Saturday, August 31, 2024

Khadijah RA Berasal Dari Alam Melayu?

Aneh sekali dakwaan yang mendakwa Khadijah RA berasal daripada alam Melayu.

Sedangkan kita tahu bangsa Arab sangat menjaga perihal nasab dan keturunan.
Nasab Khadijah RA anha adalah seperti berikut: Khadijah binti Khuwaylid bin Asad bin Abd al-Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurashiyyah al-Asadiyyah.
Bahkan nasab Khadijah RA bertemu dengan nasab Nabi SAW pada Qusai. Khadijah RA juga adalah isteri Nabi SAW yang paling dekat nasabnya dengan Nabi SAW, seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar.
Jika begitu adakah Nabi SAW juga ada kaitan dengan alam Melayu? Bahkan dakwaan mengatakan Khadijah RA berasal dari alam Melayu seolah-olah suatu penghinaan dan menafikan beliau dari keturunan Arab Quraisy.
Entah apalah sangat yang nak diagungkan dengan menisbahkan tokoh dan para sahabat dengan alam Melayu. Sedangkan nasab itu tiada nilainya di akhirat jika tiada bekalan amalan soleh di dunia.
Nabi SAW bahawa:
مَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya, maka tidak akan dipercepatkan dengan nasabnya. (Riwayat Muslim)
Kemuliaan nasab atau keturunan tidak akan menjadikan seseorang itu lebih mulia berbanding orang lain jika dia kurang dari sudut amalan kebaikannya.
Al-Qadhi al-Baydhawi dalam Tuhfah al-Abrar menyebutkan:
من أخره عمله لسوئه أو قصوره ، لم يقدمه شرف نسبه
"Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya iaitu disebabkan kekurangan dan kelemahan dirinya, maka kemuliaan nasabnya tidak akan membantu untuk menjadikannya lebih terkehadapan berbanding orang lain."


No comments:

Post a Comment