Saturday, September 20, 2014

Koleksi Hadis Palsu dan Lemah Yang Tersebar Di Internet (Siri 1)

Koleksi hadis palsu dan lemah ini merupakan himpunan status Fb oleh Ustaz Rozaimi yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang hadis di Jordan. Beliau boleh dihubungi di Fb beliau di sini : Ustaz Rozaimi


1. Hadis Pengantin Masuk Rumah

"Wahai Ali, bila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka (suruh ia) tanggalkan kasutnya ketika ia duduk dan (suruh ia) membasuh kedua-dua kakinya"


Penilaian hadis:

Hadis ini palsu kerana ia diriwayatkan oleh Abdullah bin Wahb al-Nasawi. Dia digelar dajjal (sangat berdusta) oleh Imam al-Suyuthy dalam al-Laali al-Masnu'ah (jld 2, hlm 142), Ibn al-Arraq al-Kinani dlm Tanzih al-Syariah (jld. 2, hlm. 199) al-Syaukani dlm al-Fawaid al-Majmu'ah (hlm. 126). Tolong berhenti sebarkan hadis palsu seperti ini.

2. Kelebihan dan Fadhilat Surah Yasin

"Barangsiapa membaca surah yasin dia akan mendapat keampunan Allah dan jika dibaca ketika lapar akan menjadi kenyang,sesiapa yang membacanya ketika barangnya hilang akan menjumpainya, sesiapa yang membacanya di sisi mayat maka akan diringankan ke atasnya dan sesiapa yang membacanya kepada perempuan yang ditakuti (keselamatan) anaknya maka akan dipermudahkan urusannya"

Penjelasan: Riwayat ini daif bahkan munkar kerana ada 2 kecacatan:

- Terdapat perawi daif yang bernama al-Khalil bin Murrah al-Basri. Beliau daif pada majoriti ulama hadis semisal al-Bukhari dan beliau banyak meriwayatkan hadis munkar.

3. Hadis Tentang Kelebihan Wanita Hamil Dan Berjaga Malam Jaga Bayi

'Dalam hadis tersebut dinyatakan kononnya wanita yang hamil mendapat pahala seperti ibadah puasa dan lain lain ibadah bahkan setiap titis susu yang diberikan kepada bayi maka wanita itu mendapat keampunan.Jika si ibu berjaga malam kerana menjaga bayi maka dia akan mendapat pahala memerdekan 70 hamba sahaya.'

Penilaian Hadis:

Ia palsu kerana perawi yg bernama Amr bin Said al-Khaulani. Pandangan ulama hadis terhadap beliau:

- Imam Ibn Hibban berkata : beliau meriwayatkan hadis palsu dari Anas bin Malik yg mana mereka yg mendalami ilmu hadis akan mengakui kepalsuannya. [Al-majruhin, jld. 1, hlm. 490]

- Imam Al-Zahabi berkata: beliau meriwayatkan hadis palsu [Mizan al-i'tidal, jld. 3, hlm. 261]

4. Dialog Nabi Adam dan Malaikat setelah turun ke bumi dari syurga

'Kisah Nabi Adam turun ke bumi dan berlaku dialog antara nabi adam dengan malaikat.Nabi Adam meminta api dari malaikat untuk memasak.Kemudian malaikat meminta api neraka sebesar kurma dari Allah untuk diberi kepada Adam.Dari api itulah terhasilnya api di dunia ini'

Penilaian Hadith:

Tidak dijumpai kisah ini dalam kitab-kitab hadis. Barangkali ia kisah israiliyyat.

5. Hadis Tuntutlah Ilmu Hingga ke Negeri China

Kata seorang ustaz..: Hadis "Tuntutlah ilmu walau ke negeri China" bertaraf HASAN. Siapa yang kata ia palsu itu ternyata RUWAIBIDHAH baru 2-3 tahun belajar hadis. Belajar pula dengan PAK USTAT GOOGLE.Ini jawapan saya terhadap ustaz tersebut.


Penilaian hadis:

Komentar muhaddithin terhadap hadis (Rujuk: al-Sakhawi, al-Maqasid al-hasanah, hlm. 441:

1. ibn hibban: tiada asal
2. al-bazzar: hadis ini diriwayatkan dari anas dengan sanad yang terlalu lemah.
3. ibn al-jauzi: hadis palsu
4. al-baihaqi: matannya masyhur tapi sanadnya lemah.
5. ibn abd al-barr: hadis ini diriwayatkan dari anas dengan banyak jalur tetapi kesemuanya berpenyakit (daif).

6. Hadis Wanita Digantung Rambut Sehingga Mendidih Otak Di Neraka

'Di dalam hadis itu diceritakan bahawa Fatimah dan Ali melihat Rasulullah menangis kerana terkenangkan peristiwa isra mikraj kerana di dalam neraka terdapat golongan wanita yang diseksa antaranya rambut mendidih sehingga terkeluar otak kerana tidak tutup aurat,Perempuan yang digantung payudaranya di neraka kerana 'mengotori' tempat tidurnya. Perempuan yang tergantung kedua kakinya ialah perempuan yang tidak taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa izin suaminya, dan perempuan yang tidak mau mandi suci dari haid dan nifas'

Penilaian hadis:

Riwayat ini al-Zahabi sebut dlm kitab al-Kabair tanpa sanad. Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami dlm kitab al-Kabair. Pengarang Kitab 'Uyun Akhbar al-Ridha (kitab syiah) menyatakan sanad bagi hadis ini tetapi sanadnya dipenuhi dengan perawi yg majhul (tidak dikenali) seperti Ali bin Abdullah al-Warraq dan Abdul 'Azim al-Hasani. Dalam sanadnya juga terdapat perawi bernama Abu Said Sahal bin Ziyad al-Azmi yg merupakan perawi terlalu lemah. Lajnah Fatwa Saudi menyatakan hadis ini palsu.



Sumber/Susunan : Fb Amalkan Sunnah (link)


No comments:

Post a Comment