Saturday, August 31, 2024

Khadijah RA Berasal Dari Alam Melayu?

Aneh sekali dakwaan yang mendakwa Khadijah RA berasal daripada alam Melayu.

Sedangkan kita tahu bangsa Arab sangat menjaga perihal nasab dan keturunan.
Nasab Khadijah RA anha adalah seperti berikut: Khadijah binti Khuwaylid bin Asad bin Abd al-Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurashiyyah al-Asadiyyah.
Bahkan nasab Khadijah RA bertemu dengan nasab Nabi SAW pada Qusai. Khadijah RA juga adalah isteri Nabi SAW yang paling dekat nasabnya dengan Nabi SAW, seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar.
Jika begitu adakah Nabi SAW juga ada kaitan dengan alam Melayu? Bahkan dakwaan mengatakan Khadijah RA berasal dari alam Melayu seolah-olah suatu penghinaan dan menafikan beliau dari keturunan Arab Quraisy.
Entah apalah sangat yang nak diagungkan dengan menisbahkan tokoh dan para sahabat dengan alam Melayu. Sedangkan nasab itu tiada nilainya di akhirat jika tiada bekalan amalan soleh di dunia.
Nabi SAW bahawa:
مَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya, maka tidak akan dipercepatkan dengan nasabnya. (Riwayat Muslim)
Kemuliaan nasab atau keturunan tidak akan menjadikan seseorang itu lebih mulia berbanding orang lain jika dia kurang dari sudut amalan kebaikannya.
Al-Qadhi al-Baydhawi dalam Tuhfah al-Abrar menyebutkan:
من أخره عمله لسوئه أو قصوره ، لم يقدمه شرف نسبه
"Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya iaitu disebabkan kekurangan dan kelemahan dirinya, maka kemuliaan nasabnya tidak akan membantu untuk menjadikannya lebih terkehadapan berbanding orang lain."


Sunday, August 25, 2024

Doa Agar Dilindungi Dari Terbenam Ke Dalam Bumi

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peristiwa tanah jerlus di Masjid India yang menenggelamkan seorang wanita warganegara India. 

Rasulullah SAW ada mengajarkan kita suatu doa yang boleh kita amalkan bersama. 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]



Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa ini pada waktu pagi dan petang, seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Umar dalam riwayat Abu Daud. Dalam hadis yang penuh, disebutkan agar kita berlindung dari 6 arah:

1. Depan

2. Belakang

3. Kiri

4. Kanan

5. Atas

6. Bawah

Begitulah indahnya Islam.

Salah seorang perawi menafsirkan maksud tidak dibunuh dari arah bawah adalah الخسف iaitu tenggelam ke dalam bumi.

Apa yang menarik, dalam hadis tersebut dikhususkan perkataan وأعوذ بعظمتك untuk arah bawah. Sedangkan 5 arah yang lain sebelumnya tidak disebutkan perkataan tersebut, menunjukkan serangan atau kecelakaan dari arah bawah ini adalah perkara yang sukar untuk dielak.

Marilah sama-sama kita mengamalkan doa ini bersama-sama agar dilindungi dari bahaya yang datang dari arah bawah.

Moga bermanfaat.