Friday, April 25, 2014

Puisi : Maafkan Kami Syria


tangis itu mendayu-dayu,
di balik reruntuhan kaku,
ratap itu terdengar syahdu,
di celah-celah mayat nan beku

jeritan wanita nan lemah,
tangis si kecil penuh resah,
si tua merangkak mencari arah

darah mujahid yang tumpah,
nyawa pejuang yang dikunyah,
sanggup kau biarkan mereka dilapah-lapah

suara itu memanggilmu,
dari bumi Syria yang kian sayu,
merayu-rayu agar dipeduli,
namun engkau masih bisu

tergamaknya engkau melihat saja,
cuma jadi penonton setia,
hanya di balik skrin kaca,
tanpa pernah kau usaha

mereka itu saudara kamu,
namun kamu diam membisu

maafkan kami Syria,
tangis matamu tak dapat kami kesat
parah lukamu tak mampu kami rawat
musuh durjana tak bersungguh kami sekat
entah apa hujah kami di akhirat

Madinah Al-Munawwarah,
0138, 26 April 2014 





Sahabat Yang Paling Banyak Meriwayatkan Hadis

Sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis ialah enam orang mereka ialah :
 
1. Abu Hurairah r.a, meriwayatkan sebanyak 5374 hadis dan jumlah perawi yang meriwayatkan daripada beliau lebih 300 orang.

2. Abdullah Ibn ‘Umar r.a, meriwayatkan sebanyak 2630 hadis

3. Anas bin Malik r.a, meriwayatkan sebanyak 2286 hadis

4. ‘A`isyah r.a, meriwayatkan sebanyak 2210 hadis
  
5. Abdullah Ibn ‘Abbas r.a, meriwayatkan sebanyak 1660 hadis

6. Jabir bin ‘Abdullah r.a, meriwayatkan sebanyak 1540 hadis

Sumber : Taisir Mustalah Al-Hadis oleh Syeikh Mahmud Al-Tahhan yang merupakan pensyarah di Universiti of Kuwait. (m/s 244 cetakan Maktabah Al-Maarif) 

*yang dimaksudkan dengan paling banyak meriwatkan hadis di sini ialah mereka yang meriwayatkan hadis lebih dari 1000 hadis.


Wednesday, April 23, 2014

Mengenai Abu Rayyah

Abu Rayyah adalah merupakan antara orang yang mendakwa para sahabat telah berdusta atas nama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam terutamanya Abu Hurairah r.a. Sehinggakan dia menulis suatu kitab khusus untuk menghentam Abu Hurairah radhiallahu anhu dengan kitabnya yang bertajuk
شيخ المضيرة أبو هريرة
yang bermaksud "Abu Hurairah yang memudaratkan".

Malah tulisan dusta Abu Rayyah tentang Abu Hurairah r.a adalah bersumberkan tulisan seorang Rafidhah iaitu Abdul Husain Syaraf Al-Din Al-Amili dalam kitabnya "Abu Hurairah" yang penuh dengan pendustaan terhadap Abu Hurairah r.a.

Syeikh Mustafa Sibaie dalam kitabnya "Kedudukan Sunnah dalam Pensyariatan Islam" menyebutkan bahawa Abu Rayyah adalah orang yang paling biadab dengan Abu Hurairah r.a, lebih dari golongan Muktazilah, Rafidhah dan Orientalis.

Maka berhati-hatilah dengan tulisan Abu Rayyah ini.

Fakta adalah berdasarkan nota subjek "Perawi Hadis" yang diajar oleh Syeikh Dr Wa'il bin Fawwaz Dakhil hafizahullah, pensyarah di Kuliah Hadis Universiti Islam Madinah.


Sunday, April 20, 2014

Bismillahirrahmanirrahim

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya mulakan penulisan pertama dari untuk blog ini. Ya, saya pernah ada blog lain sebelum ini, namun akibat sudah lama tidak dikemaskini, kini ia tinggal sekadar blog tanpa pengunjung. Pengunjung yang setia cuma seorang, saya sendiri. Hihi.

Mengapa baru kini saya ingin menulis..?

Mungkin kerana saya lebih selesa menulis di media sosial yang lebih meriah dan mendapat "respon segera" itu. Namun saya sedar, penulisan di blog lebih fokus, tersusun dan lebih kekal. Tulisan-tulisan di media sosial yang lama, agak sukar untuk dibelek semula memandangkan ia bercampur dengan perkara-perkara lain. Justeru, saya terfikir alangkah baiknya saya mula menulis di blog, supaya sedikit sebanyak saya boleh memberi manfaat kepada orang yang membacanya.

Saya fikir, lebih baik saya bermula sekarang. Bak kata omputih, better late then never.

Saya sedar kuasa penulisan itu dahsyat dan hebat. Ia boleh mengubah suatu bangsa, melahirkan seorang pemimpin, malah menggegarkan dunia. Lihat saja pada Das Kapital tulisan Karl Marx yang melahirkan ideologi yang cukup merbahaya kepada manusia. Lihat pula pada karya agung Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin yang diiktiraf kehebatannya oleh cendekiawan Yahudi dan Kristian.

Banyak lagi contoh lain yang tak dapat nak dinyatakan di sini kerana ia cukup banyak. Cukuplah kita sedar penulisan itu ada kuasa perubahannya yang tersendiri.

Tulisan juga mampu membina dan menghancurkan minda masyarakat. Akhbar, majalah dan tulisan di alam maya yang berlegar di sekitar masyarakat itulah cerminan minda masyarakat yang sebenarnya. Jika baik tulisan-tulisan itu, maka baiklah minda masyarakat yang membacanya.

Firman Allah taala, 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan  kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” 

Surah An-Nahl ayat 125.

Atas dasar inilah, saya ingin berdakwah melalui penulisan. Namun itu semua mesti didasarkan pada niat kerana mengharapkan mardhatillah. Segala amal yang bukan kerana Allah, akan jadi sia-sia. 

Bayangkan, anda menaiki 1000 anak tangga. Namun setelah sampai ke tingkat paling atas, anda tertinggal kunci. Sia-sia bukan..? Begitu juga dalam beramal, puluhan tahun anda beramal, namun jika anda lupa kuncinya iaitu ikhlas, sia-sia semuanya.

Moga Allah mengurniakan kita keikhlasan. 

Saya sudah mula menulis, anda bila lagi?