Friday, September 4, 2015

Adakah berbekam pada waktu-waktu tertentu ada kelebihan..?

assalamualaikum ust. maaf ganggu. kenyataan ni dh viral di media sosial. adakah ia sahih ? "Assalamualaikum buat sahabat2.. esok ialah hari selasa 17 zulkaedah.. diriwayatkn di dlm hadis mnyatakn bhw tarikh trsbut ialah tarikh yg baik utk berbekam pdnya krn fadilatnya adalah ubat bg setahun"


Saya telah ditanya tentang kebenaran mesej di atas. Setelah saya meneliti artikel di http://islamqa.info/ar/128170 , berikut merupakan kesimpulan yang dapat saya buat.

>>Jawapan pendek : Setakat yang saya cari, hadis bahawa sesiapa yang berbekam pada 17 Zulhijjah fadhilatnya adalah ubat bagi setahun TIADA ASALNYA.
Allah Maha Mengetahui.
*Jika sahabat-sahabat asatizah ada jumpa hadis begini maklumkan pada saya ya.

>>Jawapan panjang :
Terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang berbekam pada waktu-waktu tertentu dan ia terbahagi kepada dua :

1. Hadis yang menunjukkan kelebihan hari-hari yang tertentu untuk berbekam. Ia merupakan hari ke 17 (lagi-lagi jika bertembung dengan hari selasa), hari ke 19, hari isnin dan khamis dan sebagainya.

2. Hadis yang melarang perbuatan berbekam pada hari-hari tertentu iaitu hari Sabtu, Ahad, Selasa dan sebagainya.

Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kesemua hadis yang terdapat dalam dua bahagian ini adalah DHAIF, dan TIADA satupun hadis yang SAHIH berkenaan dengannya.

Berikut merupakan sebahagian pendapat ulama' :

1. Al-Khallal menaqalkan dari Imam Ahmad bahawa hadis tersebut tidak thabit. Ini dinukilkan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari (10/149).

2. Al-Uqaili rahimahullah berkata : "Tiada yang sahih dalam bab memilih hari tertentu untuk berbekam."
(Al-Dhuafa' al-Kabir : 1/150)


3. Ibn al-Jauzi pula mengumpulkan hadis-hadis tentang berbekam pada waktu tertentu dalam satu bab dalam kitabnya Al-Maudhuat (3/211-215) lalu berkata :
"Hadis-hadis ini tiada satupun yang sahih".


4. Imam Nawawi rahimahullah pula berkata :
"Kesimpulannya tiada satupun yang sahih berkenaan larangan berbekam pada hari-hari tertentu".
(Al-Majmu' 9/69)


5. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : "Hadis-hadis ini tiada satupun darinya yang sahih."
(Fath al-Bari 10/149)


Ramai ahli ilmu menggalakkan berbekam pada hari tertentu seumpama hari ke 17, 19, dan 21 berdasarkan hujah-hujah berikut :

Ada riwayat dengan sanad yang sahih dari sahabat radhiallahu anhum :
Dari Anas bin Malik radhiallahu anhu :
"Para sahabat-sahabat nabi berbekam pada hari-hari ganjil pada setiap bulan".
Diriwayatkan oleh al-Tabari dalam Tahzib al-Atsar (2856) dengan sanad yang sahih.


Boleh jadi kebiasaan sahabat ini adalah kerana ada hadis-hadis yang marfu' tentang perkara ini.

Malah sebahagian ahli ilmu berpendapat bahawa sebahagian hadis dalam bab ini boleh dikuatkan seperti mana komentar Imam Termizi ketika mengeluarkan hadis Anas bin Malik yang berbunyi :
"Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berbekam pada bahagian tengkuk, dan baginda berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21"
Hadis no 2051.



Komentar beliau terhadap hadis ini adalah : "Hasan Gharib"
Begitu juga yang dilakukan oleh sebahagian ulama terkemudian seperti al-Suyuti dalam Al-Hawi lil Fatawi (279-280/1), juga Ibn Hajar al-Haitami dalam fatwanya (4/351), dan juga Syeikh al-Albani dalam Silsilah Sahihah (622,1847)

Namun apa yang disebutkan tentang kata-kata ahli ilmu tentang dhaifnya hadis-hadis dalam bab ini adalah lebih KUAT.

Wallahu A'lam.


Moga Allah memaafkan kesalahan saya jika ada dalam tulisan ini.
Saya memohon kepada para Asatizah dan juga ahli ilmu yang mendapati sebarang kesalahan dalam tulisan ini untuk menegur saya.


No comments:

Post a Comment