Saturday, August 31, 2024

Khadijah RA Berasal Dari Alam Melayu?

Aneh sekali dakwaan yang mendakwa Khadijah RA berasal daripada alam Melayu.

Sedangkan kita tahu bangsa Arab sangat menjaga perihal nasab dan keturunan.
Nasab Khadijah RA anha adalah seperti berikut: Khadijah binti Khuwaylid bin Asad bin Abd al-Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurashiyyah al-Asadiyyah.
Bahkan nasab Khadijah RA bertemu dengan nasab Nabi SAW pada Qusai. Khadijah RA juga adalah isteri Nabi SAW yang paling dekat nasabnya dengan Nabi SAW, seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar.
Jika begitu adakah Nabi SAW juga ada kaitan dengan alam Melayu? Bahkan dakwaan mengatakan Khadijah RA berasal dari alam Melayu seolah-olah suatu penghinaan dan menafikan beliau dari keturunan Arab Quraisy.
Entah apalah sangat yang nak diagungkan dengan menisbahkan tokoh dan para sahabat dengan alam Melayu. Sedangkan nasab itu tiada nilainya di akhirat jika tiada bekalan amalan soleh di dunia.
Nabi SAW bahawa:
مَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya, maka tidak akan dipercepatkan dengan nasabnya. (Riwayat Muslim)
Kemuliaan nasab atau keturunan tidak akan menjadikan seseorang itu lebih mulia berbanding orang lain jika dia kurang dari sudut amalan kebaikannya.
Al-Qadhi al-Baydhawi dalam Tuhfah al-Abrar menyebutkan:
من أخره عمله لسوئه أو قصوره ، لم يقدمه شرف نسبه
"Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya iaitu disebabkan kekurangan dan kelemahan dirinya, maka kemuliaan nasabnya tidak akan membantu untuk menjadikannya lebih terkehadapan berbanding orang lain."


Sunday, August 25, 2024

Doa Agar Dilindungi Dari Terbenam Ke Dalam Bumi

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peristiwa tanah jerlus di Masjid India yang menenggelamkan seorang wanita warganegara India. 

Rasulullah SAW ada mengajarkan kita suatu doa yang boleh kita amalkan bersama. 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]



Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa ini pada waktu pagi dan petang, seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Umar dalam riwayat Abu Daud. Dalam hadis yang penuh, disebutkan agar kita berlindung dari 6 arah:

1. Depan

2. Belakang

3. Kiri

4. Kanan

5. Atas

6. Bawah

Begitulah indahnya Islam.

Salah seorang perawi menafsirkan maksud tidak dibunuh dari arah bawah adalah الخسف iaitu tenggelam ke dalam bumi.

Apa yang menarik, dalam hadis tersebut dikhususkan perkataan وأعوذ بعظمتك untuk arah bawah. Sedangkan 5 arah yang lain sebelumnya tidak disebutkan perkataan tersebut, menunjukkan serangan atau kecelakaan dari arah bawah ini adalah perkara yang sukar untuk dielak.

Marilah sama-sama kita mengamalkan doa ini bersama-sama agar dilindungi dari bahaya yang datang dari arah bawah.

Moga bermanfaat.



Tuesday, June 28, 2022

Ringkasan Artikel Tanda-Tanda Besar Kiamat: Analisis Metode dan Kronologi

Alhamdulillah selesai membaca artikel TANDA-TANDA BESAR KIAMAT: ANALISIS METODE DAN KRONOLOGI yang ditulis oleh Ustaz Abdul Muhaimin bersama Ustaz Yusuf Ismail.

 


Artikel yang sangat bagus untuk dihadam mengenai topik hadis-hadis berkaitan tanda-tanda besar kiamat dan disiplin dalam berinteraksi dengan riwayat-riwayat yang berkaitan.

Antara point yang dapat saya simpulkan adalah:

1. Riwayat dhaif berkaitan tanda kiamat tak boleh jadi hujah sebab ia perbahasan yang berkaitan dengan akidah.

2. Antara cara nak pastikan kesahihan riwayat adalah kena kumpulkan semua riwayat dalam topik yang sama. Jadi kita akan dapat rungkaikan pelbagai kemusykilan yang timbul daripada hadis tersebut.

3. Dalam berinteraksi dengan teks hadis, ada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi. Antaranya adalah hadis mesti difahami melalui neraca al-Quran dan hadis sahih yang lain. Hadis-hadis ini juga tak boleh difahami secara metafora melainkan ada bukti. Begitu juga kita tak boleh bermudah2 nak kaitkan situasi semasa dengan kandungan hadis.

4. Tak ada satu nas dari Quran mahupun sunnah yang sebut susunan tanda besar kiamat secara pasti. Ada satu hadis daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari dalam Sahih Muslim yang sebutkan tanda2 besar kiamat. Namun berdasarkan Dr Sharf Mahmud, penggunaan partikel و dalam hadis tu bukan bermaksud tertib. Lagipun ada hadis lain yang sebutkan susunan yang berlainan.

5. Para ulama semisal Ibn Hajar al-Asqalani, al-Qurtubi, Hakim al-Naisaburi, Umar Sulaiman al-Asyqar serta Sharf Mahmud Qudah ada pendapat mereka yang tersendiri mengenai kronologi ini.

6. Justeru berdasarkan pemerhatian menyeluruh terhadap hadis-hadis, kronologi tanda besar kiamat adalah seperti berikut:

al-Dajjal muncul > Nabi Isa AS turun > Yakjuj dan Makjuj keluar > Matahari terbit dari barat > Al-Dabbah > Al-Dukhan > Bencana di Timur, barat dan kepulauan Arab > Api dari Yaman menghalau manusia ke al-Mahsyar.

 

Moga bermanfaat.


Untuk bacaan lebih lanjut boleh baca sendiri artikel tersebut di pautan ini:

https://journalofhadith.usim.edu.my/index.php/johs/article/view/178/100?fbclid=IwAR0ySozCRU8RYPDjvkFtMuBt6gEUjj4opRqsa-2TF-vtiborKkWdxNm87rk

 




Friday, January 3, 2020

Ringkasan Artikel Sumbangan Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)


Tulisan ini merupakan ringkasan daripada artikel Sumbangan Ilmuwan Hadis daripada Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU): Satu Analisis yang ditulis oleh sahabat dan guru saya Ustaz Khairul Nazrin Nasir dan Dr Arif Yahaya.

Artikel ini mengetengahkan sumbangan tokoh hadis yang terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Artikel ini juga boleh dibaca melalui pautan berikut : http://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/view/36942

Antara tokoh hadis yang mempunyai kurang upaya penglihatan adalah:

1. Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Beliau merupakan sahabat Nabi yang buta pada akhir hayatnya. Beliau menduduki tempat kedua tertinggi dalam periwayatan hadis selepas Abu Hurairah.

2. Abdullah bin Abbas. Beliau juga antara yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga kehilangan penglihatan pada penghujung hayatnya.

3. Jabir bin Abdillah. Beliau juga hilang penglihatan di akhir hayatnya.

4. Ubaidullah bin Abdillah, mufti Kota Madinah dan tersenarai sebagai al-Fuqaha’ al-Sab’ah pada zaman Tabien.

5. Qatadah bin Di’amah al-Sadusi. Perawi utama daripada Anas bin Malik.

6. Abu Ishaq al-Sabi’i. Seorang yang buta penglihatan dan merupakan perawi utama daripada al-Bara’ bin Azib.

7. Al-A’mash, Sulaiman bin Mihran. Seorang tokoh besar dalam ilmu hadith, tafsir dan qiraat. Al-A’mash bermaksud penglihatan yang rabun.

8. Hammad bin Zayd al-Azdi. Penghafaz hadith terkemuka di Basrah. Beliau diuji dengan buta pada akhir hayatnya. Dikatakan beliau menghafaz 4000 hadis seperti surah al-Ikhlas.

9. Yahya bin Said al-Qattan. Pakar rujuk dalam ilmu al-jarh wa al-ta’dil. Beliau mengalami kecacatan pada mata seperti juling.

Jelaslah pada kita bahawa cacat penglihatan tidak menghalang mereka daripada menghafal, bahkan mereka diberikan daya ingatan yang sangat tinggi.

Tokoh-tokoh ilmuan hadis juga ada yang diuji dengan kelainan upaya dari segi fizikal. Antaranya :

1. Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang mempunyai fizikal yang kenit dan kurus namun beliua jaguh dalam periwayatan hadith, tafsir, ilmu qiraat dan fiqh.

2. ‘Amr bin Akhtab, Abu Zayd al-Ansari. Beliau antara sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang terkenal pernah menduduki Kota Basrah. Walaupun beliau berkaki tempang, namun itu tidak menghalang beliau meriwayatkan sejumlah hadis daripada Nabi sallalalahu alaihi wasallam.

3. Abdul Rahman bin Hurmuz al-Madani atau lebih dikenali dengan al-A’raj. Beliau juga berkaki tempang namun tidak menghalang beliau menjadi perawi utama daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu.

4. Said bin Abu Arubah, seorang penghafaz hadis terkenal di Kota Basrah juga diuji dengan kecacatan pada kakinya.

5. Abu Qilabah, Abdullah bin Zaid al-Jarmi juga diuji dengan kelumpuhan anggota badan dan hilang kedua penglihatannya. Namun beliau terkenal sebagai ahli ibadah yang zuhud dan meriwayatkan sejumlah hadis daripada Anas bin Malik dan Malik bin al-Huwairith.

Begitulah sorotan ringkas mengenai tokoh-tokoh hadis yang memberikan sumbangan yang besar dalam ilmu hadis walaupun mereka diuji dengan pelbagai kekurangan. Moga ini menjadi motivasi kepada kita yang dikurniakan dengan nikmat anggota badan yang sempurna untuk terus memberikan sumbangan kepada Islam.






Tuesday, October 8, 2019

Laman Sesawang & Aplikasi Carian Hadis

Saya sering ditanya tentang apakah laman sesawang atau aplikasi carian hadis yang kita boleh gunakan untuk membuat carian pantas mengenai sesuatu hadis.

Justeru saya ingin berkongsi sedikit sebanyak laman sesawang atau aplikasi yang saya pernah gunakan. Perlu diingatkan laman sesawang dan aplikasi ini hanya sebagai pemudah cara sahaja. Sila rujuk ustaz yang anda percayai untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai huraian sesuatu hadis mahupun status hadis kerana yang terpapar di laman sesawang atau aplikasi belum tentu tepat dan memerlukan bimbingan guru.

Untuk laman sesawang berbahasa Melayu, anda boleh rujuk laman-laman berikut :

1. Portal e-Hadith JAKIM

Portal e-Hadith JAKIM ini antara yang inisiatif yang bagus. Ia memuatkan ratusan hadis beserta pengajarannya sekali. Kebanyakannya diambil dari Kutub Sittah.

Pautan : http://www.islam.gov.my/e-hadith


2. Irsyad al-Hadith

Irsyad al-Hadith seperti yang semua sedia maklum merupakan di bawah seliaan Mufti WP.

Pautan : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith

3. Semakhadis.com


Semakhadis.com adalah antara portal carian hadis yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memfokuskan kepada carian hadis dhaif dan palsu yang banyak berlegar di Malaysia khususnya. Laman ini masih dalam peringkat penambahan data oleh para penterjemah.

Pautan : https://semakhadis.com/


4. Sigir UITM


Laman Sigir UITM merupakan laman yang diusahakan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (FSKM UiTM) UITM. Laman ini memudahkan kita untuk membuat carian hadis-hadis dalam Kutub Sittah.

Pautan : https://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

5. TafsirQ

Tafsir Q adalah laman web yang dibangunkan di Indonesia. Juga bermanfaat untuk carian hadis.

Pautan : https://tafsirq.com/hadits

6. Cari Hadis

Cari Hadis juga antara web yang bermanfaat. Hanya masukkan perkataan yang ingin kita cari di ruang yang disediakan.

Pautan : http://carihadis.com/

7. Bicara Rasul


Laman Bicara Rasul adalah merupakan inisiatif Ustaz Syihabudin Ahmad Md Yatim

Pautan : http://bicararasul.blogspot.com/

Berikut pula adalah laman sesawang berbahasa Inggeris :

1. Sunnah.com


Antara laman sesawang terbaik untuk carian hadis berbahasa Inggeris.

Pautan : https://sunnah.com/

2. Hadith Collection

Pautan : http://hadithcollection.com/

3. Muflihun Hadith


Pautan : https://muflihun.com/hadith

4. Search Truth

Pautan : https://www.searchtruth.com/hadith_books.php

5. Hadith Answers

Pautan : https://hadithanswers.com/

6. Alim

Pautan : http://www.alim.org/

Laman sesawang dalam Bahasa Arab pula adalah seperti berikut :

1. Jami’ al-Sunnah wa Syuruhiha

Sesuai untuk carian hadis beserta huraian.

Pautan : http://hadithportal.com/

2. Dorar al-Saniyah


Antara yang popular dan terkehadapan dalam carian hadis.

Pautan : https://dorar.net/hadith

3. Islamweb

Laman sesawang islamweb juga antara yang telah lama dibina dan sangat bermanfaat untuk tujuan carian hadis. Ramai yang menggunakan laman ini

Pautan : https://library.islamweb.net/ar/library/

4. Hdith

Laman hdith adalah untuk carian pantas.

Pautan : http://hdith.com/

5. Sunnah.One


 Juga sepantas laman hdith tadi.

Pautan : https://sunnah.one/

6. Jami’ Khadim al-Haramain al-Syarifain lil Sunnah al-Mutahharah

Laman ini adalah inisiatif Khadim al-Haramain Raja Abdullah bin Abdul Aziz.

Pautan : https://sunnah.alifta.net/Default.aspx

7. Maktabah Syamilah Online

Anda juga boleh menggunakan Maktabah Syamilah versi online ini untuk melakukan carian.

Pautan : https://al-maktaba.org/

8. Al-Jami’ lil Hadis al-Nabawi

Laman ini menyediakan bersama huraian hadis sebagai panduan.

Pautan : http://www.sonnaonline.com/

Untuk aplikasi juga ada pelbagai aplikasi dalam pelbagai bahasa yang boleh dimuat turun.

Aplikasi berbahasa melayu adalah seperti berikut :
1. Semakhadis



Ia adalah web semakhadis yang dimudahkan dalam bentuk aplikasi.

Antara ciri-ciri aplikasi ini :

- Design yang menarik
- Salin (copy) ayat-ayat
- Penanda (bookmark)
- Kongsi (share) hadis
- Simpan kata kunci (search history)

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.caliphstudio.semakhadis&hl=en

Aplikasi ini juga ada untuk iOS :
https://apps.apple.com/my/app/semak-hadis/id1357956478

2. Digital Hadith

Ini adalah aplikasi yang dihasilkan dari projek penyelidikan Universiti Malaya yang bertajuk “Preserving The Authenticity of The Digital Hadith”. Setakat ini aplikasi ini hanya memuatnaik hadis-hadis berkenaan bab Ilmu sahaja.

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=my.dh&hl=en

3. Ensiklopedia Hadis Lidwa

Ini adalah aplikasi terbaik untuk carian hadis berbahasa Indonesia.
Saya pernah mengulas tentang aplikasi ini. Boleh baca lanjut di : https://www.facebook.com/usaid.subki/posts/10204795965721366

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.saltanera.hadits&hl=en

Aplikasi dalam English :

1. Hadith Collection

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.greentech.hadith&hl=en

2. Hadith Companion

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.techvitals.hadithcompanion&hl=en

Aplikasi berbahasa Arab :

1. Mausuah Hadithiyyah Dorar Saniyyah

Ini adalah inisiatif dari pihak Dorar. Ia versi web yang sudah dimudahkan dalam bentuk aplikasi.

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.zad.hadith&hl=en

2. Mausuah al-Hadith Islamweb

Laman ini pula dibangunkan oleh tim Islamweb.

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=net.islamweb.hadith&hl=en

3. Jami’ al-Kutub al-Tis’ah

Ini antara aplikasi terbaik tentang hadis-hadis dalam Kutub al-Tis’ah.

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.arabiait.sunna&hl=en

4. Ahadith Muntasyirah La Tasih Dorar Saniyyah

Ini juga merupakan Inisiatif dari pihak Dorar namun lebih menumpukan kepada hadis-hadis yang tidak sahih.

Pautan : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.freelance.android.ahadith&hl=en

Sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa laman dan aplikasi ini hanya sebagai pemudah cara. Kadang-kadang status hadis yang keluar adalah hukum terhadap satu sanad hadis tersebut sahaja. Sedangkan semua jalur/sanad hadith perlu dikaji untuk dijadikan kesimpulan status sesebuah hadith.

Justeru anda masih perlu bertanya ustaz dan orang yang lebih berilmu bagi memastikan fakta tersebut benar-benar sahih dan boleh diamalkan.

Selamat mencuba dan beramal.

Usaid Subki,
Moga bermanfaat.


Friday, August 2, 2019

Bilangan Hadis dalam Kutub al-Sittah


Saya ditanya pagi tadi tentang kesahihan poster ini. Setelah membelek dua tiga kitab, ini yang dapat saya simpulkan.
Ada banyak perbezaan jumlah hadis antara cetakan kitab hadis. Perbezaan ini pada asasnya disebabkan aggapan sesetengah pihak bahawa jalur hadis yang sama sebagai hadis berlainan dan juga manuskrip yang dirujuk.
Jika dirujuk kepada kitab Ulum Hadis karya Dr Abu al-Laith dan juga kitab al-Wajiz fi Ta'rif Kutub al-Hadis oleh Syeikh Sayyid Abdul Majid al-Ghouri) , jumlah hadis dalam kutub sittah adalah seperti berikut :
Sahih Bukhari :
2602 (tanpa yang berulang)
7397 (yang berulang tanpa muallaqat dan mutabaat)
9082 (termasuk yang berulang - bersama hadis muallaqat dan mutabaat)

Sahih Muslim :
3033 (tarqim fuad abdul baqi -tanpa yang berulang)
5777 (termasuk yang berulang - tanpa hadis mutabaat dan syawahid)
7275 (menurut syeikh ibn uthaimin dalam kitabnya mustalah al-hadis)
7388 (termasuk yang berulang - bersama hadis mutabaat dan syawahid)
7393 (tarqim ibn hajar seperti yang disebutkan dalam huda al-sari)

Sunan Abi Daud :
5274 (tarqim izzat ubaid al-da'aas, adil sayyid dan muhy al-din abdul hamid)
menurut mereka 4800 hadis adalah hadis, manakala 600 lagi adalah marasil
Jami' al-Tirmizi :
3956 (tarqim ibrahim atwah audh)
4051 (tarqim mubarakfuri)

Sunan al-Nasaie :
5761 (tarqim syeikh abdul fattah abu ghuddah)

Sunan Ibn Majah :
4341 (tarqim fuad abdul baqi)

Ada beberapa no yang disebutkan oleh poster tersebut yang tidak saya jumpai.
1. Sunan Tirmizi : 3959. Saya tidak menjumpai sandaran no ini. Tapi ia sangat dekat dengan no yang saya sebutkan di atas iaitu 3956.
2. Sunan al-Nasaie : 5671. Saya juga tidak menjumpai sandaran jumlah ini. Namun saya mengagak bahawa pembuat poster tersilap susunan nombor iaitu 5761.
والله أعلم

Tarqim : Sistem Penomboran


Saturday, April 22, 2017

7 Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Krisis Kebuluran di Somalia


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kematian 110 orang rakyat Somalia dalam tempoh hanya 2 hari akibat krisis kebuluran yang menimpa mereka.
 

Ini membuatkan saya merasa terpanggil untuk menulis sedikit fakta hasil pembacaan saya di Internet bagi memudahkan rakyat Malaysia memahami krisis kebuluran ini. Berikut adalah fakta-fakta tersebut:

1. Somalia merupakan sebuah negara di benua Afrika yang mempunyai kepadatan sebanyak 12.3 juta penduduk. Somalia merupakan antara negara yang paling miskin di dunia. 82% rakyat Somalia berada pada tahap kemiskinan yang teruk dan terjejas dari sudut kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

2. Somalia juga telah dilanda konflik perang saudara dan juga kemarau berpanjangan semenjak 1990-an lagi. Krisis kebuluran pada tahun 1992 menyaksikan seramai 250,000 rakyat Somalia terkorban. Tahun 2011 pula menyaksikan hampir 260,000 terkorban akibat krisis kebuluran dan kemarau yang dahsyat. Separuh daripada angka mereka yang terkorban ini terdiri daripada kanak-kanak, berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh UN.

3. Krisis kebuluran ini telah menyebabkan majoriti rakyat Somalia berhadapan dengan masalah kekurangan zat makanan yang kronik. Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh UNICEF, seramai 305,000 kanak-kanak menghadapi masalah ini pada tahun 2015. Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh World Food Programme pula, 1 daripada 8 kanak-kanak berumur bawah 5 tahun mengalami masalah kekurangan zat makanan yang teruk.

4. Krisis ini juga menyebabkan 1.1 juta rakyat Somalia kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah demi meneruskan kehidupan. Bahkan hampir sejuta rakyat Somalia menjadi pelarian di negara-negara jiran. Harga makanan yang tinggi akibat kekurangan bekalan makanan turut menambah beban mereka.

5. Rakyat Somalia juga terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Al-Shabab yang dikatakan mempunyai pertalian kuat dengan kumpulan Al-Qaeda. Malah mereka juga terpaksa bertarung dengan pelbagai penyakit yang biasa merebak ketika krisis kebuluran seperti taun, cirit-birit dan demam campak. Kanak-kanak adalah mangsa utama kepada penyakit-penyakit ini. Menurut UNICEF, 1 daripada 7 kanak-kanak meninggal dunia pada tahun 2015 sebelum sempat berumur 5 tahun.

6. Krisis kebuluran ini merupakan krisis kemanusiaan terbesar sejak PBB ditubuhkan pada tahun 1945 apabila jutaan rakyat negara lain seperti Yaman, Sudan Selatan dan juga Nigeria turut menghadapi krisis yang sama.

7. Tanggal 28 Februari lalu, kerajaan Somalia telah mengisytiharkan darurat dan memohon bantuan antarabangsa. Krisis ini jika tidak ditangani dengan segera, tragedi pada tahun 1992 dan 2011 yang mengakibatkan hampir 600,000 nyawa terkorban akan berulang semula.

Apakah yang anda boleh lakukan untuk membantu mereka?

Melihat perkembangan terkini yang melanda Somalia, saya mengajak anda dan rakan-rakan untuk menyumbang kepada rakyat Somalia melalui kempen “Somalia Relief” di bawah anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Ini merupakan kerjasama bersama dua rakan NGO - KLGhaith dan African Relief Committee (ARC).

Kempen ini mensasarkan kutipan sebanyak RM 500,000 untuk disalurkan segera ke Somalia. Bantuan akan difokuskan kepada keperluan utama seperti makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan.

Satu “Misi Kemanusiaan ke Somalia” juga akan dihantar untuk meninjau sendiri keadaan di sana.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang ke tabung “Somalia Relief 2017” agar dapat sama-sama kita meringankan beban mereka dalam menghadapi musim kemarau ini dengan harapan tragedi kematian ratusan ribu rakyat Somalia 6 tahun lalu tidak berulang lagi.

Nah, tunggu apa lagi? Marilah sama-sama kita berkongsi sedikit rezeki yang Allah berikan kepada kita untuk mereka yang lebih memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan atas nama 'Humanitarian Care Malaysia Berhad’ (MyCARE) melalui salah satu akaun
berikut:

MAYBANK - 5515 7500 4299
CIMB ISLAMIC - 8602 135 592
BANK ISLAM - 1209 2010 034904

Usaid Subki,
Research Assistant,
Pioneer Research Center