Tulisan ini merupakan ringkasan daripada artikel Sumbangan
Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU): Satu Analisis yang
ditulis oleh sahabat dan guru saya Ustaz Khairul Nazrin Nasir dan Dr Arif Yahaya.
Artikel ini mengetengahkan sumbangan tokoh hadis yang
terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Artikel ini juga boleh
dibaca melalui pautan berikut : http://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/view/36942
Antara tokoh hadis yang mempunyai kurang upaya penglihatan
adalah:
1. Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Beliau merupakan
sahabat Nabi yang buta pada akhir hayatnya. Beliau menduduki tempat kedua
tertinggi dalam periwayatan hadis selepas Abu Hurairah.
2. Abdullah bin Abbas. Beliau juga antara yang banyak
meriwayatkan hadis. Beliau juga kehilangan penglihatan pada penghujung
hayatnya.
3. Jabir bin Abdillah. Beliau juga hilang penglihatan di
akhir hayatnya.
4. Ubaidullah bin Abdillah, mufti Kota Madinah dan
tersenarai sebagai al-Fuqaha’ al-Sab’ah pada zaman Tabien.
5. Qatadah bin Di’amah al-Sadusi. Perawi utama daripada Anas
bin Malik.
6. Abu Ishaq al-Sabi’i. Seorang yang buta penglihatan dan
merupakan perawi utama daripada al-Bara’ bin Azib.
7. Al-A’mash, Sulaiman bin Mihran. Seorang tokoh besar dalam
ilmu hadith, tafsir dan qiraat. Al-A’mash bermaksud penglihatan yang rabun.
8. Hammad bin Zayd al-Azdi. Penghafaz hadith terkemuka di
Basrah. Beliau diuji dengan buta pada akhir hayatnya. Dikatakan beliau
menghafaz 4000 hadis seperti surah al-Ikhlas.
9. Yahya bin Said al-Qattan. Pakar rujuk dalam ilmu al-jarh
wa al-ta’dil. Beliau mengalami kecacatan pada mata seperti juling.
Jelaslah pada kita bahawa cacat penglihatan tidak menghalang
mereka daripada menghafal, bahkan mereka diberikan daya ingatan yang sangat tinggi.
Tokoh-tokoh ilmuan hadis juga ada yang diuji dengan kelainan
upaya dari segi fizikal. Antaranya :
1. Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat Nabi sallallahu
alaihi wasallam yang mempunyai fizikal yang kenit dan kurus namun beliua jaguh dalam
periwayatan hadith, tafsir, ilmu qiraat dan fiqh.
2. ‘Amr bin Akhtab, Abu Zayd al-Ansari. Beliau antara
sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang terkenal pernah menduduki Kota
Basrah. Walaupun beliau berkaki tempang, namun itu tidak menghalang beliau meriwayatkan
sejumlah hadis daripada Nabi sallalalahu alaihi wasallam.
3. Abdul Rahman bin Hurmuz al-Madani atau lebih dikenali
dengan al-A’raj. Beliau juga berkaki tempang namun tidak menghalang beliau
menjadi perawi utama daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu.
4. Said bin Abu Arubah, seorang penghafaz hadis terkenal di
Kota Basrah juga diuji dengan kecacatan pada kakinya.
5. Abu Qilabah, Abdullah bin Zaid al-Jarmi juga diuji dengan
kelumpuhan anggota badan dan hilang kedua penglihatannya. Namun beliau terkenal
sebagai ahli ibadah yang zuhud dan meriwayatkan sejumlah hadis daripada Anas
bin Malik dan Malik bin al-Huwairith.
Begitulah sorotan ringkas mengenai tokoh-tokoh hadis yang memberikan
sumbangan yang besar dalam ilmu hadis walaupun mereka diuji dengan pelbagai
kekurangan. Moga ini menjadi motivasi kepada kita yang dikurniakan dengan
nikmat anggota badan yang sempurna untuk terus memberikan sumbangan kepada Islam.