya?
J : Ia adalah secara ringkas kerana daripada tajuk-tajuk hadis kita dapat mengetahui fiqh (kefahaman) dari hadis, seperti mana yang terdapat dalam Sahih Bukhari. Tetapi kadang-kadang kami akan menambah beberapa ayat untuk menjelaskan lagi makna hadis tersebut.
*Beberapa penambahan dan perubahan dilakukan terhadap sebahagian kecil tulisan ini tanpa menjejaskan makna asal.
**Saya sedang mencari institusi yang sanggup menterjemah dan menerbitkan karya ini. Ada cadangan..?


2 comments: