Bismillahirrahmanirrahim.
Insya Allah kali ini saya akan kongsikan nota berkenaan talk yang disampaikan oleh Hilal Asyraf dalam Seminar Wacana Cendekia : PROTAZ vs USPRO yang berlangsung di Dewan Serbaguna Politeknik Shah Alam pada 22 Jun yang lepas.
Seperti biasa, saya lebih cenderung menggunakan pendekatan nota kerana ia lebih ringan dan mudah untuk dibaca.
>Inilah kali pertama saya berjumpa dengan Hilal Asyraf. Biasanya hanya baca karyanya sahaja.
>Ucapannya menggugah semangat, sama seperti apa yang ditulisnya. Berkobar anak muda melihatnya.
>Hilal Asyraf, adalah bayangan pemimpin masa depan dan ikon anak muda yang patut dicontohi.
>Bukan mahu berlebih-lebih dalam memuji, cuma itu apa yang saya rasa. Saya impikan lahir ramai lagi anak-anak muda seperti beliau insya Allah.
>Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa perlunya ada di sana tawazun (keseimbangan) antara golongan professional dan asatizah. Dengan tawazun dan sikap melengkapi antara mereka, insya Allah mereka akan mampu memimpin ummah ke jalan Allah taala.
>Bila berbicara tentang tujuan hidup, ramai yang hanya fokus pada Surah Al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan BERIBADAT kepadaKu."
Lalu mereka tertipu bahawa mereka diciptakan hanya untuk beribadah sahaja, sedangkan ada satu lagi ayat Al-Quran yang menjelaskan tujuan hidup yang lain iaitu dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang KHALIFAH di bumi".
Tugas khalifah mentadbir bumi dan mengajak manusia kepada Allah adalah tanggungjawab setiap dari kita.
>Tegas beliau, anak muda hari ini terperangkap dalam sebuah penjara lutsinar. Wujud tetapi tidak tampak. Mereka ditipu oleh dunia dan arus jahiliah. Dalam media sosial seperti Facebook contohnya, ramai yang suka menulis komen tentang sesuatu isu tanpa peduli kesahihan fakta yang diberikan, atau memberikan solusi yang baik untuk sesuatu isu. Seolah-olah mereka robot yang dicipta untuk leka dengan isu-isu terkini. Habis isu pertama, datang isu kedua dan seterusnya. Mereka menghabiskan masa bertengkar dan menulis apa yang kadang-kadang tidak difahami oleh mereka sendiri. Masa dihabiskan begitu sahaja.
>Begitu juga anak muda yang terlalu ingin mengejar deretan A dalam SPM. Bila tak cemerlang, katanya mahu ambil jurusan agama. Pelik bukan? Bila ditanya kenapa ambil jurusan agama? "SPM tak cemerlang.". Seolah-olah tidak menjawab soalan. Maka keluarlah golongan asatizah yang menconteng arang di wajah agama. Agama tampak kelakar, susah, tidak realistik menurut acuan mereka.
>Pada akhirnya, beliau simpulkan bahawa peranan Protaz mahupun Uspro adalah mengeluarkan masyarakat dari penjara lutsinar tersebut.
>Mesti ada usaha meramaikan lagi Protaz dan Uspro.
>Visi yang mahu dicapai mesti jauh dan melangit.
*sebahagian point saya hurai menurut kefahaman saya dan tidak disebut pun oleh Hilal Asyraf.
No comments:
Post a Comment