Wednesday, September 24, 2014

KENALI ISIS, FAHAMI IRAQ [ SIRI 2 : Bahagian 1 ]

ISIS : SOLDADU KECIL DALAM PERCATURAN LEBIH BESAR



Penulis : Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf



Kefahaman masyarakat terhadap isu ISIS atau Iraq amnya bercampur-baur antara yang tidak tahu dan tidak faham. Sebahagian masyarakat tidak berminat mengambil tahu dan sebahagian yang cuba mengambil tahu merasakan sukar untuk difahami isu pergolakan di Iraq. Kesukaran untuk memahami ini juga menyebabkan sebahagian kita berputus-asa (give-up) dan kembali kepada sikap malas mengambil tahu. Tambahan pula isu Iraq dilihat tidak relevan secara langsung dengan masyarakat kita sehinggalah timbulnya berita beberapa rakyat Malaysia yang menyertai jihad di Syria dan Iraq.

2 faktor utama yang menyukarkan untuk isu Iraq difahami adalah pertamanya kerana banyaknya blok-blok yang berkepentingan dan berperanan secara langsung dalam pergolakan Iraq. Secara perbandingan isu Palestin lebih mudah difahami siapakah mangsa dan pemangsa, hero dan penjahat, siapakah Daud dan siapakah Jalut. Watak utama hanya Palestin dan Israel. Walaupun terdapat perbezaan antara Gaza yang dipimpin oleh HAMAS dan Tebing Barat yang ditadbir oleh Fatah, namun umumnya serangan keatas Gaza dilihat sebagai serangan keatas Palestin seluruhnya.

Tetapi di Iraq kita dihadapkan dengan faktor kerajaan Iraq Nouri Maliki yang didominasi oleh kumpulan Syiah, faktor sektarian Sunni – Syiah, faktor Amerika sebagai penjajah yang menakluk Iraq pada 2003 sehingga mereka keluar pada 2011, faktor negara jiran Iran yang cuba mengembangkan pengaruh, faktor Kurdistan dan kuasa autonominya , faktor Syria dan regim Assad di utara Iraq dan terbaru faktor militan Sunni atas nama ISIS. Namun satu pihak yang paling terkesan dengan pergolakkan Iraq tetapi seolah dilupakan media perdana adalah rakyat tempatan yang menjadi pelanduk yang mati ditengah-tengah apabila gajah, harimau singa dan buaya saling bertelagahan. Penduduk tempatan Iraq terutamanya golongan Sunni yang tidak terbela membentuk gerakan kebangkitan rakyat walaupun mereka jarang mendapat tempat didada media. Terdapat pelbagai kumpulan pembebasan rakyat tempatan dengan pelbagai objektif. Dari kumpulan-kumpulan kecil yang sekadar ingin mempertahankan daerah masing-masing kepada kumpulan yang lebih besar yang mahu membebaskan Iraq dari campur-tangan luar samada Barat mahupun Syiah Iran.

Faktor kedua adalah kurangnya maklumat, apalagi maklumat yang boleh dipercayai. Jika dibandingkan, isu Palestin mendapat liputan media lebih meluas dikedua-dua belah pihak yang bertelagah. Kebanyakkan kita tidak sedar rakyat Iraq terutamanya Sunni yang ditindas oleh kerajaan Syiah Iraq pimpinan Nouri al-Maliki telah memulakan kebangkitan rakyat secara aman sejak 2012 [1]. Lebih setahun rakyat Iraq sabar menyatakan bantahan mereka secara aman. Setiap demonstrasi aman terutamanya di wilayah Al Anbar dihadiri ratusan ribu penduduk. Kita juga mungkin tidak maklum kejadian di Ramadi dan Falujjah pada Disember 2013 apabila kerajaan al Maliki mula menggunakan kekerasan untuk menghapuskan kebangkitan rakyat. Disinilah ISIS mula menampakkan belangnya, bukan hanya pada Jun 2014 apabila mereka dilapourkan menakluk Mosul. Ia juga menjadi titik persimpangan kebangkitan rakyat secara bersenjata.

Rupanya embargo berita dari Iraq jauh lebih ketat berbanding kepungan Israel. Kekurangan maklumat ini juga bercampur-baur antara sekatan yamg disengajakan oleh pihak berkepentingan dan dan bahaya yang terpaksa dihadapi oleh pemberita yang beroperasi di Iraq. Berada di dalam Gaza lebih selamat ( selain masa serangan besar-besaran oleh Israel ) berbanding berada di Iraq. Sekurang-kurangnya di Gaza kita tahu siapa kawan siapa lawan, tetapi di Iraq kawan dan lawan adalah dari rumpun yang sama, bercakap bahasa yang sama, berpakaian jubah yang sama dan berkemungkinan tinggal dikawasan yang sama. Ratusan misi aktivis Malaysia yang telah memasuki Gaza membawa balik berita yang lebih sahih berbanding dengan kurangnya aktivis yang berani memasuki Iraq atas faktor keselamatan tadi.

Artikel ini mengajak kita melihat pergolakan Iraq dalam gambaran yang lebih besar (the big picture) dan blok-blok utama yang berkepentingan dan berperanan secara langsung. Juga untuk kita meletakkan isu ISIS dalam konteks yang lebih tepat daripada gambaran yang terlalu dipermainkan (over-played) oleh media antarabangsa dan disahut oleh media tempatan. Memang ISIS satu ancaman. Bukan sahaja kepada bumi Iraq dan sekitarnya, tetapi juga kepada umat Islam dan imej Islam keseluruhannya. Tetapi ISIS bukan satu-satunya ancaman kepada Iraq, terdapat beberapa pihak lain yang juga mengancam Iraq. ISIS juga bukanlah ancaman terbesar kepada Iraq bahkan terdapat pihak lain yang yang lebih besar ancamannya dan kadang-kala mereka mempergunakan ISIS sebagai proxi tanpa ISIS sedari. Seperti dimedan catur, ISIS kekadang hanyalah bidak (pawn) yang menjadi umpan pihak lain mencapai matlamat besar mereka.

Artikel ini juga akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat untuk memudahkan dan memberi masa pembaca memahami isu Iraq dalam perpektif yang sebenar.

Iraq pra-penaklukan Amerika

 
 

 Negara Iraq lahir sebagai sebahagian pelan `pecah dan perintah’ (devide and rule) penjajah Barat terhadap empayar Uthmaniyah. Apabila Khilafah Uthmaniyah yang tertegak selama lebih 700 tahun digulingkan pada 1924, Timur Tengah dibahagi-bahagikan kepada negara-negara kecil dibawah penjajahan Britih dan Perancis. Iraq ditubuhkan pada 1932 dengan British melantik Faisal Hussien, sebagai Raja Iraq yang pertama. Beliau adalah anak kepada Hussien bin Ali, Syarif Mekah yang dilantik oleh British sebagai Raja Hijaz yang pertama, sebelum terbentuknya Arab Saudi. Melalui proxi-proxi yang dilantik ini, British masih menguasai hasil bumi negara terutamanya minyak.

Kerajaan beraja Iraq digulingkan oleh tentera pada 1958 sehinggalah Saddam Hussien secara rasmi menjadi Presiden pada 1979. Walaupun Saddam memerintah secara kuku-besi dan menekan kebangkitan Islam, beliau telah berjaya menjadikan Iraq negara sekular yang termaju dan termoden di Asia Barat. Bahkan angkatan tentera Iraq adalah yang terkuat dan terbesar di kalangan negara Arab sebelum dan selepas berlakunya Perang Iran-Iraq 1980-88. Serangan Israel ke atas loji nuclear Iraq di Orisak pada 1981 membuktikan kebimbangan negara Yahudi tersebut keatas teknologi tinggi yang dimiliki Iraq. Projek Babylon atau lebih dikenali sebagai ‘Iraqi Super-Gun’ pada pertengahan 1980an adalah percubaan Saddam untuk membina meriam jarak-jauh terbesar di dunia yang boleh mencapai lebih 1000 batu ke Israel. Pada 1988, tentera Iraq adalah yang ke 4 terbesar di dunia dengan lebih 800 ribu tentera aktif dan hampir 500 ribu tentera simpanan. Tentera Iraq juga memiliki 5700 kereta kebal, hampir 800 kapalterbang pejuang dan 150 helikopter penyerang. Kapalterbang pejuang MiG-29, Su-24 dan Mirage F-1 yang dimiliki Tentera Udara Iraq andalah antara kapalterbang pejuang tercanggih didunia pada masa itu [2]. Tentera Iraq juga memiliki stok peluru berpandu terbesar di Asia Barat. Bermula dengan membeli lebih 800 SCUDs daru Rusia sejak 1970an, Iraq juga mempunyai keupayaan teknologi membangunakan sistem peluru berpandunya sendiri yang boleh mencapai sejauh 650 km. Sepertimana `al-Qaeda’ dicipta oleh Amerika untuk menentang Soviet di Afghanistan, sebahagian besar kekuatan tentera Iraq juga dibantu oleh Amerika untuk melemahkan Revolusi Iran [3].

Perang Teluk Pertama 1991

 

 Angkatan tentera yang besar dan moden seperti ini dan dimiliki oleh negara Islam tentunya membimbangkan Israel dan sekutu baratnya. Lebih membimbangkan lagi sistem peluru berpandu Iraq boleh membawa senjata kimia dan biologi. Tindakan Iraq menakluki Kuwait pada 1990, samada dirancang oleh barat atau tidak, merupakan peluang terbaik untuk menghancurkan kekuatan ketenteraan Iraq, `once and for all’. Berpuluh resolusi PBB selama lebih 50 tahun telah dikeluarkan supaya Israel berundur dari tanah Palestin dan Arab yang dirampas tetapi tiada siapa yang berminat untuk melaksanakan resolusi-resolusi tersebut. Tapi hanya dengan satu resolusi Majlis Keselamatan PBB 660 yang meminta Iraq keluar dari Kuwait, Amerika terus mengumpulkan angkatan perangnya berserta dengan lebih 30 negara sekutu dan melancarkan perang keatas Iraq pada 17 Januari 1991 yang dikenali sebagai `Operation Desert Strom’.

Lebih sebulan Iraq menerima serangan besar-besaran dari Amerika dan sekutunya. Lebih 2800 kapalterbang membuat 100 ribu serangan udara dan hampir 90 ribu tan bom digugurkan untuk memusnahkan bukan sahaja asset ketenteraan bahkan juga infrastruktur awam. Serangan udara ini menyamai 2 bulan dari Perang Dunia Kedua. 5 armada kapal pembawa kapalterbang Amerika juga mengambil bahagian. Sekuat-manapun tentera Iraq, tentunya tidak dapat dibandingkan dengan kekuatan dari segi bilangan dan kualiti dengan tentera Amerika dan 39 negara sekutunya termasuk negara-negara Arab. Negara Arab ditakut-takutkan dengan ugutan jika Iraq tidak dibendung, mereka pula akan menjadi sasaran Iraq selepas Kuwait. Kekuatan yang dikumpulkan untuk melawan Iraq merupakan gabungan kekuatan tentera yang terbesar selepas Perang Dunia ke 2. Perang ini juga menyaksikan penggunaan teknologi ketenteraan yang tercanggih dalam sejarah termasuk penggunaan pengebom `stealth’ F117 dan peluru berpandu laut ke darat Tomahawk [4]. Dengan hampir 1 juta anggota tentera dan kelengkapan perang darat, udara dan laut yang terkuat di dunia, Iraq terpaksa menerima kekalahan dalam masa 43 hari.

Objektif Operasi Desert Storm adalah agak terhad. Selain membebaskan Kuwait, objektif utamanya adalah melumpuhkan kekuatan kemampuan menyerang (offensive capabilities) tentera Iraq. Kuwait dibebaskan dalam masa 10 hari serangan bermula, selebihnya adalah untuk memusnahkan kekuatan tentera Iraq. Apabila tentera bersekutu menamatkan serangan pada 28 Februari 1991, mereka menganggarkan 60% dari kekuatan menyerang tentera Iraq terutamanya senjata berat telah dimusnahkan. Lebih 250 kapalterbang dimusnahkan dan 125 lagi lari ke Iran. Dianggarkan lebih 20,000 tentera Iraq terkorban. Anggota tentera Iraq berkurangan hampir 60% dari 800 ribu kepada 350 ribu. Kelengkapan tentera darat Iraq pada pertengahan 1991 dianggarkan tinggal 2300 kereta kebal dan 1000 arteleri. Namun tentera bersekutu gagal memusnahkan sebahagian besar peluru berpandu Iraq. Kerajaan Saddan Hussien juga dibiarkan terus berkuasa selama 15 tahun lagi.

Kemusnahan tentera Iraq hanyalah sebahagian dari kesan perang. Yang jauh lebih besar adalah kemusnahan kepada ekonomi, infrastruktur dan kehidupan masyarakat Iraq yang terpaksa ditanggung untuk lebih sedekad selepasnya. Penamatan Perang Teluk diikuti oleh sekatan ekonomi keatas Iraq sehinggalah Amerika melancarkan perang sekali lagi keatas Iraq pada 2003. Yang paling menanggung akibat sekatan ini bukannlah Saddam dan kronimya, tetapi rakyat jelata samada Sunni mahupun Syiah, Arab ataupun Kurdi, yang menyokong mahupun menentang Saddam. Iraq seolah-olah kembali 100 tahun ke belakang.

Apabila Setiausaha Negara Amerika Madelaine Albright ditanya dalam satu temubual TV apakah pendapat beliau terhadap kematian 500 ribu kanak-kanak Iraq akibat sekatan ekonomi keatas Iraq berbaloi, beliau menjawab : “ Ia adalah pilihan yang sukar, tapi kami rasakan harganya adalah berbaloi.” [5]

General Norman Schwarzkopf dalam ucapannya di US Naval Academy pada 23 May 1991 dengan bangganya berkata : “ …. terima kasih kepada usaha yang sangat cemerland ini (sekatan laut) yang tidak membenarkan satu kargo pun, tidak satu kotak pun atau pun satu palet barangan melalui laut sampai ke sisir pantai Saddam Hussien. Hasilnya, Iraq kehilangan 90% import, 100% eksport dan keluaran negara kasar hanya tinggal separuh.”

[ Siri Akan Datang : Fasa Embargo 1990 – 2003 ]

Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
J/kuasa Pembelaan Ummah Sejagat
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor


Nota Rujukan :
1. Iraq Sunni protest in Anbar against Nouro al-Maliki - http: www..bbc.com/news/world-middle-east-
2. Iraq’s Military Forces: 1988-1993; Anthony H. Cordesman, Center for Strategic and International Studies, September, 1994
3. Friedman, Alan. Spider's Web: The Secret History of How the White House Illegally Armed Iraq, Bantam Books, 1993.
4. Technology in the Persian Gulf War of 1991 by Robert Citino
http://www.gilderlehrman.org/history-by-era/facing-new-millennium/essays/technology-persian-gulf-war-1991
5. John Pilger, Squeezed to Death, Guardian, March 4, 2000


No comments:

Post a Comment