Tadi sambil-sambil belek buku John Gray bertajuk Men Are From Mars, Women Are From Venus, terbaca satu tajuk menarik. Tajuknya ialah Learning to Listen.
Saya terjemahkan di bawah dengan sedikit olahan sendiri.
[Learning to Listen]
Kelihatan seorang isteri pulang dari tempat bekerjanya. Dia sungguh penat. Hari ini cukup meletihkan. Harapannya penatnya akan terubat bila pulang ke rumah.
Dia mahu meluahkan segala kekusutan yang dialaminya kepada suaminya di rumah.
Isteri : Aduh, kerja kat pejabat bertimbun-timbun. Tak cukup masa nak buat semua.
Suami : Awak patut berhenti bekerja. Tak perlu bersusah payah bekerja seharian. Cari kerja yang awak suka.
Isteri : Saya suka kerja saya. Tapi mereka di pejabat ingat saya boleh selesaikan semuanya dalam sekelip mata.
Suami : Jangan dengar cakap mereka. Buat apa yang awak mampu je.
Isteri : Itulah. Saya dah cuba.
Alamak, saya terlupa nak call mak sedara saya hari ini.
Suami : Tak payah risau, dia faham lah tu.
Isteri : Awak tahu ke apa yang dia sedang alami sekarang..?
Suami : Awak ni risau sangat. Sebab tu lah awak asyik murung je.
Isteri : Saya bukan selalu murung. Awak tu tak boleh ke dengar luahan hati saya..?
Suami : Kan saya tengah mendengar ni.
Isteri : Takpelah, penatlah cakap denagn abang ni. Makin berdenyut kepala saya.
Selepas perbualan ini, mereka berdua bertambah murung dan tertekan. Beban kerja di pejabat ditambah lagi dengan beban di rumah.
Si suami nak tolong selesaikan masalah isterinya, namun nampak gayanya isterinya makin murung.
Cuba bandingkan dengan cerita ini pula.
Isteri : Aduh, kerja kat pejabat bertimbun-timbun. Tak cukup masa nak buat semua.
Si suami mengambil nafas panjang lalu berkata : Kesian awak. Mesti penat kan kerja hari ini.
Isteri : Itulah, mereka kat tu pejabat ingat saya boleh selesaikan semuanya dalam sekelip mata je.
Si suami terus tekun mendengar dan mengangguk-angguk kepalanya : Hmm.
Isteri : Alamak, saya terlupa nak call mak sedara saya hari ini. Kesian dia.
Si suami buat-buat terkejut sambil mengangkat keningnya dan berkata : Alamak. Awak patut telefon dia segera.
Isteri : Ha'ah kan. Terima kasih kerana sangat memahami saya.
Lalu si isteri berlalu dengan penuh senyuman. Beban kerja hari ini seakan sudah hilang. Kusut kepalanya juga sudah lesap. Terasa sungguh bahagia memiliki si suami yang memahami dan sudi mendengar segala luahan rasa.
Nampak tak perbezaannya di situ?
Amat penting bagi seorang lelaki untuk faham bahawa mendengar dengan penuh teliti TANPA menawarkan sebarang penyelesaian adakalanya sangat penting. Dia kena faham bahawa hanya dengan mendengar dengan penuh perasaan apa yang diluahkan oleh isteri akan memberikan sejuta kebahagiaan bagi seorang isteri.
Inilah yang kita sebut sebagai Learning to Listen. Belajarlah untuk mendengar.
Catatan 23 Sept 2015