Friday, August 12, 2016

[Benarkah ideologi Ibn Taimiyyah punca keganasan?]

Kita memuji dan menyokong tindakan pihak berkuasa yang bersungguh-sungguh membanteras gejala terorism dan keganasan yang dipelopori oleh golongan ISIS. Namun malangnya berdasarkan akhbar dari portal Malaysiakini bertarikh 10 Ogos 2016 yang bertajuk  'IS lebih agresif sebar ideologi’ yang dikaitkan oleh pihak tertentu, kumpulan pelampau ini dikatakan terpengaruh dengan pandangan-pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang dikatakan menyeru kepada keganasan.

Persoalannya benarkah Ibn Taimiyyah menyeru kepada keganasan..?

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang wafat pada tahun 728 H merupakan sosok hebat yang diakui kehebatannya oleh rakan mahupun lawan. Lihat sahaja kepada penulisannya yang mencecah ratusan buah karya. Malah Syeikh Ibrahim al-Ali berdasarkan kajiannya menyatakan bahawa penulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah mencecah 923 buah.[1] Karyanya bertajuk Majmu’ al Fatawa sahaja dicetak sebanyak 37 jilid.

Sosok hebat ini juga telah melahirkan ramai anak-anak murid yang hebat. Antaranya adalah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Imam al-Zahabi, Imam Ibn Abd al-Hadi, Imam Ibnu Kathir, Al-Mizzi, al-Birzali dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat lain.

Beliau juga bukan sahaja mahir dalam pelbagai cabang ilmu utama Islam, malah terkedepan dalam bidang ekonomi dan juga politik. Ini boleh dilihat dalam kitab Mabadi’ al-Iqtisad al-Islami – Nusus Iqtisadiyyah Mukhtarah Min Kalam Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah oleh Dr Abdul Azim al-Islahi dan juga kitab al-Nazariyyah al-Siyasiyyah inda al-Imam Ibn Taimiyyah oleh Hasan Ko Nakata yang berbangsa Jepun.

Malah pandangan-pandangan beliau banyak dipetik oleh Majlis Fatwa Negeri dan juga Kebangsaan di negara kita.

Imam Al-Suyuti Al-Syafi’i berkata : “Ibnu Taimiyyah, Al-Syaikh Al-Imam Al-‘Allamah Al-Hafidz Al-Naqid Al-Faqih Al-Mujtahid Al-Mufassir Al-Bari’, “Syeikh al-Islam”, ketua orang-orang Zuhud, jarang dijumpai sepertinya pada zamannya , Taqiyyuddin Abu Al-Abbas Ahmad Al-Mufti Syihabuddin Abdul Halim bin Al-Imam Al-Mujtahid Syaikhul Islam Majduddin Abdussalam bin Abdillah bin Abi Al-Qashim Al-Harrani, salah seorang tokoh terkemuka.”[2]

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia menukilkan dalam kitabnya Kaifa Nataamal Ma’a al-Sunnah,

“Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku”.[3]

Mengaitkan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dengan keganasan adalah dakwaan yang tidak berasas.

Ini kerana :

1. Menyalahkan penulis sesuatu buku kerana salah laku yang dilakukan oleh pembacanya seumpama keganasan adalah dakwaan yang tidak berasas.

Al-Quran juga dibaca oleh golongan ISIS. Namun adakah logik jika kita mengatakan Al-Quran adalah penyebab kepada keganasan yang dilakukan oleh mereka? Sudah tentu tidak.

Bukankah ISIS juga banyak mengambil hadis-hadis dan juga perbuatan para Khulafa Rasyidin dalam menjustifikan keganasan mereka? Apakah pihak yang mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan juga akan mengatakan bahawa hadis-hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam dan perbuatan para sahabat juga mendorong keganasan?

Hujah seperti ini hanya digunakan pelampau sektarian Syiah yang menolak hadis dan para sahabat.

Mereka yang mendakwa bahawa Ibn Taimiyyah telah menyeru kepada keganasan dan ekstremism perlu mendatangkan bukti dari kitab-kitab beliau yang jelas menunjukkan bahawa beliau menyeru kepada keganasan. Ini berdasarkan kepada kaedah yang diambil dari hadis riwayat Baihaqi:

البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

“Si penuduh (pendakwa) mesti mendatangkan bukti, manakala bagi (si tertuduh) cukup dengan bersumpah”[4]

Kadang-kadang sebahagian golongan mengambil jalan pintas untuk mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan hanya kerana mereka tidak setuju dengan sebahagian fatwa-fatwa Ibn Taimiyyah.
Jika kita perhatikan karya-karya Ibn Taimiyyah kita akan mendapati bahawa beliau tidak pernah menyeru kepada keganasan, malah ia penuh dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis dan juga pandangan ulama-ulama terkemuka.

Maka mengaitkan nama Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah atau mana-mana tokoh dan ulama dengan pemikiran terrorism perlu kepada penelitian dan hujah yang jelas dan konkrit.

2. ISIS terbukti memanipulasi fatwa Ibn Taimiyyah

Kita semua masih ingat akan peristiwa yang mengejutkan dunia pada tahun lepas apabila ISIS mengeluarkan video yang menunjukkan mereka membakar seorang juruterbang dari Jordan, Muaz al-Kasasbeh secara hidup-hidup.

Dalam video yang dikeluarkan oleh mereka, mereka menukilkan fatwa Ibn Taimiyyah seperti berikut :

فأما إذا كان في التمثيل الشائع دعاء لهم إلى الإيمان وزجر لهم عن العدوان فإنه هنا من إقامة الحدود والجهاد المشروع.[5]

“Dan jika perbuatan mempermainkan mayat secara terbuka itu menyeru mereka ke arah keimanan dan mencegah mereka dari persengketaan maka ia adalah sebahagian daripada menegakkan hudud dan jihad yang disyariatkan.”

Sedangkan ia sebenarnya dinukilkan di luar konteks, malah diambil sekerat-sekerat.

Malah kata-kata sebenar Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah adalah seperti berikut :

وإن مثل الكفار بالمسلمين فالمثلة حق لهم فلهم فعلها للاستيفاء وأخذ الثأر ولهم تركها، والصبر أفضل وهذا حيث لا يكون في التمثيل السائغ لهم دعاء إلى الإيمان وحرز لهم عن العدوان فإنه هنا من إقامة الحدود والجهاد[6]

“Dan jika kuffar mempermainkan mayat kaum muslimin, maka harus bagi kaum muslimin melakukan seumpamanya juga sebagai balasan setimpal, dan harus juga bagi mereka untuk tidak membalas dengan perbuatan yang serupa. Mengambil sikap bersabar (dengan tidak membalas dengan perbuatan serupa) lebih baik, agar perbuatan (membalas semula dengan) menyiksa mayat (kuffar) tidak menjadi penghalang untuk menyeru mereka kearah keimanan dan menjaga mereka daripada persengketaan, maka di sini ia termasuk dalam menegakkan hudud dan juga jihad”
Perhatikan bagaimana mereka mengubah struktur ayat malah beberapa perkataan turut diubah.
Jelas di sini bahawa pihak ISIS telah memanipulasi fatwa Ibn Taimiyyah semata-mata mahu menjustifikasikan perbuatan kejam mereka.

3. Ibn Taimiyyah adalah seorang yang dikenali dengan sikap beliau yang lantang mengkritik golongan dan kumpulan-kumpulan yang menyeleweng dan ekstremis seumpama Khawarij, Syiah ,Murjiah, Mu’tazilah dan lain-lain. Dalam buku beliau bertajuk Qaidah Mukhtasarah fi Wujub Taatillah wa Rasulihi wa Wulat al-Umur beliau menegaskan akan kewajipan mentaati pemerintah dan tidak boleh keluar memberontak ke atas pemerintah. [7]

Ini cukup bersalahan dengan apa yang dilakukan oleh ISIS sekarang. Ini sama sekali menolak dakwaan bahawa tindakan ISIS dipengaruhi oleh pandangan Ibn Taimiyyah

4. Ibn Taimiyyah tidak bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain. Ini terbukti dengan kata-kata beliau dalam kitab al-Radd ala al-Bakri:

 أهل العلم و السنة لا يكفرون من خالفهم ، و إن كان ذلك المخالف يُكَفِّرُهم؛ لأن الكفر حكم شرعي.

Maksudnya : Ahli ilmu dan Sunnah tidak mengkafirkan mereka yang berselisih pendapat dengan mereka, walaupun mereka (ahli ilmu dan Sunnah) dikafirkan oleh golongan yang menyelisihi mereka, kerana kufur itu adalah hukum syarie. [8]

Malah jika dirujuk kepada kitab  Manhaj Ibn Taimiyyah fi Masalah Takfir karya Syeikh Abdul Majid al-Musya’bi juga membuktikan Ibn Taimiyyah tidak mengkafirkan golongan lain dengan sewenang-wenangnya. Beliau tidak mengkafirkan golongan Murjiah, Qadariyyah, Mu’tazilah dan lain-lain. [9]

Ini sangat berbeza dengan golongan ISIS yang bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka malah menghalalkan darah mereka. Ini terbukti apabila mereka mengeluarkan satu artikel dalam majalah rasmi mereka DABIQ yang bertajuk Kill the Imam of Kufr  yang menyenaraikan beberapa tokoh ulama di Saudi sebagai kafir, malah sebagai musyrikin yang halal darah mereka. Mereka menulis “They are undoubtedly mushrikīn, and Allah said, {Then kill the mushrikīn wherever you find them} [At-Tawbah: 5].”[10]

Antara ulama-ulama yang dikafirkan mereka adalah Mufti Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz al-Syaikh, Syeikh al-Arifi, Syeikh Abdul Rahman Sudais, Syeikh Salih Mughamisi dan ramai lagi.

Jika difikirkan, bagaimana ISIS yang kononnya mengikut pandangan Ibn Taimiyyah boleh mengeluarkan ancaman bunuh kepada ulama-ulama Saudi yang juga mengikut pandangan Ibn Taimiyyah?

Ini sekaligus menolak dakwaan yang mengaitkan wahabi dengan keganasan kerana ulama-ulama Saudi yang dikatakan mendokong pemikiran wahabi sendiri diancam bunuh oleh puak ISIS.

Kita dapat melihat metodologi pemikiran yang bercanggah sama sekali antara apa yang dianuti ISIS dan apa yang dipegang oleh Ibn Taimiyyah.

Konklusi

Berdasarkan hujah-hujah di atas, dapat kita simpulkan bahawa tindakan mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan adalah dakwaan yang tidak berasas.

Kita bersetuju bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah tidak terlepas dari melakukan kesilapan kerana beliau bukan maksum, namun kita perlu bersikap adil kerana adil itu dekat dengan taqwa. Yang benar kita katakan benar, yang salah kita katakan salah.

Firman Allah taala,

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”
(Surah al-Maidah ayat 8)

Sungguhpun ramai yang memusuhi dan mengeji beliau, beliau tetap memaafkan mereka. Sikap ini menafikan keganasan dari Ibn Taimiyyah.

Kata beliau :

فإني قد أحللت كل مسلم . وأنا أحب الخير لكل المسلمين وأريد لكل مؤمن من الخير ما أحبه لنفسي والذين كذبوا وظلموا فهم في حل من جهتي

“Sesungguhnya, telah aku maafkan sekalian umat Islam kerana cintaku akan kebaikan bagi mereka. sebagaimana aku mahukan kebaikan itu untuk diriku. Adapun bagi mereka yang telah melakukan pendustaan dan kezaliman (terhadapku), ketahuilah bahawa mereka itu telah pun berada dalam kemaafanku." [11]

Rujukan :

[1] Syaikhul Islam Ahmad ibn Taimiyyah Rajul al-Islah wa al-Da’wah oleh Syeikh Ibrahim al-Ali hlm 376, cetakan Dar al-Qalam
[2] Tabaqatul Huffaz oleh Imam al-Suyuti hlm 520, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah
[3] Kaifa Nataamal Ma’a al-Sunnah oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hlm 170, cetakan Dar al-Wafa’
[4] Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi 10/252, Hadis Hasan
[5] http://shoebat.com/2015/02/03/watch-horrific-video-isis-burning-pow-jordanian-pilot/
[6] Al-Fatawa al-Kubra oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hlm 540, jilid ke 5
[7] Qaidah Mukhtasarah fi Wujub Taatillah wa Rasulihi wa Wulat al-Umur, hlm 31
[8] Radd ala al-Bakri 1/381
[9] 1 Syaikhul Islam Ahmad ibn Taimiyyah Rajul al-Islah wa al-Da’wah oleh Syeikh Ibrahim al-Ali hlm 538, cetakan Dar al-Qalam
[10] Majalah DABIQ terbitan ISIS bil 13 edisi Rabiul Akhir 1437 hlm 6-8
[11] Majmu Fatawa Ibn Taimiyyah jil 28 hlm 55


No comments:

Post a Comment