Monday, December 28, 2015

Sumbangan Wanita dalam Bidang Tafsir

Selain bidang hadis, wanita juga ada sumbangan terhadap bidang tafsir.
Kalau sebelum ini kita sebut tentang Muhaddithat (ahli hadis dalam kalangan wanita), mereka juga ada Mufassirat (ahli tafsir dalam kalangan wanita).
Namun jumlah mereka yang direkodkan sebagai Mufassirat tidak seramai Muhaddithat yang menjangkau angka 8000 seperti mana yang direkodkan dalam al-Muhaddithat oleh Dr Akram Nadwi.
Seperti mana dalam ilmu hadis, Aisyah radhiallahu anha juga merupakan jaguh dalam bidang tafsir. Ini kerana beliau adalah wanita yang paling faqih secara mutlak. Biodata beliau diceritakan panjang lebar dalam kitab A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah. (1)
Antara mufassirah yang lain adalah Aisyah binti Abd al-Rahim bin Muhammad al-Zujaj. Diceritakan bahawa beliau meriwayatkan kitab Gharib al-Quran yang dinamakan sebagai Nuzhah al-Qulub karya Imam Abu Bakr al-Sijistani. Malah Syeikh Siraj al-Din Umar al-Qazwini meriwayatkan kitab Fadhail al-Quran oleh al-Bajali dari beliau. (2)
Qurrah al-Ain binti Soleh al-Qazwini (Ummu Salma Hanim) juga antara yang terkedepan dalam bidang tafsir. Beliau dikatakan menghafal keseluruhan al-Quran dan mahir dalam bidang tafsir.
Cumanya beliau adalah antara tokoh besar dalam ajaran Syiah seperti mana yang disebutkan oleh Umar Kahhalah dalam kitab beliau. (3)
Antara Mufassirat yang lain adalah :
1. Nafisah binti al-Hasan bin Zaid bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib (280 H). Beliau menghafal al-Quran dan tafsirnya. (4)
Al-Zirikli dalam al-A'lam pula menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang bertaqwa dan solehah serta alim dalam bidang tafsir dan juga hadis. (5)
2. Yasminah al-Sirawandiah (502 H). Beliau ada menafsirkan beberapa surah dari al-Quran. (6)
3. Aisyah binti al-Syati' (1998 M). Antara karya beliau adalah al-Tafsir al-Bayani lil Quran al-Karim. Beliau merupakan antara tokoh ilmuan dari Mesir yang menulis dalam pelbagai bidang dan karya beliau mencecah lebih 40 buah karya. (7)
4. Zainab al-Ghazali. Beliau ada menulis beberapa kitab. Antaranya adalah Nazarat fi Kitabillah yang merupakan tafsir kepada Surah al-Baqarah, Ali Imran dan juga al-Nisa'. (8)
Rujukan :
(1) : A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah (cetakan Muassasah Risalah) (3/9)
(2) : Ibid (3/158)
(3) : Ibid (4/192)
(4) : Ibid (5/187)
(5) : Al-A'lam oleh Al-Zirikli (cetakan Dar al-Ilm lil Malayin) (8/44)
(6) : A'lam al-Nisa' fi 'Alamai al-Arab wa al-Islam oleh Syeikh Umar Ridha Kahhalah (cetakan Muassasah Risalah) (5/295)
(7) : https://ar.wikipedia.org/…/%D8%B9%D8%A7%D8%A6%D8%B4%D8%A9_%…
(8) : https://ar.wikipedia.org/…/%D8%B2%D9%8A%D9%86%D8%A8_%D8%A7%…
Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah,
Isnin, 28 Disember 2015
7.45 am


Monday, December 14, 2015

Para Sahabat yang Masyhur dengan Kuniyah Mereka

Kuniyah bermaksud gelaran atau panggilan hormat yang dimulakan dengan lafaz "Abu" seperti Abu Hurairah dan juga Abu Abdullah ataupun "Ummu" seumpama Ummu Kalthum dan Ummu Amr. Semenjak zaman dahulu lagi, menjadi tradisi bagi masyarakat Arab untuk memberikan kuniyah pada nama mereka sebagai penghormatan terhadap individu yang diberi kuniyah tersebut.

Malah Nabi sallallahu alaihi wasallam sendiri mempunyai kuniyah baginda yang tersendiri iaitu Abu al-Qasim. Sunnah memberikan kuniyah ini kemudiannya dicontohi oleh para sahabat, tabiin serta generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini.

Antara sahabat yang masyhur dengan kuniyah mereka adalah :

1. Abu Bakar al-Siddiq r.a , nama sebenarnya : Abdullah bin Uthman
2. Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a, nama sebenarnya : Aamir bin Abdullah
3. Abu Hurairah al-Dusi r.a, nama sebenarnya : Abdul Rahman bin Sakhr
4. Abu Ayyub al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Khalid bin Zaid
5. Abu al-Darda' al-Ansari r.a, nama sebenarnya : 'Uwaimir bin Zaid al-Khazraji
6. Abu Musa al-Asy'ari r.a, nama sebenarnya : Abdullah bin Qais
7. Abu Said al-Khudri r.a, nama sebenarnya : Sa'd bin Malik bin Sinan
8. Abu Dzar al-Ghifari r.a, nama sebenarnya : Jundub bin Junadah
9. Abu Talhah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Zaid bin Sahl
10. Abu Qatadah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Al-Harith bin Rib'iy
11. Abu Sufyan bin Harb r.a, nama sebenarnya : Sakhr bin Harb
12. Abu Syuraih r.a, nama sebenarnya : Ka'b bin Amru al-Khuzaie
13. Abu Umamah al-Bahili : r.a, nama sebenarnya : Al-Sudaiy bin Ajlan
14. Abu Tha'labah al-Khusyali r.a, nama sebenarnya : Jurthum bin Nashir
15. Abu Barzah al-Aslami r.a, nama sebenarnya : Nadhlah bin Ubaid
16. Abu Mas'ud al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Uqbah bin Amru al-Badri
17. Abu Bakrah r.a, nama sebenarnya : Nufai' bin al-Harith
18. Abu Humaid al-Sa'idi r.a, nama sebenarnya : Abdullah bin Amru
19. Abu Juhaifah r.a, nama sebenarnya : Wahb bin Abdullah al-Sawani
20. Abu Mahzurah r.a, nama sebenarnya : Samurah bin Mi'war
21. Abu Marthad al-Ghanawi r.a, nama sebenarnya : Kannaz bin al-Husain
22. Abu Malik al-Asy'ari r.a, nama sebenarnya : Ka'b bin 'Asim
23. Abu Najih r.a, nama sebenarnya : Al-Irbadh bin Sariah
24. Abu Burdah al-Ansari r.a, nama sebenarnya : Hani' bin Niyar
25. Abu Waqid al-Laithi r.a, nama sebenarnya : Al-Harith bin Auf
26. Abu Habbah al-Badri r.a, nama sebenarnya : 'Aamir bin Amr al-Mazini
27. Abu Karimah r.a, nama sebenarnya : al-Miqdam bin Ma'di Yakrib
28. Abu Ruham al-Ghifari r.a, nama sebenarnya : Kalthum bin al-Husain
29. Abu al-Aas bin al-Rabi' r.a, nama sebenarnya : Laqit bin al-Rabi'
30. Abu Kabsyah al-Anmari r.a, nama sebenarnya : Sulaiman

Manakala sahabiyyah yang masyhur dengan kuniyah mereka pula ialah :

1. Ummu Habibah binti Abi Sufyan : r.a, nama sebenarnya : Ramlah binti Sakhr (Ummul Mukminin)
2. Ummu Salamah r.a, nama sebenarnya : Hindun binti Abi Umayyah (Ummul Mukminin)
3. Ummu Hani' r.a, nama sebenarnya : Fakhitah binti Abi Talib
4. Ummu Sulaim r.a, nama sebenarnya : Al-Rumaisa binti Milhan (Isteri Abu Talhah al-Ansari)
5. Ummu al-Darda' al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Khairah binti Abi Hadrad
6. Ummu Qais al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Aminah binti Mihsan (Adik-beradik Ukasyah bin Mihsan)
7. Ummu Atiyyah al-Ansariah r.a, nama sebenarnya : Nusaibah binti al-Harith
8. Ummu al-Fadhl r.a, nama sebenarnya : Fatimah binti Hamzah bin Abdul Muttalib
9. Ummu al-Fadhl r.a, nama sebenarnya : Lubabah binti al-Harith (Isteri al-Abbas bin Abdul Muttalib)
10. Ummu al-Nu'man bin Basyir r.a, nama sebenarnya : Amrah binti Rawahah

Imam al-Hafiz Abu al-Fath Muhammad bin al-Husain al-Azdi al-Mausili (wafat 374 hijrah) ada karya khas mengenai para sahabat yang dikenali dengan kuniyah mereka dalam karya beliau yang bertajuk : "Asma' man Yu'raf bi Kunyatihi min Ashab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam".

Artikel asal : http://articles.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=206608




Sunday, December 13, 2015

Peranan Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Ilmu Hadis pada Zaman Sahabat dan Tabien

Islam sangat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kehidupan insan. Ayat pertama dalam Surah Al-Alaq : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan (sekalian makhluk)" ditujukan kepada seluruh umat manusia termasuk kaum wanita yang tidak dinafikan mempunyai peranan yang cukup besar dalam masyarakat.

Islam menuntut kaum wanita agar mempelajari ilmu tentang rukun islam, tauhid, dan lain-lain ilmu yang diperlukannya dalam urusan seharian. Oleh itu, para sahabat-sahabat dari kalangan wanita merasakan keperluan ini sehinggalah mereka datang kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lalu meminta agar diadakan majlis ilmu khas untuk mereka sahaja.

Daripada Abu Said al-Khudri beliau berkata :" Seorang wanita datang kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam lalu berkata : Kaum lelaki (para sahabat) sudah biasa datang kepadamu untuk mempelajari hadis, maka peruntukkanlah kepada kami suatu hari agar kami boleh datang dan kamu boleh ajarkan kami ilmu yang telah Allah ajarkan padamu. Lalu baginda bersabda : Berkumpullah kalian pada hari sekian-sekian pada tempat sekian-sekian, lalu mereka pun berkumpul dan baginda mengajarkan mereka apa yang telah Allah ajarkan pada baginda." (Sahih Bukhari no 6766)

Hasil dari kesungguhan mereka inilah lahirnya para muhaddithat (ulama hadith dari kalangan wanita). Ini kerana mereka bukan setakat mempelajarinya sahaja malah mengajarkan dan menyampaikan pula ilmu dan hadis tersebut kepada orang lain. 

Ummahatul Mukminin dan Periwayatan Hadis 

Ummahatul Mukminin iaitu isteri-isteri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah antara mereka yang paling terserlah dalam hal ini. Ini kerana mereka selalu mendampingi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hidup mereka. Aisyah radhiallahu anha umpamanya meriwayatkan begitu banyak hadis dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Dengan usia yang muda dan kecerdasan yang dianugerahkan Allah kepada beliau, jumlah hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 2210 hadis. Beliau dinobatkan sebagai wanita yang paling faqih secara mutlak. Aisyah merupakan antara Ummahatul Mukminin yang terakhir meninggal dunia. Ini membolehkan para sahabat seumpama Abu Bakar, Umar, Abu Hurairah dan para tabien seumpama Masruq, Said bin al-Musayyib, Sya'bi dan juga Mujahid mengambil ilmu daripada beliau.

Selain beliau, Ummahatul Mukminin yang lain turut meriwayatkan sejumlah hadis yang banyak dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Mereka adalah :

1. Ummu Salamah
Hadis yang diriwayatkan oleh beliau mencecah 378 hadis. 13 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

2. Maimunah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 76 hadis. 31 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 7 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

3. Habibah binti Abi Sufyan.
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 65 hadis. 29 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

4. Hafsah binti Umar
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 60 hadis. 28 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 4 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

5. Zainab binti Jahsy
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 11 hadis. 5 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

6. Safiyyah binti Huyay
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 10 hadis. 1 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

7. Juwairiyah binti al-Harith
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 7 hadis. 4 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 3 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

8. Saudah binti Zam'ah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 5 hadis. 2 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. Satu daripadanya dalam Sahih Bukhari.

Ini menunjukkan bahawa Ummahatul Mukminin merupakan elemen penting dalam periwayatan hadith. Tanpa mereka, nescaya banyak hadis yang tidak akan sampai kepada kita.

Muhaddithat dari kalangan Sahabiyyat

Para Muhaqqiqin (pengkaji) berbeza pendapat tentang jumlah perawi dari kalangan sahabat. Al-Hakim umpamanya menyebutkan bahawa bilangan mereka mencapai 4000 orang. Namun Al-Zahabi menyatakan mereka ini berjumlah sekitar 1500 orang sahaja. 

Berdasarkan kiraan dalam Kitab Baqiy bin Makhlad, jumlah mereka adalah sekitar 1858 orang. 1642 daripadanya adalah sahabat manakala 216 terdiri dari kalangan sahabiyat. Namun menurut Dr Akram al-Umari, jumlah yang disebutkan oleh Al-Zahabi adalah lebih tepat.

Termasuk dalam jumlah 216 ini adalah Ummahatul Mukminin seramai 9 orang yang sudah disebutkan tadi.

Antara sahabiyat yang meriwayatkan puluhan hadis ada 9 orang (tak termasuk Ummahatul Mukminin) : 

1. Asma' binti Yazid bin al-Sakan : 81 hadis
2. Asma' binti Umais : 60 hadis
3. Asma' binti Abu Bakr : 58 hadis
4. Ummu Hani' binti Abi Talib : 46 hadis
5. Ummu Atiyyah : 40 hadis
6. Fatimah binti Qais : 34 hadis
7. Ummu al-Fadhl binti Al-Harith : 30 hadis
8. Ummu Qais binti Mihsan : 24 hadis
9. Al-Rabie binti Muawwiz : 21 hadis

Selain mereka ini, ada juga sahabiyat yang meriwayatkan belasan hadis. Antaranya : 

1. Fatimah binti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : 18 hadis
2. Khaulah binti Hakim : 15 hadis
3. Ummu Sulaim binti Milhan : 14 hadis

Manakala yang lain masing-masing meriwayatkan hadis kurang daripada jumlah tersebut. Saya tidak menyebutkan nama-nama mereka kerana jumlah mereka agak ramai. 

Muhaddithat dari kalangan Tabien

Muhaddithat dari kalangan wanita Tabien tidak begitu ramai memandangkan mereka yang hidup pada kurun pertama lebih cenderung untuk terus mengambil riwayat daripada kalangan Sahabiyat yang masih hidup.

Antara Muhaddithat yang masyhur dari kalangan tabien adalah seperti berikut : 

1. Khairah iaitu Ibu kepada Hasan Al-Basri
2. Zainab binti Ka'b bin Ujrah (isteri Abu Said Al-Khudri)
3. Safiyyah binti Abi Ubaid bin Mas'ud (isteri Abdullah bin Umar)
4. Zainab binti Nabit (isteri Anas bin Malik)
5. Umm Kalthum binti Abu Bakr al-Siddiq

Sumbangan Wanita terhadap Sahih Bukhari

Wanita juga mempunyai sumbangan yang besar terhadap Sahih Bukhari. Kisah lanjut mengenai sumbangan mereka boleh didapati dalam kitab-kitab al-Tarajum, al-Masyikhat dan juga al-Athbat. 
Dr Muhammad bin Azuz telah mengumpulkan sumbangan-sumbangan mereka ini dalam karyanya bertajuk Safahat Musyriqah min Inayah al-Mar'ah bi Sahih al-Bukhari.

Kaum wanita telah mendengar hadis dari ahli hadith terkemuka seumpama Ibn al-Zubaidi, khususnya para wanita yang mendengar hadis di Darul Hadis al-Asyrafiyyah. Antaranya ialah Fatimah binti Abdul Hadi al-Maqdisiyyah (wafat 803 h) yang merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar. Contoh yang lain adalah seumpama Karimah al-Marwaziyyah yang merupakan wanita pertama yang mempelajari Sahih Bukhari pada kurun ke 5 hijrah. Begitu juga Sitt al-Wuzara' yang merupakan wanita pertama yang datang ke Mesir untuk mengajarkan Sahih al-Bukhari.

Jumlah Periwayatan Wanita dalam Hadis

Berdasarkan sumber-sumber yang digunapakai oleh al-Mizzi dan juga Ibn Hajar, di sana terdapat 2764 hadis yang diriwayatkan oleh wanita dalam Kutub al-Sittah. 2539 daripadanya adalah dari kalangan Sahabiyyat. Manakala 225 lagi adalah daripada bukan Sahabiyyat.

Daripada jumlah 2539 hadis yang diriwayatkan oleh Sahabiyyat, sebahagian besarnya adalah daripadanya riwayat Aisyah yang mencecah dua ribu lebih. Jumlah hadis riwayat Aisyah dalam Sahih Bukhari dan Muslim mencecah 297 hadis. 

Bilangan muhaddithat (dari kalangan sahabiyyat) yang meriwayatkan hadis dalam Kutub al-Sittah adalah seperti berikut : 

1. Sahih Bukhari : 31 hadis
2. Muslim : 36 hadis
3. Sunan Abu Daud : 75 hadis
4. Sunan Tirmizi : 46 hadis
5. Sunan Nasaie : 65 hadis
6. Sunan Ibn Majah : 60 hadis

Wanita dan Bermusafir dalam Menuntut Hadis

Seperti yang kita ketahui, wanita banyak terikat dengan urusan dalam rumahtangga. Mereka juga ada banyak kekangan untuk bermusafir kerana mereka mesti ditemani mahram dan sebagainya. Namun ini tidak menghalang mereka daripada bermusafir untuk mempelajari hadis.

Umpamanya Ummu Atiyyah yang bermusafir ke Basrah lalu menetap di Bani Khalaf kemudian terkenal dengan keluasan ilmu dan riwayatnya dalam hadis di sana. Ummul Mukminin Habibah juga meriwayatkan hadis di Syam ketika mana menziarahi saudaranya iaitu Khalifah Muawiyah.

Begitu juga Qailah binti Makhramah al-Anbariyyah yang datang untuk berbaiah kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam bersama Bani Bakr bin Wail.

Wanita islam pada kurun pertama hijrah menggunakan peluang ketika waktu haji untuk mendengar hadis dari Ummahatul Mukminin. Contohnya Ummu Salim binti Malik al-Basriyyah, seorang tabiin yang meriwayatkan hadis daripada Aisyah. Disebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib bahawa Ummu Salim berihram dari Basrah (ke Mekah) 17 kali. Disebutkan juga bahawa Jasrah binti Dajajah, seorang tabiin yang thiqah meriwayatkan hadis daripada Abu Dzar. Dikisahkan bahawa beliau melakukan umrah lebih kurang sebanyak 40 kali. Ini merupakan antara gambaran rehlah ilmiyyah mereka untuk menuntut hadis.

Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Naqd al-Hadis

Naqd menurut istilah para muhaddithin adalah membezakan hadis yang sahih dari hadis yang dhaif dan memberikan hukum ke atas periwayat hadis dari sudut tauthiq dan juga tajrih.

Antara yang menonjol dalam bidang naqd ini ialah Aisyah radhiallahu anha. Beliau membetulkan riwayat para sahabat yang tersalah dalam meriwayatkan sesuatu hadis. Antara riwayat yang dibetulkan oleh Aisyah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Umar, Ibn Abbas, Abdullah bin Amru Al-'As, Abu Hurairah dan lain-lain. 

Umpamanya hadis yang diriwayatkan oleh Umar yang menyebutkan bahawa mayat akan diseksa dalam kubur jika ia ditangisi ahli keluarganya. Aisyah menegur Umar dan mengatakan bahawa hadis yang sebenar ialah :"Sesungguhnya Allah menambahkan azab kepada orang Kafir yang ditangisi oleh ahli keluarganya". Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah taala dalam surah Al-An'aam ayat 164 : "Seseorang itu tidak memikul dosa perbuatan orang lain".

Al-Zarkasyi ada menulis satu kitab khas yang membincangkan tentang pembetulan dan teguran Aisyah terhadap riwayat para sahabat dalam kitabnya bertajuk : Al-Ijabah li Iirad Ma Istadrakathu Aisyah ala al-Sahabah.

Antara jaguh dalam naqd dalam kalangan mutakhirin adalah Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang wafat pada tahun 1078 hijrah. Beliau ada melakukan tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Penulisan Hadis

Penulisan wanita terutamanya dalam bidang hadis agak sedikit berbanding lelaki. Antara contoh mereka yang menulis ialah Al-Muhaddithah Fatimah binti Muhammad bin Ahmad al-Samarqandi yang telah menulis dalam bidang hadis dan juga fiqh. Begitu juga Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang mempunyai tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

Ibn al-Zubair turut nenyatakan bahawa Amaturrahman meriwayatkan daripada ayahnya Ibn Atiyyah lalu menulis kitab seumpama Al-Qubur dan Al-Muhtadhirin.

Karya dalam al-Muhaddithat 

Antara karya yang terkemuka dalam al-Muhaddithat adalah karya Dr Akram Nadwi dari Universiti Oxford yang mengumpulkan seramai 8000 orang Muhaddithat dalam buku beliau yang berjumlah sebanyak 40 jilid itu.


Antara karya besar lain ialah Kitab Inayah al-Nisa' bi al-Hadis al-Nabawi karya Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman. Kitab ini menceritakan sumbangan wanita dalam ilmu hadis dari kurun pertama hingga kurun ke 13 hijrah.

Ada juga karya-karya penting lain seumpama :
1. Juhud al-Mar'ah fi Riwayah al-Hadis fi al-Qarn al-Thamin al-Hijri karya Dr Salih Yusuf
2. Juhud al-Mar'ah al-Dimasyqiah di Riwayah al-Hadis al-Syarif karya Dr Muhammad bin Azuz
3. A'lam al-Nisa karya Ustaz Umar Ridha Kahalah
4. Takmilah A'lam al-Nisa' karya Ustaz Muhammad Khair Ramadhan 
5. Tarajum al-Muhaddithat min al-Tabiiyyat wa Marwiyyatuhunna fi al-Kutub al-Sittah karya Aliah Abdullah Muhammad

Berdasarkan fakta-fakta di atas, ternyata sumbangan dan peranan wanita terhadap ilmu hadis begitu besar dan tidak dapat disangkal lagi. Peninggalan mereka ini merupakan khazanah yang cukup besar buat kita. Moga Allah merahmati mereka semua. Saya doakan moga kita dikumpulkan bersama mereka di syurga sana.

Jika ada kesalahan dari sudut fakta dan sebagainya, mohon maklumkan pada saya.

Sumber : 
1. Juhud al-Mar'ah fi Nasyr al-Hadis wa Ulumihi oleh Dr Afaf Abdul Ghafur Hamid
2. Daur al-Mar'ah wa Juhuduha fi Ilm al-Hadis fi Ahd al-Sahabah wa al-Tabien oleh Dr Abdullah Ata' Umar
3. Mashyakhah al-Nisa' karya al-Sayyid Nuruddin Musa

Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah,
Ahad, 13 Disember 2015.
12.11 PM.