Kita memuji dan menyokong tindakan pihak berkuasa yang
bersungguh-sungguh membanteras gejala terorism dan keganasan yang dipelopori
oleh golongan ISIS. Namun malangnya berdasarkan akhbar dari portal Malaysiakini
bertarikh 10 Ogos 2016 yang bertajuk 'IS
lebih agresif sebar ideologi’ yang dikaitkan oleh pihak tertentu, kumpulan
pelampau ini dikatakan terpengaruh dengan pandangan-pandangan Syeikhul Islam
Ibn Taimiyyah yang dikatakan menyeru kepada keganasan.
Persoalannya benarkah Ibn Taimiyyah menyeru kepada
keganasan..?
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang wafat pada tahun 728 H merupakan
sosok hebat yang diakui kehebatannya oleh rakan mahupun lawan. Lihat sahaja
kepada penulisannya yang mencecah ratusan buah karya. Malah Syeikh Ibrahim
al-Ali berdasarkan kajiannya menyatakan bahawa penulisan Syeikhul Islam Ibn
Taimiyyah mencecah 923 buah.[1] Karyanya bertajuk Majmu’ al Fatawa sahaja
dicetak sebanyak 37 jilid.
Sosok hebat ini juga telah melahirkan ramai anak-anak murid
yang hebat. Antaranya adalah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Imam al-Zahabi, Imam
Ibn Abd al-Hadi, Imam Ibnu Kathir, Al-Mizzi, al-Birzali dan ramai lagi
tokoh-tokoh hebat lain.
Beliau juga bukan sahaja mahir dalam pelbagai cabang ilmu
utama Islam, malah terkedepan dalam bidang ekonomi dan juga politik. Ini boleh
dilihat dalam kitab Mabadi’ al-Iqtisad al-Islami – Nusus Iqtisadiyyah Mukhtarah
Min Kalam Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah oleh Dr Abdul Azim al-Islahi dan juga
kitab al-Nazariyyah al-Siyasiyyah inda al-Imam Ibn Taimiyyah oleh Hasan Ko
Nakata yang berbangsa Jepun.
Malah pandangan-pandangan beliau banyak dipetik oleh Majlis
Fatwa Negeri dan juga Kebangsaan di negara kita.
Imam Al-Suyuti Al-Syafi’i berkata : “Ibnu Taimiyyah, Al-Syaikh
Al-Imam Al-‘Allamah Al-Hafidz Al-Naqid Al-Faqih Al-Mujtahid Al-Mufassir
Al-Bari’, “Syeikh al-Islam”, ketua orang-orang Zuhud, jarang dijumpai
sepertinya pada zamannya , Taqiyyuddin Abu Al-Abbas Ahmad Al-Mufti Syihabuddin
Abdul Halim bin Al-Imam Al-Mujtahid Syaikhul Islam Majduddin Abdussalam bin
Abdillah bin Abi Al-Qashim Al-Harrani, salah seorang tokoh terkemuka.”[2]
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan pengerusi Kesatuan
Ulama Sedunia menukilkan dalam kitabnya Kaifa Nataamal Ma’a al-Sunnah,
“Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat
yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi
di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku”.[3]
Mengaitkan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dengan keganasan
adalah dakwaan yang tidak berasas.
Ini kerana :
1. Menyalahkan penulis sesuatu buku kerana salah laku
yang dilakukan oleh pembacanya seumpama keganasan adalah dakwaan yang tidak
berasas.
Al-Quran juga dibaca oleh golongan ISIS. Namun adakah logik
jika kita mengatakan Al-Quran adalah penyebab kepada keganasan yang dilakukan
oleh mereka? Sudah tentu tidak.
Bukankah ISIS juga banyak mengambil hadis-hadis dan juga
perbuatan para Khulafa Rasyidin dalam menjustifikan keganasan mereka? Apakah
pihak yang mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan juga akan mengatakan
bahawa hadis-hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam dan perbuatan para sahabat
juga mendorong keganasan?
Hujah seperti ini hanya digunakan pelampau sektarian Syiah
yang menolak hadis dan para sahabat.
Mereka yang mendakwa bahawa Ibn Taimiyyah telah menyeru
kepada keganasan dan ekstremism perlu mendatangkan bukti dari kitab-kitab
beliau yang jelas menunjukkan bahawa beliau menyeru kepada keganasan. Ini
berdasarkan kepada kaedah yang diambil dari hadis riwayat Baihaqi:
البينة على المدعي، واليمين على من أنكر
“Si penuduh (pendakwa) mesti mendatangkan bukti, manakala bagi
(si tertuduh) cukup dengan bersumpah”[4]
Kadang-kadang sebahagian golongan mengambil jalan pintas
untuk mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan hanya kerana mereka tidak
setuju dengan sebahagian fatwa-fatwa Ibn Taimiyyah.
Jika kita perhatikan karya-karya Ibn Taimiyyah kita akan
mendapati bahawa beliau tidak pernah menyeru kepada keganasan, malah ia penuh
dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis dan juga pandangan ulama-ulama terkemuka.
Maka mengaitkan nama Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah atau mana-mana
tokoh dan ulama dengan pemikiran terrorism perlu kepada penelitian dan hujah
yang jelas dan konkrit.
2. ISIS terbukti memanipulasi fatwa Ibn Taimiyyah
Kita semua masih ingat akan peristiwa yang mengejutkan dunia
pada tahun lepas apabila ISIS mengeluarkan video yang menunjukkan mereka
membakar seorang juruterbang dari Jordan, Muaz al-Kasasbeh secara hidup-hidup.
Dalam video yang dikeluarkan oleh mereka, mereka menukilkan
fatwa Ibn Taimiyyah seperti berikut :
فأما إذا كان في التمثيل الشائع دعاء لهم إلى الإيمان وزجر لهم عن
العدوان فإنه هنا من إقامة الحدود والجهاد المشروع.[5]
“Dan jika perbuatan mempermainkan mayat secara terbuka itu
menyeru mereka ke arah keimanan dan mencegah mereka dari persengketaan maka ia
adalah sebahagian daripada menegakkan hudud dan jihad yang disyariatkan.”
Sedangkan ia sebenarnya dinukilkan di luar konteks, malah
diambil sekerat-sekerat.
Malah kata-kata sebenar Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah adalah
seperti berikut :
وإن مثل الكفار بالمسلمين فالمثلة حق لهم فلهم فعلها للاستيفاء وأخذ
الثأر ولهم تركها، والصبر أفضل وهذا حيث لا يكون في التمثيل السائغ لهم دعاء إلى
الإيمان وحرز لهم عن العدوان فإنه هنا من إقامة الحدود والجهاد[6]
“Dan jika kuffar mempermainkan mayat kaum muslimin, maka
harus bagi kaum muslimin melakukan seumpamanya juga sebagai balasan setimpal,
dan harus juga bagi mereka untuk tidak membalas dengan perbuatan yang serupa.
Mengambil sikap bersabar (dengan tidak membalas dengan perbuatan serupa) lebih
baik, agar perbuatan (membalas semula dengan) menyiksa mayat (kuffar) tidak
menjadi penghalang untuk menyeru mereka kearah keimanan dan menjaga mereka
daripada persengketaan, maka di sini ia termasuk dalam menegakkan hudud dan
juga jihad”
Perhatikan bagaimana mereka mengubah struktur ayat malah
beberapa perkataan turut diubah.
Jelas di sini bahawa pihak ISIS telah memanipulasi fatwa Ibn
Taimiyyah semata-mata mahu menjustifikasikan perbuatan kejam mereka.
3. Ibn Taimiyyah adalah seorang yang dikenali dengan
sikap beliau yang lantang mengkritik golongan dan kumpulan-kumpulan yang
menyeleweng dan ekstremis seumpama Khawarij, Syiah ,Murjiah, Mu’tazilah dan
lain-lain. Dalam buku beliau bertajuk Qaidah Mukhtasarah fi Wujub
Taatillah wa Rasulihi wa Wulat al-Umur beliau menegaskan akan kewajipan
mentaati pemerintah dan tidak boleh keluar memberontak ke atas pemerintah. [7]
Ini cukup bersalahan dengan apa yang dilakukan oleh ISIS
sekarang. Ini sama sekali menolak dakwaan bahawa tindakan ISIS dipengaruhi oleh
pandangan Ibn Taimiyyah
4. Ibn Taimiyyah tidak bermudah-mudah dalam
mengkafirkan orang lain. Ini terbukti dengan kata-kata beliau dalam kitab
al-Radd ala al-Bakri:
أهل العلم و السنة لا يكفرون من خالفهم ، و إن كان ذلك المخالف
يُكَفِّرُهم؛ لأن الكفر حكم شرعي.
Maksudnya : Ahli
ilmu dan Sunnah tidak mengkafirkan mereka yang berselisih pendapat dengan
mereka, walaupun mereka (ahli ilmu dan Sunnah) dikafirkan oleh golongan yang
menyelisihi mereka, kerana kufur itu adalah hukum syarie. [8]
Malah jika
dirujuk kepada kitab Manhaj Ibn
Taimiyyah fi Masalah Takfir karya Syeikh Abdul Majid al-Musya’bi juga
membuktikan Ibn Taimiyyah tidak mengkafirkan golongan lain dengan
sewenang-wenangnya. Beliau tidak mengkafirkan golongan Murjiah, Qadariyyah,
Mu’tazilah dan lain-lain. [9]
Ini sangat berbeza dengan golongan ISIS yang bermudah-mudah
dalam mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka malah menghalalkan
darah mereka. Ini terbukti apabila mereka mengeluarkan satu artikel dalam
majalah rasmi mereka DABIQ yang bertajuk Kill the Imam of Kufr yang menyenaraikan beberapa tokoh ulama di
Saudi sebagai kafir, malah sebagai musyrikin yang halal darah mereka. Mereka
menulis “They are undoubtedly mushrikīn, and Allah said, {Then kill the
mushrikīn wherever you find them} [At-Tawbah: 5].”[10]
Antara ulama-ulama yang dikafirkan mereka adalah Mufti Arab
Saudi, Syeikh Abdul Aziz al-Syaikh, Syeikh al-Arifi, Syeikh Abdul Rahman
Sudais, Syeikh Salih Mughamisi dan ramai lagi.
Jika difikirkan, bagaimana ISIS yang kononnya mengikut
pandangan Ibn Taimiyyah boleh mengeluarkan ancaman bunuh kepada ulama-ulama
Saudi yang juga mengikut pandangan Ibn Taimiyyah?
Ini sekaligus menolak dakwaan yang mengaitkan wahabi dengan
keganasan kerana ulama-ulama Saudi yang dikatakan mendokong pemikiran wahabi
sendiri diancam bunuh oleh puak ISIS.
Kita dapat melihat metodologi pemikiran yang bercanggah sama
sekali antara apa yang dianuti ISIS dan apa yang dipegang oleh Ibn Taimiyyah.
Konklusi
Berdasarkan hujah-hujah di atas, dapat kita simpulkan bahawa
tindakan mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan adalah dakwaan yang tidak
berasas.
Kita bersetuju bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah tidak
terlepas dari melakukan kesilapan kerana beliau bukan maksum, namun kita perlu
bersikap adil kerana adil itu dekat dengan taqwa. Yang benar kita katakan
benar, yang salah kita katakan salah.
Firman Allah taala,
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana
sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”
(Surah al-Maidah ayat 8)
Sungguhpun ramai yang memusuhi dan mengeji beliau, beliau
tetap memaafkan mereka. Sikap ini menafikan keganasan dari Ibn Taimiyyah.
Kata beliau :
فإني قد أحللت كل مسلم . وأنا أحب الخير لكل المسلمين وأريد لكل مؤمن
من الخير ما أحبه لنفسي والذين كذبوا وظلموا فهم في حل من جهتي
“Sesungguhnya, telah aku maafkan sekalian umat Islam kerana
cintaku akan kebaikan bagi mereka. sebagaimana aku mahukan kebaikan itu untuk
diriku. Adapun bagi mereka yang telah melakukan pendustaan dan kezaliman
(terhadapku), ketahuilah bahawa mereka itu telah pun berada dalam
kemaafanku." [11]
Rujukan :
[1] Syaikhul Islam Ahmad ibn Taimiyyah Rajul al-Islah wa
al-Da’wah oleh Syeikh Ibrahim al-Ali hlm 376, cetakan Dar al-Qalam
[2] Tabaqatul Huffaz oleh Imam al-Suyuti hlm 520, cetakan
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah
[3] Kaifa Nataamal Ma’a al-Sunnah oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi
hlm 170, cetakan Dar al-Wafa’
[4] Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi 10/252, Hadis Hasan
[5] http://shoebat.com/2015/02/03/watch-horrific-video-isis-burning-pow-jordanian-pilot/
[6] Al-Fatawa al-Kubra oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hlm
540, jilid ke 5
[7] Qaidah Mukhtasarah fi Wujub Taatillah wa Rasulihi wa
Wulat al-Umur, hlm 31
[8] Radd ala al-Bakri 1/381
[9] 1 Syaikhul Islam Ahmad ibn Taimiyyah Rajul al-Islah wa
al-Da’wah oleh Syeikh Ibrahim al-Ali hlm 538, cetakan Dar al-Qalam
[10] Majalah DABIQ terbitan ISIS bil 13 edisi Rabiul Akhir
1437 hlm 6-8
[11] Majmu Fatawa Ibn Taimiyyah jil 28 hlm 55