Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya mulakan penulisan pertama dari untuk blog ini. Ya, saya pernah ada blog lain sebelum ini, namun akibat sudah lama tidak dikemaskini, kini ia tinggal sekadar blog tanpa pengunjung. Pengunjung yang setia cuma seorang, saya sendiri. Hihi.
Mengapa baru kini saya ingin menulis..?
Mungkin kerana saya lebih selesa menulis di media sosial yang lebih meriah dan mendapat "respon segera" itu. Namun saya sedar, penulisan di blog lebih fokus, tersusun dan lebih kekal. Tulisan-tulisan di media sosial yang lama, agak sukar untuk dibelek semula memandangkan ia bercampur dengan perkara-perkara lain. Justeru, saya terfikir alangkah baiknya saya mula menulis di blog, supaya sedikit sebanyak saya boleh memberi manfaat kepada orang yang membacanya.
Saya fikir, lebih baik saya bermula sekarang. Bak kata omputih, better late then never.
Saya sedar kuasa penulisan itu dahsyat dan hebat. Ia boleh mengubah suatu bangsa, melahirkan seorang pemimpin, malah menggegarkan dunia. Lihat saja pada Das Kapital tulisan Karl Marx yang melahirkan ideologi yang cukup merbahaya kepada manusia. Lihat pula pada karya agung Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin yang diiktiraf kehebatannya oleh cendekiawan Yahudi dan Kristian.
Banyak lagi contoh lain yang tak dapat nak dinyatakan di sini kerana ia cukup banyak. Cukuplah kita sedar penulisan itu ada kuasa perubahannya yang tersendiri.
Tulisan juga mampu membina dan menghancurkan minda masyarakat. Akhbar, majalah dan tulisan di alam maya yang berlegar di sekitar masyarakat itulah cerminan minda masyarakat yang sebenarnya. Jika baik tulisan-tulisan itu, maka baiklah minda masyarakat yang membacanya.
Firman Allah taala,
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Surah An-Nahl ayat 125.
Atas dasar inilah, saya ingin berdakwah melalui penulisan. Namun itu semua mesti didasarkan pada niat kerana mengharapkan mardhatillah. Segala amal yang bukan kerana Allah, akan jadi sia-sia.
Bayangkan, anda menaiki 1000 anak tangga. Namun setelah sampai ke tingkat paling atas, anda tertinggal kunci. Sia-sia bukan..? Begitu juga dalam beramal, puluhan tahun anda beramal, namun jika anda lupa kuncinya iaitu ikhlas, sia-sia semuanya.
Moga Allah mengurniakan kita keikhlasan.
Saya sudah mula menulis, anda bila lagi?
No comments:
Post a Comment