Thursday, September 10, 2015

Hadis Dhaif dan Bagaimana Berinteraksi Dengannya


Hadis merupakan sumber rujukan kedua dalam syariat Islam, dan ia mempunyai autoriti seperti Al-Quran dalam menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram.

Firman Allah subhanahu wa taala dalam Surah al-Nisa’ ayat 59 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah apa yang disandarkan pada baginda dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat baginda sama ada sifat akhlak atau sifat fizikal. Hadis pula terbahagi kepada 3 iaitu Sahih, Hasan dan juga Dhaif.[1]

Insya Allah kali ini kita akan berkenalan dengan hadis dhaif dan hukum berhujah dengannya. 

Hadis dhaif atau hadis yang lemah menurut al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar adalah merupakan hadis yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. [2]

Imam al-Baiquny rahimahullah pula ketika mendefinisikan hadis dhaif berkata : [3]

وَكُلُّ مَا عَنْ رُتْبَةِ الْحُسْنِ قَصُر
فَهْوَ الضَّعِيْفُ وَهْوَ أَقْسَامًا كَثُر”

“Setiap hadis yang berada di bawah tingkatan hadis hasan (iaitu tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan) maka ia adalah hadis dhaif dan ia mempunyai banyak jenis.”

Apakah perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif ?

Perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif menurut sebahagian ulama’ adalah seperti berikut : [4] 

1. Sanadnya tidak bersambung. 
2. Para perawinya tidak adil (tidak berperibadi mulia).
3. Para perawinya tidak dhabit (tidak tepat dan lemah dari sudut hafazan)
4. Padanya ada syaz (perawi hadis tersebut bercanggah dengan perawi-perawi lain yang lebih dipercayai darinya). 
5. Padanya ada illah (kecacatan pada matan atau sanad hadis
6. Tiada sanad lain yang menguat dan menyokongnya.

Menurut al-Hafiz al-Imam Ibn Hajar pula, perkara-perkara yang menyebabkan hadis itu dikira sebagai hadis yang dhaif adalah :

1. Keguguran perawi dari sanad. 
2. Kecaman terhadap perawi.

Hadis dhaif mempunyai jenis yang sangat banyak. Imam Ibn al-Solah menyebutkan bahawa Ibn Hibban membahagikannya kepada 49 jenis. Syeikh al-Iraqi pula membahagikannya kepada 42 jenis malah ada yang membahagikannya kepada 63 jenis.[5]

Antara jenis-jenis hadis dhaif yang disebabkan oleh keguguran perawi daripada sanad adalah seperti muallaq, mursal, mu’dhal, munqati’, mudallas, dan juga mursal khafiy. Manakala jenis –jenis hadis dhaif yang disebabkan oleh kecaman terhadap perawi adalah seperti maudhu’, matruk, munkar, mudraj, maqlub dan sebagainya. 

Antara karya para ulama’ dalam hadis dhaif adalah seperti berikut :

1. Kitab al-Dhuafa’ karya Ibn Hibban
2. Mizan al-I’tidal karya Imam al-Zahabi
3. Al-Marasil karya Abi Daud 
4. Al-Ilal karya Imam al-Daraqutni


Hukum Meriwayatkan Hadis Dhaif

Ahli hadis mengharuskan bermudah-mudah pada sanad-sanad hadis yang dhaif untuk diriwayatkan dan diamalkan selagi mana bukan hadis yang maudhu’,  bukan di dalam perkara akidah seperti sifat-sifat Allah taala dan bukan dalam hukum hakam seperti halal dan haram untuk diamal dan diriwayatkan tanpa dinyatakan kedhaifannya. [6]

Cara Meriwayatkan Hadis Dhaif

Walaupun jumhur ulama’ mengharuskan periwayatan hadis dhaif, namun hadis-hadis tersebut tidak boleh diriwayatkan dengan menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam..” supaya kita tidak menisbahkan kepada baginda apa yang tidak disabdakannya.
Maka kita hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan ketidakpastian (sighah tamridh) seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam..”

Hukum Berhujah Dengan Hadis Dhaif dalam Fadhail A’mal dan Hukum-Hakam

Maksud berhujah di sini adalah boleh menetapkan hukum fiqh dengannya.

Para ulama berselisih pendapat dalam sejauh mana penerimaan dan penggunaan hadis dhaif dalam fadhail a’mal dan hukum hakam kepada 3 pendapat : [7]

Pendapat pertama : Sebahagian ulama’ berpendapat hadis dhaif boleh diamalkan secara mutlak. Ini bermaksud ia boleh diamalkan dalam halal dan haram, fadhail a’mal, targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan juga tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan ) dengan 2 syarat :

1. Lemahnya mestilah tidak bersangatan. Ini kerana hadis yang lemahnya bersangatan ditinggalkan oleh semua ulama’.
2. Tiada hadis lain dalam bab ini melainkan hadis ini, dan tiada nas Al-Quran atau Hadis yang bercanggah dengannya.

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Malik bin Anas dan juga Imam Abu Daud al-Sijistani.

Pendapat kedua : Sebahagian ulama’ yang lain pula berpendapat bahawa hadis dhaif tidak boleh diamalkan secara mutlak sama ada dalam hukum hakam, targhib dan tarhib mahupun fadhail a’mal.

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Yahya ibn Ma’in, Imam Muslim, Abu Hatim al-Razi, Ibn Hibban, Ibn al-Arabiy dan juga Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Ibn Hazm juga berpendapat dengan pendapat yang sama.[8] Begitu juga Syeikh Ahmad Syakir. [9]

Pendapat ketiga : Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang sederhana di antara kedua-dua pendapat di atas dan ia merupakan pendapat jumhur ulama’. Mereka tidak berhujah dengan hadis dhaif dalam bab hukum hakam dan berhujah dengannya dalam bab fadhail a’mal dan juga targhib dan tarhib. Imam Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Azkar menyebut bahawa ini merupakan pendapat ahli hadis dan juga fuqaha’.

Syarat beramal dengan hadis dhaif dalam bab fadhail a’mal ada 5 :

1. Hadis dhaif itu mestilah lemahnya tidak bersangatan.
2. Hadis dhaif itu mestilah termasuk di bawah asas umum (agama) yang praktikal. Maksudnya ia mestilah ada asasnya dari Al-Quran dan Al-Sunnah.
3. Tidak meyakini bahawa hadis itu sahih dan tsabit, supaya ia tidak dinisbahkan kepada nabi sallallahu alaihi wasallam, bahkan mestilah berhati-hati
4. Hadis dhaif tersebut mestilah tidak terkeluar dari perbahasan hadis-hadis fadhail a’mal.
5. Mestilah tidak bercanggah dengan hadis yang lebih kuat, kerana hadis yang kuat didahulukan ke atas hadis yang lemah. [10]

Antara ulama’-ulama’ yang berpendapat dengan pendapat ini ialah seperti Sufyan al-Thauri, Abdullah Ibn al-Mubarak, Abdul Rahman Ibn Mahdi, Sufyan Ibn ‘Uyaynah dan Imam Ibn Kathir.

Syeikh Abdul Karim al-Khudair dalam kitabnya al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi merajihkan pendapat yang kedua iaitu tidak boleh mengamalkan hadis dhaif secara mutlak kerana :

1. Ulama’ hadis bersepakat bahawa hadis dhaif termasuk dalam kategori hadis yang tertolak.
2. Hadis yang dhaif tidak memberi (maklumat) melainkan cenderung ke arah kesangsian, dan sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
3. Kebenaran untuk beramal hadis dhaif mendorong seseorang untuk meninggalkan hadis-hadis sahih dan merasa cukup dengan hadis dhaif. 
4. Ia membawa kepada terhasilnya bid’ah dan juga khurafat dan juga menjauhkan seseorang itu dari manhaj yang betul.

Namun ini tidaklah bermakna semua hadis dhaif ditolak secara total. Ia boleh digunakan untuk merajihkan makna sesuatu ke atas makna yang lain ketika sesuatu nas itu membawa dua keberangkalian pada maksudnya. Jika ada hadis yang dhaif yang merajihkan salah satu makna tersebut, maka makna yang dirajihkan itulah yang diambil walaupun ia dhaif.

Contohnya pada tafsiran firman Allah taala dalam Surah Al-Nisa’ ayat 3 :

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Perkataan تَعُولُواmembawa dua maksud :
  
1. Ia bermaksud : Supaya keturunan kamu tidak ramai. Ini pendapat Imam al-Syafie
2. Ia bermaksud : Agar kamu tidak berbuat zalim. Ini pendapat jumhur ahli tafsir.

Diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha daripada Nabi sallallahu alaihi wasallam bahawa ayat : أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا adalah bermaksud : Supaya kamu tidak berbuat zalim. Abi Hatim menegaskan bahawa hadis ini adalah mauquf dan ia adalah kata-kata Aisyah. 
Dalam riwayat yang lain : “Supaya kamu tidak terpesong.”
Hadis ini adalah dhaif. Namun begitu, kata Imam Ibn al-Qayyim :” Ia sesuai untuk dijadikan pengukuh.”

Hadis dan juga Sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam cukup banyak untuk dijadikan sandaran dalam amalan dan hujah. Oleh itu tidak perlu untuk kita menyibukkan diri dengan hadis-hadis yang dhaif dan meninggalkan hadis sahih yang lebih jelas ketsabitannya dan lebih selamat untuk dijadikan sandaran dalam amalan dan hujah.

Maka wajarlah kita berhati-hati dalam hal ini. Ingatlah satu sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari :
“Sesungguhnya berdusta kepadaku tidak sama dengan berdusta kepada orang lain. Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka.”



Rujukan :

[1] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi jld 1 hlm. 75
[2] Ibn Hajar, al-Nukat ala Kitab Ibn Solah, hlm. 147
[3] Abdullah bin Khadra’ al-Sallawi, Syarh al-Baiquniyyah, hlm. 109
[4] Dr Abdul Karim al-Khudhair, al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi, hlm. 58
[5] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi jld 1 hlm. 263
[6] Imam al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 502
[7] Dr Abdul Karim al-Khudhair, al-Hadis al-Dhaif wa Hukm al-Ihtijaj Bihi, hlm. 250
[8] Dr Abu al-Laith, Ulum al-Hadis, Asiluha wa Maasiruha, hlm. 151
[9] Yusuf al-Qaradhawi, Kaifa Nata'amal ma'a al-Sunnah al-Nabawiyah, hlm. 93
[10] Dr Abu al-Laith, Ulum al-Hadis, Asiluha wa Maasiruha, hlm. 153






No comments:

Post a Comment