Sunday, June 14, 2015

Koleksi Hadis Lemah dan Palsu Yang Tersebar di Internet Siri 3

1.  '' Janganlah kamu pukul anak-anak kamu di sebabkan mereka menangis dalam masa setahun. Kerana pada empat bulan pertama kelahirannya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterusnya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya.'' ( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. )

Hadis yang mengatakan tangisan anak adalah ucapan Laa Ilaha Illah adalah PALSU kerana ada seorang perawi yang benama Ali bin Ibrahim bin al-Haitham al-Baladi dalam sanadnya. Berikut kata ulama hadis:

1. Kata al-Khatib al-Baghdadi: Terlalu munkar.
2. Kata Ibn Hajar: Bahkan iaa palsu tanpa syak.
3. Kata Ibn Iraq al-Kinani: Ya ia dinisbahkan kepada rekaan dan dusta maka ia tidak layak untuk menjadi penyokong.
(Rujuk: Lisan al-Mizan, jld. 5, hlm. 191, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 171)

___________________________

2. '' Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuknya dan kedua ibu bapanya. Dan apa yang di perbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah di tulis untuk nya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya. Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang di tulis itu atasnya ia itu segala amal baik atau buruknya.'' ( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.)
Hadis kedua pula berdasarkan penilaian saya adalah daif kerana perawinya yang bernama Makruf al-Khayyat. Dia dinilai daif oleh Abu Hatim al-Razi dan Ibn Adiyy. Benar Ibn Hibban menyatakan beliau dalam kitab al-Tsiqat tetapi ia bermakna beliau tidak berdusta cuma ingatan beliau lemah. Oleh itu, Ibn Hajar menyatakan beliau daif dalam Taqrib al-Tahzib.
(Lihat: Tahzib al-Tahzib, jld. 32, hlm. 324, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 540)
Kesimpulan:
Memang benar Islam suruh menyayangi anak-anak. Tetapi fadhilat yang disebut dalam hadis ini tidak sahih. Wallahua'lam.
Abu Muaz Dr. Rozaimi Ramle
31 Mei 2015

_________________________________

3. [Status Hadis Puasa Khusus Pada Hari Nisfu Syaaban]

Baru-baru tersebar di media sosial hadis galakan puasa Nisfu Syaaban secara khusus dengan lafaz berikut:

إذا كانت ليلة النصف من شعبان فقوموا ليلها وصوموا نهارها

Maksudnya: Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya...

Justeru orang ramai mula bertanya saya tentang statusnya kerana ia dibaca oleh seorang yang bergelar syeikh. Sebelum saya jawab status hadis ini, saya ingin tegaskan beberapa perkara:

1. Perbincangan ini adalah perbincangan ilmiah. Seeloknya ia tidak didasari dengan emosi dan kebencian. Bahkan ia mesti didasari dengan sikap homat dan kasih sayang kerana masing-masing mencari kebenaran.

2. Saya tidak akan membincangkan soal kelebihan malam Nisfu Syaaban kerana ada hadis lain yang menghuraikan kelebihan malam tersebut. Saya hanya ingin fokus kepada riwayat ini sahaja. Adakah ia sahih dari mulut baginda Nabi sallallah alaih wasallam?

3. Setiap anggapan bahawa artikel ini menghalang orang beribadat mestilah dijauhi kerana saya hanya ingin membincangkan status hadis sahaja. 

4. Saya akan menghuraikan status hadis berdasarkan fakta yang dibawa oleh ulama hadis.

Baiklah, sekarang saya akan nyatakan status hadis ini. Hadis ini adalah hadis riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadis ini PALSU. Ini kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Sabrah. Berikut adalah komentar ulama Jarh wa Taadil terhadap kredibiliti beliau:

1. Ahmad bin Hanbal: Pemalsu hadis dan pendusta. Hadisnya tiada nilai.
2. Kata Ibn al-Madini: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)
3. Kata al-Bukhari: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)
4. Kata Ibn Maien: Pemalsu Hadis
5. Kata al-Nasaie: Matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)
6. Kata Ibn Hibban: Beliau meriwayatkan hadis palsu (dan menyandarkannya kepada perawi tsiqah), tidak halal meriwayatkan darinya dan berhujah dengannya sama sekali.
7. Kata Ibn ‘Adiyy: Beliau antara pemalsu hadis.
(Lihat: al-Nasaie, al-Dhuafa’ wa al-Matrukin, hlm. 114, Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 407, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa Taadil, jld. 7, hlm. 306, al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld. 14, hlm. 370-371, Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 7, hlm. 297, al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 4, hlm. 503-504, Ibn Hajar al-‘Asqalani, Tahzib al-Tahzib, no. perawi: 138)

Maka jelaslah bahawa beliau dikategorikan sebagai pendusta yang memalsukan hadis. Tambahan pula hadis ini diriwayatkan dari jalur beliau sahaja. Cuma saya ingin jelaskan beberapa perkara di sini:

Pertama: Perbezaan Penilaian Antara Imam Bukhari, Ibn al-Madini dan Majoriti Ulama Jarh wa Taadil.

1. Penilaian al-Bukhari dan Ibn al-Madini ke atas beliau sebagai daif sebenarnya tidak bercanggah dengan pandangan yang menyatakan beliau pendusta. Ini kerana pandangan al-Bukhari dan Ibn al-Madini dianggap mujmal (tidak dinyatakan sebab kedaifan) manakala pandangan majoriti ulama Jarh wa Taadil pula mufassar. Mengikut kaedah ilmu Jarh wa Taadil, pandangan mufassar lebih utama untuk dipegang kerana pengkritik perawi ini mengetahui sebab kedaifannya. 

2. Tambahan pula, Imam Bukhari juga diriwayatkan menyatakan bahawa beliau munkar al-Hadith. (Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 7, hlm. 296) Tambahan pula istilah Munkar al-Hadith di sisi Imam Bukhari membawa maksud seseorang perawi yang tidak halal kita meriwayatkan hadisnya (daif berat). (Lihat: al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 349). Ini mengukuhkan lagi pandangan majority ulama Jarh wa Taadil terhadap kredibiliti perawi bernama Abu Bakar bin Abdillah bin Abi Sabrah ini.

Kedua: Penilaian Ibn Rajab dan al-Iraqi

Mungkin ada yang bertanya mengapa Ibn Rajab dan al-Iraqi menilai hadis ini sebagai daif sedangkan ia palsu? Sebenarnya tidak ada percanggahan antara penilaian Ibn Rajab dan al-Iraqi dengan penilaian ulama yang menghukum hadis ini sebagai palsu atau terlalu daif. Ini kerana hadis palsu adalah satu cabang dari hadis daif. Maka tidak hairan jika mereka menghukum daif riwayat ini sedangkan ada ulama yang menghukumnya sebagai palsu. Bahkan Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri mempertahankan Ibn al-Solah dan al-Khattabi ketika beliau menyatakan bahawa hadis palsu (maudhu’) adalah seburuk-buruk cabang hadis daif. Ini membuktikan hadis palsu adalah 1 cabang dari hadis daif. Ini juga dipersetujui oleh al-Suyuti, Ibn Jamaah, al-Iraqi dan al-Sakhawi. (Lihat: Ibn al-Solah, Muqaddimah Ulum al-Hadith, hlm. 201, al-Iraqi al-Taqyid wa al-Idhah, hlm. 63, Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 1, hlm. 838, al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 274, al-Sakhawi, Fath al-Mughith, jld. 1, hlm. 252-253)

Tetapi ini bukan bermakna kita perlu membakulkan semua hadis yang dinilai daif oleh ulama sebagai palsu. Semua penilaian hadis mestilah melihat kepada sebabnya secara terperinci dengan melihat status perawi menurut ulama Jarh wa Taadil. Maka dalam kes ini, penilaian daif oleh Ibn Rajab dan al-Iraqi mesti difahami bahawa ia palsu kerana perawi yang meriwayatkan hadis ini dihukum pendusta oleh ramai ulama Jarh wa Taadil.
Ia juga tidak bermakna kita menolak hadis daif ringan secara total. Hadis daif ringan boleh diamalkan dalam Fadhail al-A’mal dengan syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh ulama.

Ketiga: Hukum Bepuasa Pada 15 Syaaban
Seperti yang saya telah sebutkan di awal artikel ini bahawa perbincangan ini hanyalah tentang status hadis yang disebutkan oleh syeikh berkenaan. Ia bukan bertujuan untuk menghalang orang awam untuk beribadah. Oleh itu, ulama semisal Ibn Rajab menekankan bahawa puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hari putih (hari ke 13, 14 dan 15 setiap bulan hijriah). (Lihat: Ibn Rajab, Lataif al-Maarif, hlm. 151) 

Oleh itu, walaupun hadis ini palsu puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hadis galakan berpuasa pada hari putih.

Kesimpulannya, hadis ini telah jelas palsu kerana terdapat perawi bernama Abu Bakar bin Abdillah bin Abi Sabrah yang dikategorikan sebagai perawi pendusta. Saya tahu ada orang yang memperlekehkan keilmuwan saya. Tidak mengapa, jika tidak mahu terima pandangan saya. Setidak-tidaknya terimalah pandangan orang yang bukan sahaja digelar muhaddith tetapi digelar al-nuqqad (pengkritik perawi) dan al-Jahabizah (jaguh-jaguh hadis) seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Maien, al-Bukhari, Ibn ‘Adiyy dan al-Nasaie. Mereka semua adalah tonggak dalam ilmu periwayatan hadis. Moga kita berlapang dada dengan penjelasan ini. Sekian.

Dr. Rozaimi Ramle
Selasa,
26 Mei 2015

_________________________



4. Hadis "Tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah"



Hadis ini dhaif kerana ia kata-kata Mujahid bin Jabr.

_________________________



5. Hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani berkata bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda : "Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala semisalnya tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikitpun"



Hadis ini dhaif tetapi fiqhnya diamalkan.

Sumber : Fb Ustaz Rozaimi